Sebut sahaja nama Pixar ramai antara kita pasti tersenyum apabila terus terbayang karya-karya animasi hebat mereka seperti Toy Story, Finding Nemo, Monsters Inc., A Bug’s Life, Ratatouille, WALL-E dan banyak lagi. Satu perkara menarik tentang animasi Pixar ialah mereka sentiasa tidak pernah mengecewakan penonton dengan menyajikan jalan cerita yang baik dan animasi bervisual efek serba spektakular.
Konsep serta jalan cerita Coco juga memaparkan budaya orang Mexico yang menyambut Dia de Muertos atau dalam Bahasa Inggeris, Day of the dead.
Terbaru, Pixar bersama Wlat Disney Studios memperkenalkan filem terbarunya, Coco. Animasi 3D ini mengetegahkan karakter utamanya bernama Miguel, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang mempunyai minat cukup mendalam dalam bidang muzik. Namun, cintanya terhadap muzik terpaksa disembunyikan kerana familinya mengharamkan muzik dalam kehidupan mereka. Malah budaya dalam famili Miguel ini berlaku selama beberapa generasi. Mereka dengan bersungguh-sungguh menghalang sesiapa sahaja daripada famili untuk tidak terlibat dengan muzik dalam kehidupan.
Konsep serta jalan cerita Coco juga memaparkan budaya orang Mexico yang menyambut Dia de Muertos atau dalam Bahasa Inggeris, Day of the dead. Pada hari ini masyarakat mereka mempercayai ahli keluargayang telah mati akan pulang untuk menziarahi mereka. Nenek moyang Miguel mengharamkan muzik kerana ia menjadi punca kepada keretakan hubungan ahli keluarga mereka. Miguel yang juga seorang pemain gitar hebat kemudian terperangkap dalam dunia Land of the Dead selepas berlaku sebuah kemalangan. Adakah Miguel mampu plang semula ke dunia sebenar?
Coco yang diarahkan oleh pengarah veteran Pixar, Lee Unkrich meletakkan ikatan kasih sayang keluarga, budaya dan muzik sebagai asa utama filem ini. Apa yang menarik, animasi hebat ini cukup sesuai ditonton bukan sahaja di kalangan kanak-kanak tetapi orang dewasa kerana mesejnya melangkau peringkat umur. Walaupun dari segi emosinya tidaklah setinggi seperti ditonjolkan dalam Toy Story dan WALL-E, namun Coco berjaya menonjolkan ‘dirinya’ sebagai sebuah filem berlatarkan muzik latin yang cukup kaya.
Coco juga bakal mengejutkan penonton dengan plot twist yang tersendiri. Tidak salah untuk Remaja katakan bahawa Coco merupakan antara filem animasi paling ‘berjiwa’ ditayangkan untuk tahun 2017. Mungkin inilah penutup yang sempurna buat Pixar buat tahun ini. Coco akan mula ditayangkan pawagam di seluruh negara bermula pada 23 November 2017.
Rating Remaja: 3.5/5