Malaysia telah dipilih sebagai destinasi PERTAMA siri konsert Super Junior [D&E] 2019 dan tidak banyak yang boleh diramalkan oleh peminat mereka grup tersebut mengenai konsert kali ini.
Namun, pernantian beberapa tahun agar Super Junior kembali ke Malaysia bagi menjayakan konsert mereka nyata tak mengecewakan apabila Lee Donghae dan Eunhyuk menghiburkan peminat pada petang tadi di Stadium Malawati Shah Alam.
Jom lihat 5 perkara menarik yang berlaku di konsert anjuran MIC Entertainment Group tadi.
Comeback SuJu
Tentunya, ramai peminat yang hadir pada konsert Super Junior [D&E] Live in Kuala Lumpur pada petang tadi berharap agar Donghae dan Eunhyuk akan menyanyikan lebih banyak single popular daripada grup K-Pop mereka.
Namun, duo itu ingin fokus kepada lagu-lagu baru daripada album mereka, STYLE. Hanya single ‘Dancing Out’ yang mereka nyanyikan selain single pertama D&E, ‘Oppa Oppa’.
Apa yang mengujakan, bagaimanapun adalah pengumuman Eunhyuk. Katanya, ahli termuda Super Junior iaitu Kyuhyun akan menamatkan servisnya di kem latihan tentera dalam tempoh 3 hari saja lagi. Tak mustahil mereka akan bergabung semula untuk projek terbaru SuJu sepantas mungkin.
Rindukan Kuala Lumpur
Sebelum mengundurkan diri, Donghae dan Eunhyuk kelihatan seperti tidak mahu meninggalkan pentas Stadium Malawati Shah Alam. Ucapan terakhir mereka berpanjangan (termasuk dalam bahasa Mandarin yang ditutur Donghae) sehinggalah Eunhyuk melakukan throwback ini.
”Saya ingat kami pernah ke Kuala Lumpur pada tahun 2007 (di Putrajaya dan di Menara KLCC) untuk merakam klip video Dancing Out. Setelah menyanyikan lagu itu (petang tadi) semua memori itu datang kembali.
”Kami akan lakukan yang terbaik untuk membawa kesemua ahli Super Junior ke Kuala Lumpur semula bagi persembahan seterusnya.”
Bahasa Korea
Donghae mengucapkan, “Apa khabar, kami ialah Super Junior” lantas mengembalikan kerinduan peminat. “Hampir empat tahun kami sudah tak menemui kamu semua.”
Peminat seakan boleh memahami setiap patah perkataan bahasa Korea yang dituturnya sehinggakan dia terkejut. “Baiklah, saya rasa saya akan bercakap dalam bahasa Korea saja hari ini.”
Beberapa Kaki Saja Dari Peminat Rock Zone
Tidak seperti konsert K-Pop lain, Donghae dan Eunhyuk benar-benar ingin mendekati peminat sebentar tadi. Sebab itulah untuk beberapa segmen persembahan, mereka sanggup turun ke kawasan sekeliling peminat di Rock Zone dengan menaiki skuter elektrik dan pada satu ketika, berjalan sambil membawa pistol air.
Malangnya, ada peminat yang mungkin terlalu teruja sehingga mencurahkan air daripada botol minuman ke arah Donghae. Penulis sendiri terkejut dengan perbuatan tersebut!
Donghae tak teragak-agak untuk membuka pistol airnya dan kembali mencurah air ke arah mereka. Nasib baik dia bersifat cool dan melayan saja gelagat peminat.
Lagu-lagu ini akan dimasukkan ke Playlist kami
Kalau sudah namanya konsert, sudah tentu kita akan menyentuh mengenai senarai lagu yang mereka nyanyikan.
Banyak juga lagu nyanyian Donghae dan Eunhyuk yang sedap didengar tadi. Antaranya ialah ‘Sunrise’, ‘Here We Are’, ‘If You’, ‘Victory’ dan banyak lagi sehingga konsert berlarutan selama 3 jam.