Negara Filipina terus tampil memberikan kejutan dalam usaha mendapatkan kejuaraan kelima di pertandingan ratu cantik Miss Universe apabila ia memahkotakan gadis berkulit gelap pertama semalam sebagai juara pertandingan Miss Universe Philippines 2024.
Chelsea Manalo dari daerah Bulacan mengenepikan 52 jelitawan lain untuk menerima mahkota Mouawad Miss Universe Philippines, selempang dan sekaligus gelaran keramat itu di hadapan ribuaan penonton di Mall of Asia Arena dekat Pasay City, Filipina.
Chelsea seterusnya akan mempersiapkan diri sebelum terbang ke Mexico pada suku keempat tahun ini untuk mewakili Filipina di pertandingan Miss Universe edisi ke-73.
Gadis berusia 22 tahun ini sememangnya merupakan salah seorang peserta yang berjaya meraih perhatian peminat dunia ratu cantik pada sidang media pengenalan para peserta Miss Universe Philippines 2024, awal tahun ini.
Tentunya, paras fizikalnya yang berdarah kacukan Filipina (sebelah ibu) dan African-American (sebelah ayah) menjadi salah satu faktor utama yang membuatkan Chelsea lebih menonjol berbanding peserta lain.
Begitupun, itu bukanlah satu-satunya kelebihan yang ada pada Chelsea sehinggakan dia ditabalkan sebagai juara.
Setiap kali berpeluang ditemubual oleh penggiat media di Filipina, gadis berlesung pipit ini berjaya memukau pengantara sesi serta penonton dengan kebijaksaan jawapan yang diberikan.
Malah, tutur katanya juga lancar dilontarkan dengan penuh tenang lalu membuatkan Chelsea amat relatable dan berpotensi sebagai wakil Filipina di pertandingan ratu cantik antarabangsa.
Sewaktu segmen soal jawab Top 5, Chelsea diberikan soalan berbunyi, “Anda cantik dan yakin. Bagaimana anda akan menggunakan kualiti-kualiti ini untuk memperkasakan orang di sekeliling?”
Jawabnya, “Sebagai wanita berdarah kacukan, saya selalu berdepan cabaran dalam hidup. Saya diberitahu bahawa kecantikan itu mempunyai aras tersendiri. Namun untuk saya, saya selalu mempercayai kata-kata ibu saya setiap kali mendengarnya. Untuk selalu percayai kepada diri sendiri. Pertingkatkan kepercayaan yang saya ada dalam diri saya.
“Disebabkan ini semua, saya sudahpun mempengaruhi ramai wanita yang kini sedang menatap saya. Sebagai seorang wanita yang mentransformasikan diri, saya juga mempunyai 52 wakil lain bersama-sama saya di sini yang telah membantu saya menjadi diri saya sekarang.”
Tidak hairanlah Chelsea diangkat sebagai peserta dark horse yang diharapkan mampu memberi saingan sengit kepada peserta kegemaran seperti Ahtisa Manalo (Quezon Province), Victoria Velasquez Vincent (Bacoor), Christi McGarry (Taguig) dan Alexie Brooks (Ilo Ilo City) yang merupakan seorang lagi peserta berkulit gelap yang dicanang-canang sebagai juara namun gagal melepaskan diri ke peringkat Top 5, malam tadi.
Kebelakangan ini, organisasi Miss Universe Philippines dilihat lebih bersifat terbuka untuk memahkotakan peserta yang pernah mempunyai pengalaman lalu di pentas Miss World Philippines.
Sebagai contoh, Rachel Peters di Miss World Philippines 2014, Catriona Gray (Miss Universe 2018) pernah bertanding di pentas Miss World 2016, Gazini Ganados di Miss World Philippines 2014 dan Michelle Marquez Dee di Miss World 2019.
ARTIKEL BERKAITAN: Filipina Hantar Wakil LGBTQ+ Kedua Ke Miss Universe 2023 Menerusi Michelle Dee Marquez – REMAJA
Pengalaman yang dikutip oleh mereka ini dilihat cukup berharga untuk menakluki pertandingan Miss Universe.
Nampaknya malam tadi, sekali lagi organisasi itu mengangkat gadis yang pernah mewakili Filipina di pertandingan Miss World Phillipines sebagai juaranya.
Chelsea tidak asing dengan dunia fesyen dan telah bergelar model sejak usia 15 tahun lagi. Menginjak ke usia 17 tahun, dia memberanikan diri untuk bertanding di pertandingan Miss World Philippines lalu menamatkan saingan di peringkat Top 15.
Selain tidak kekok di pentas peragaan, Chelsea juga amat mementingkan pendidikan dan mengenepikan dunia ratu cantik selama lima tahun sesudah debut-nya di Miss World Philippines itu untuk menamatkan pengajiannya terlebih dahulu. Sambil itu, gadis ini sudahpun menyelami advokasinya untuk memperkasakan pendidikan dalam kalangan komuniti remaja menerusi inisiatif Kids for Kids.
Adakah Chelsea Manalo bakal membawa pulang mahkota Miss Universe kelima untuk Filipina pada tahun ini? Jika diikutkan kriteria yang ada padanya ini, impian itu bukanlah omong-omong kosong semata. Sama-sama kita nantikan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tepati Ramalan Dapat Peluang Kedua, Juara Miss Universe Philippines 2022, Celeste Cortesi Cantik Luar-Dalam – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.