Ciumlah Sepuasnya, Itu Tanda Kasih Terakhir Kita! Tiada Istilah Batal Air Sembahyang Pada Jenazah

Share

Jangan sampai kena air mata, nanti batal wuduk. Inilah yang selalu kita dengar dari mulut orang tua menyuruh berhati-hati mencium jenazah.

Bagi yang kurang arif atau tak tahu dan mempercayainya, dengan air mata diseka kita mencium arwah bapa, arwah ibu, arwah suami, arwah isteri, adik beradik, anak-anak dan lain lagi dengan sepantasnya. Bimbang jika air mata kita itu membatalkan wuduk jenazah.

Benarkah batal wuduk pada jenazah seperti yang selalu orang tua cakap? Padahal itulah ciuman kasih terakhir kita untuk orang yang kita kasihi di dunia ini.

REMAJA menemuramah Pengurus Jenazah Masjid Ikhlasiah Bukit C2 Pantai Dalam Kuala Lumpur, Ustaz Hamdan Haji Mohd Yusof yang sudah lebih 20 tahun berpengalaman dalam pengurusan jenazah.

“Tiada istilah batal wuduk pada jenazah kerana orang yang sudah meninggal dunia semua amalannya sudah terputus di dunia,”demikian jelas Ustaz Hamdan.

Tambahnya lagi, yang batal wuduk ialah pada orang yang menciumnya seperti suami/ isteri sahaja atau mana-mana hubungan yang bukan mahram. Sebagai contoh, anak saudara mencium jenazah bapa saudara dan lain lagi.

“Kalau adik beradik mencium jenazah adik beradiknya pun tak batal wuduk pada yang mencium itu. Sebagaimana hubungan semasa masih hidup iaitu siapa yang boleh kita salam dan siapa yang kita tak boleh salam, itulah juga pada soal batal wuduk pada yang mencium jenazah ini,”katanya memaklumkan, jika suami meninggal dan isteri mencium dahi untuk penghormatan terakhir, yang batal adalah wuduk isteri di mana isteri perlu mengambil semula wuduk jika ingin sama mengikut solat jenazah.

“Hal yang sama jika isteri meninggal dan suami mencium dahinya. Suami perlu ambil wuduk semula kalau nak solat jenazah. Tapi kalau anak-anak mencium jenazah ibu, ayah, nenek dan sebagainya, tiada istilah batal wuduk pada yang menciumnya dan boleh ikut terus solat jenazah,”katanya memaklumkan orang sudah meninggal tiada istilah batal air wuduk pun.

Menangislah kerana ia emosi kesedihan

Jelas Ustaz Hamdan, sesiapa sahaja yang kehilangan orang disayangi, adalah wajar untuk berasa sedih dan mengeluarkan air mata. Ia berkaitan dengan emosi dan perasaan sedih dan tidak salah untuk kita berasa sedih ketika mencium jenazah. Tiada istilah air mata membatalkan wuduk jenazah walau jenazah memang diwudukkan selepas selesai dimandikan.

“Yang dilarang sama sekali ialah meratap, meraung atau mengoyak-goyak sesuatu seperti kain seolah-olah kita tidak boleh menerima hakikat orang yang kita kasihi sudah tiada. Ini dilarang sama sekali dan perbuatan seumpama ini seperti orang di zaman jahiliyah. Hidup lawannya mati dan begitulah sebaliknya. Kita boleh menangis, ia melibatkan emosi dan perasaan dan hal itu tidak salah.

“Kita dilarang sama sekali mengeluh atau meratapi mayat dengan kata-kata dan perbuatan yang menampakkan kegelisahan dan hilang kesabaran seperti menyebut peribadinya dengan kata-kata aduhai baiknya atau mulianya dia.Dan perbuatan menepuk dada, mengoyak baju dan sebagainya adalah haram. Rasulullah SAW telah melarangnya dengan tegas dalam beberapa hadis yang sahih kerana ia bertentangan dengan kepatuhan kepada Allah dan kesediaan menerima qada dan qadar dariNya,”kata Ustaz Hamdan lagi.

Pada yang kehilangan itu, ciumlah jenazah sepuasnya.Biarlah air mata kita terkena pada jenazah pun, tidak ada apa yang terbatal pun seperti mana orang tua selalu bagi nasihat. Ya peluklah dan menangislah kerana itu pelukan terakhir kita untuk orang kita sayangi.

Published by
Almaswa Haji Che Ros