Daripada 401,105 orang calon berdaftar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil sebanyak 83 mata pelajaran yang ditawarkan, pencapaian yang dicatatkan oleh calon SPM 2020 telah diumumkan sebagai pencapaian SPM terbaik dalam tempoh lima tahun.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media pagi ini berkata, Gred Purata Nasional (GPN) untuk SPM 2020 telah meningkat sebanyak 0.06 berbanding tahun lalu.
Dari 4.86 pada tahun 2019, tahun 2020 mencatatkan 4.80. Nilai GPN yang lebih kecil ini menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik. Malah jika dibandingkan tren GPN dalam tempoh 5 tahun ini, pencapaian SPM 2020 adalah yang terbaik yang pernah dicatatkan.
Dr Radzi turut mengumumkan peningkatan peratusan calon yang layak memperolehi sijil SPM kali ini meningkat sebanyak 1.96 peratus kepada 88.68 peratus berbanding ketika SPM 2019.
Memetik Laporan Analisis Keputusan SPM 2020,bilangan calon yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran adalah seramai 9,411 orang; meningkat berbanding 8,876 orang pada tahun 2019.
Biarpun begitu, terdapat sedikit penurunan pada jumlah calon yang lulus dalam semua mata pelajaran yang diambil mereka iaitu hanya seramai 144,447 orang berbanding 147,738 orang pada tahun 2019.
*
Tambah Dr Radzi lagi, lima subjek SPM yang menunjukkan prestasi meningkat adalah Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Manakala dua subjek yang sedikit merosot berbanding SPM 2019 adalah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Untuk pengetahuan, keputusan SPM 2020 mempunyai penjaminan kualiti melibatkan dua badan pentaksiran antarabangsa iaitu Cambridge Assessment International Education dan Pearson UK.
“Saudara-saudari telah melakukan yang terbaik. Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada guru-guru yang terlibat dalam proses melaksanakan SPM 2020. Ia bukannya mudah.
“Kepada ibu bapa di luar sana, pihak KPM ingin mengucapkan terima kasih. Kami sedar tempoh ini adalah mencabar dan kami tahu kami tidak sempurna. Kami telah cuba untuk melaksanakan yang terbaik,” ulas beliau.
Buat pertama kalinya, kesemua kertas peperiksaan calon disemak secara atas talian kecuali untuk satu subjek iaitu Pendidikan Seni Visual. Cara ini adalah pembaharuan demi mempercepatkan proses penyemakan. Justeru, sebanyak 1700 orang pemeriksa telahpun ditambah demi membantu jumlah pemeriksa sedia ada.
Selain itu, buat kali pertama dalam sejarah, keputusan peperiksaan SPM boleh disemak oleh calon secara atas talian. Pengeluaran slip keputusan rasmi juga akan dilakukan secara atas talian. Sekiranya calon tidak mempunyai akses, pihak sekolah akan membantu mereka.
Bagi calon SPM yang masih belum menyemak keputusan mereka, korang boleh berbuat sedemikian di laman web myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my.
Bagi pelajar yang tidak mempunyai talian internet pula, pihak sekolah telahpun diminta untuk menghubungi semua calon tentang kaedah mendapatkan keputusan. Pihak guru telah berbincang kaedah terbaik untuk mereka memperolehinya.