Confirm Buat Penonton Menangis, Ini 4 Fakta Tentang Filem Indonesia June & Kopi

Share

Sebuah lagi filem yang ditayangkan secara eksklusif di saluran Netflix, June & Kopi berjaya menarik perhatian penonton kerana jalan ceritanya yang ringan namun sarat dengan nilai-nilai murni yang diterapkan antara manusia dan haiwan peliharaan.

June & Kopi mengisahkan tentang Aya (Acha Septriasa) yang menjumpai seekor anjing jalanan dan membawanya pulang ke rumah. Namun begitu, kehadiran anjing tersebut mengundang rasa tidak senang oleh suaminya Ale (Ryan Delon) kerana menyifatkan anjing itu adalah anjing liar. Tambahan pula, Ale sudah memiliki seekor anjing peliharaan yang dinamakan sebagai Kopi. Sikap Kopi adalah lebih baik dan jinak berbanding anjing jalanan itu.

Foto: imdb.com

Aya berusaha keras untuk memujuk suaminya bagi meminta keizinan supaya anjing yang dinamakan sebagai June itu dibenarkan menetap di rumah mereka. Apa yang melucukan, June tidak suka kepada kanak-kanak dan hampir sahaja June diusir keluar dari rumah setelah Aya didapati mengandung.

Walau bagaimanapun, semenjak kelahiran anak mereka (Karin), June menjadi semakin rapat dengan Karin dan sentiasa melindunginya.

Filem ini menjadi tular di media sosial kerana kisahnya berjaya membuatkan penonton mengalirkan air mata. Kebijakan anjing peliharaan ini juga menarik perhatian kami dan ia secara tidak langsung memberikan lebih emosi terhadap pengakhiran jalan cerita ini.

Foto: South China Morning Post

Apa yang membuatkan ramai yang menangis bila menonton filem ini? Ha, korang kenalah tonton sendiri. Tak syok la kalau kami bagi spoiler kan. Hiks!

Banyak nilai-nilai murni yang dipaparkan dalam filem ini, seperti hubungan antara manusia dan haiwan peliharaan serta hubungan kekeluargaan yang penyayang.

Bagi yang belum atau sudah menonton filem ini, ada empat fakta menarik tentang June & Kopi yang korang perlu tahu.

1. Diinspirasi daripada pengalaman si pengarah

Pengarah filem ini, Noviandra menjelaskan bahawa jalan cerita June & Kopi diinspirasi daripada kisah sebenar yang dilalui olehnya. Karakter June diambil dari kisah anjing yang dipeliharanya yang memiliki tiga kaki dan sangat takut kepada lelaki. Sementara itu, Kopi diinspirasi daripada anjing peliharaan pertamanya yang bernama Cody.

Adengan yang dipaparkan antara keluarga Ale dan kedua-dua ekor anjing itu juga sebahagian daripada kisah dan caranya menjaga haiwan peliharaan itu.

2. Dilakonkan oleh anjing jalanan

Kedua-dua ekor anjing yang menjadi watak utama dalam June & Kopi adalah anjing jalanan yang ditemui di pusat perlindungan haiwan. Selain memainkan peranan sebagai pengarah filem, Noviandra juga menjadi pelatih bagi anjing jenis Mongrel dan Staffordshire Terrier itu.

Sebelum menjalani penggambaran, dua ekor anjing tersebut telah mendapatkan latihan selama dua hingga tiga bulan. Bukan hanya sekadar latihan lakonan, malah mereka juga diajar untuk menyampaikan emosi.

Oh, patutlah bijak. Kami pun terfikir macam mana anjing tu boleh pandai berlakon ya. Hehe!

Foto: Netflix

3. Filem Indonesia kedua yang bertemakan persahabatan antara manusia dan anjing

Di Indonesia, kisah persahabatan manusia dan anjing masih belum banyak diangkat menjadi sebuah filem. June & Kopi adalah filem kedua yang bertemakan hubungan persahabatan antara manusia dan anjing selepas filem Boni dan Nancy yang ditayangkan pada tahun 1974.

4. Pengalaman pelakon berlakon bersama anjing

Acha Septriasa dan Ryan Delon turut menceritakan tentang pengalaman mereka berlakon bersama anjing dalam filem ini. Acha menjelaskan bahawa anjing tersebut sangat bijak dan telah dilatih dengan baik. Ia menghasilkan chemistry diantara mereka dan menjadikan lakonan mereka semakin mudah.

Sebagai pencinta anjing, Ryan Delon juga mempunyai pandangan yang sama seperti Acha dan dia juga mengakui June & Kopi berlakon secara professional di set penggambaran.

Foto: Netflix

Bagi yang belum menonton, korang boleh tonton June & Kopi di saluran Netflix sekarang. Walau bagaimanapun, penonton kanak-kanak dinasihatkan untuk menonton bersama penjaga kerana dari segi agama Islam, tidak dibenarkan untuk memelihara anjing.

Apa-apa pun, filem ini memang santai dan wajib ditonton sekiranya korang memang pencinta haiwan.

Selamat menonton!

Sumber: kompas.com

Published by
Noor Ain Norman