Akhirnya, peminat yang ‘gagal menembus’ untuk membeli tiket konsert Jelajah Dunia Coldplay ‘Music Of The Spheres’ boleh menarik nafas lega apabila kumpulan kegilaan ramai itu mengumumkan bakal mengadakan di negara seberang, Singapura.
ARTIKEL BERKAITAN : “Segalanya Ada Kemungkinan…”, Pihak Penganjur Beri Bayangan Konsert Coldplay Ditambah Sehari Lagi
Kumpulan yang popular dengan lagu Yellow itu bakal membuat persembahan di Stadium Nasional Singapura selama empat malam iaitu pada tanggal 23, 24, 26 dan 27 Januari 2024.
Pengumuman itu dibuat Live Nation Singapore menerusi sebuah hantaran di laman Instagram rasminya, selain ada memuat naik teaser yang memaparkan promosi jelajah Coldplay yang dimainkan di skrin beberapa bangunan di Singapura.
View this post on Instagram
Prajualan tiket konsert itu akan diadakan pada 19 Jun dari 2 petang hingga 11.59 malam. Jualan terbuka kemudiannya akan bermula pada 20 Jun dari 2 petang melalui Ticketmaster, dengan harga tiket bermula dari S$68, tidak termasuk yuran tempahan.
Kumpulan itu juga telah mengumumkan bahawa mereka akan mengeluarkan sejumlah tiket Infinity yang terhad, berharga bersamaan dengan AS$20 (S$27), untuk konsert itu nanti.
Selain Singapura, kumpulan yang memenangi Anugerah Grammy itu turut menambah Manila dan Bangkok ke dalam siri jelajah mereka yang sedang berlangsung, masing-masing pada 19 Januari dan 3 Februari tahun depan.
Di Malaysia pula, Coldplay akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 November ini.
Untuk rekod, Jelajah Dunia ‘Music Of The Spheres’ Coldplay telah terjual lebih tujuh juta tiket iaitu jumlah paling banyak untuk mana-mana jelajah sepanjang dua tahun lepas, dan telah memperoleh kumpulan itu anugerah Artis Jelajah Kegemaran di Anugerah Muzik Amerika 2022.
Sekadar informasi, sebagai sebahagian daripada inisiatif kemampanan kumpulan itu, Jelajah Dunia Music Of The Spheres Coldplay telah menghasilkan 47 peratus kurang pelepasan karbon berbanding jelajah stadium mereka sebelum ini pada 2016/2017. Lima juta pokok juga telah ditanam di seluruh dunia, satu untuk setiap penonton konsert.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Instagram Live Nation SG.