Sukan renang bukanlah satu sukan mudah. Dengan munculnya saingan baru pada setiap tahun, ada bekas juara Olimpik dan juara dunia sendiri yang tewas di kolam renang pada Sukan Olimpik kali ini.
Buktinya, empat orang perenang muda ini telah mengejutkan dunia setelah menewaskan saingan yang jauh lebih senior dan memperolehi pingat emas menerusi acara masing-masing.
Tambah manis lagi apabila keluarga mereka berempat setia menyokong dari rumah berikutan larangan pihak penganjur dari membenarkan penonton masuk ke stadium sukan Olimpik di Tokyo, Jepun.
Jom lihat reaksi ikhlas mereka ini. *Prepare some tissues!*
Great Britain
Keluarga Tom Dean yang setia menonton setiap kali Tom masuk ke kolam renang di Tokyo adalah di antara reaksi keluarga paling comel!
Semasa Tom memenangi acara 200m kuak bebas lelaki semalam, reaksi keluarganya di Maidenhead, London yang berteriak dan terlompat kegirangan telah ‘mengejutkan’ jiran di sekeliling – sudah ibarat festival!
Mereka duduk beramai-ramai di kawasan laman apabila remaja berusia 21 tahun ini memperolehi pingat emas untuk Britain. Ahli keluarga Tom juga mengajak ahli kelab mereka dan jiran tetangga. Tahu-tahu, hampir 70 orang berjaya dikumpulkan di laman mereka.
Kemenangan Tom ini menyaksikan Britain menamatkan renangan pada kedudukan 1-2; kali pertama ia terjadi untuk Britain di acara renang Sukan Olimpik dalam tempoh 113 tahun penyertaan negara itu.
Setelah video reaksi itu tular, Tom sempat menontonnya berkali-kali bagi mendapatkan semangat sebelum menyertai acara 4 x 200m kuak bebas lelaki pada pagi tadi .
And guess what?
Sekali lagi Tom berjaya menyambar pingat emas; lalu menjadikan video kedua reaksi keluarga Tom kini menjadi bualan warganet.
Tunisia
Keluarga perenang Tunisia, Ahmed Hafnaoui juga mencuri tumpuan dunia setelah video reaksi mereka semasa menonton kemenangannya menjadi tular.
Perenang berusia 18 tahun ini benar-benar mengejutkan dunia (termasuklah keluarganya sendiri) setelah dia memenangi pingat emas acara 400m kuak bebas lelaki, Ahad lalu.
Hafnaoui menjadi peserta underdog apabila namanya langsung tidak dicanang sebagai bakal pemenang berbanding perenang veteran seperti Jack McLoughlin dari Australia dan Kieran Smith dari AS.
Malah semasa peringkat separuh akhir pun, Hafnaoui hanya layak ke final dengan catatan masa kelapan terbaik daripada lapan orang peserta akhir. Cukup mengharukan apabila Hafnaoui mendedikasikan kemenangan itu kepada keluarganya.
Kanada
Masih di kolam renang. Maggie Mac Neil, 20 berjaya memenangi pingat emas pertama Kanada di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara 100m kuak kupu-kupu wanita.
Momen itu ditonton oleh keluarga Maggie yang sedang bercuti di Kincardine, Ontorio Kanda. Kata ibunya iaitu Susan McNair kepada CTV News London, “Bilik menonton bertukar ceria dengan teriakan. Selepas kemenangan Maggie, keluarga kami menjadi ‘sasaran’ media yang ingin menemuramah. Malah, saya juga semoat berkenalan dengan seorang ibu pemenang Olimpik lain.”
Australia
Wow, keluarga perenang betul-betul memberikan sokongan kepada ahli keluarga atlet mereka!
Kali ini giliran perenang Australia berusia 20 tahun, Ariarne Titmus yang mencatatkan kemenangan epik mengatasi perenang Amerika Syarikat yang pernah bergelar juara Olimpik lima kali, Katie Ledecky dalam acara 400m kuak bebas, Isnin lalu.
Bukan saja reaksi jurulatih Ariarne, Dean Boxall (atas) di tempat duduk arena menjadi tular.
Ibu bapa Ariarne di Noosa, Tasmania Australia turut menyambutnya dengan penuh gembira. Mereka menyaksikan acara tersebut bersama-sama atlet Olimpik Australia, Dawn Fraser. Ayahnya, Steve dilihat mengelap air mata manakala ibunya pula sebak. Menurut laporan, Ariarne mendedikasikan semangat ingin menangnya itu kepada ibunya yang selalu kental .
Turut tular adalah reaksi pemain ragbi Melbourne yang menyaksikan Ariarne dengan perasaan berdebar.