Sebut sahaja nama Pixar ramai antara kita pasti tersenyum apabila terus terbayang karya-karya animasi hebat mereka seperti Toy Story, Finding Nemo, Monsters Inc., A Bug’s Life, Ratatouille, WALL-E dan banyak lagi. Satu perkara menarik tentang animasi Pixar ialah mereka sentiasa tidak pernah mengecewakan penonton dengan menyajikan jalan cerita yang baik dan animasi bervisual efek serba spektakular.
Konsep serta jalan cerita Coco juga memaparkan budaya orang Mexico yang menyambut Dia de Muertos atau dalam Bahasa Inggeris, Day of the dead.
Terbaru, Pixar bersama Wlat Disney Studios memperkenalkan filem terbarunya, Coco. Animasi 3D ini mengetegahkan karakter utamanya bernama Miguel, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang mempunyai minat cukup mendalam dalam bidang muzik. Namun, cintanya terhadap muzik terpaksa disembunyikan kerana familinya mengharamkan muzik dalam kehidupan mereka. Malah budaya dalam famili Miguel ini berlaku selama beberapa generasi. Mereka dengan bersungguh-sungguh menghalang sesiapa sahaja daripada famili untuk tidak terlibat dengan muzik dalam kehidupan.
Coco yang diarahkan oleh pengarah veteran Pixar, Lee Unkrich meletakkan ikatan kasih sayang keluarga, budaya dan muzik sebagai asa utama filem ini. Apa yang menarik, animasi hebat ini cukup sesuai ditonton bukan sahaja di kalangan kanak-kanak tetapi orang dewasa kerana mesejnya melangkau peringkat umur. Walaupun dari segi emosinya tidaklah setinggi seperti ditonjolkan dalam Toy Story dan WALL-E, namun Coco berjaya menonjolkan ‘dirinya’ sebagai sebuah filem berlatarkan muzik latin yang cukup kaya.
Rating Remaja: 3.5/5