Cuai Atau ‘Ignorant’? Ambil Iktibar Kes 15 Pelajar Sekolah Cemerlang Tidak Layak Dapat Sijil SPM

Share

 

Benar, keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah kayu pengukur kepada kecemerlangan hidup seseorang selepas menamatkan zaman persekolahan.

Ada sahaja insan yang berjaya melanjutkan pelajaran biarpun keputusan SPM tidaklah begitu memberansangkan. Malah ada juga yang membuka lembaran baharu setelah memasuki alam pekerjaan.

Namun, bagaimana pula dengan nasib pelajar pintar yang telah berusaha untuk mencapai keputusan SPM cemerlang namun akhirnya terpaksa akur tidak layak mendapatkan slip keputusan masing-masing disebabkan kesalahan sendiri sewaktu menduduki peperiksaan SPM?

Itulah yang berlaku kepada 15 calon SPM 2021 dari Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya (SAS) setelah dua rayuan yang dihantar kepada Jawatankuasa Khas Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan gara-gara tindakan membawa masuk telefon bimbit ke dalam dewan peperiksaan SPM telah ditolak, baru-baru ini.

Foto Hiasan : Dina Dimarsya Blogspot

Kes tersebut dibawa ke dalam sesi perbincangan Jawatankuasa Khas Rayuan Kes Salah Laku Calon Peperiksaan SPM 2021 Lembaga Peperiksaan bagi meneliti rayuan kali kedua daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru SAS.

Menurut laporan, kesemua bukti telah diteliti semula dan diperhalusi demi memberikan keputusan yang adil kepada semua pihak. Malah, 15 calon berkenaan juga telah membuat pengakuan membawa masuk telefon bimbit ke dalam dewan peperiksaan.

Walau bagaimanapun, jawatankuasa memutuskan untuk mengekalkan status BATAL ke atas kesemua 15 calon yang pada waktu itu menduduki peperiksaan mata pelajaran Sejarah.

Ini demi mempertahankan prinsip keadilan kepada calon-calon SPM 2021 dan kepada calon-calon SPM pada tahun-tahun berikutnya.

Kes ini bertukar tular setelah seorang guru yang dikenali sebagai Mohd Fadli Salleh memuat naik surat keputusan yang dikeluarkan oleh LP menerusi Facebook dan mempersoalkan nasib 15 calon berkenaan.

Menurutnya, kesalahan tersebut dilakukan secara tidak sengaja susulan waktu peperiksaan kertas Sejarah 2 yang dimulakan secara lewat di sekolah itu. Lalu, Ketua Pengawas peperiksaan telah memulakan sesi peperiksaan secara kelam-kabut sehingga mengakibatkan calon juga masuk dalam keadaan tidak teratur dan kurang bersedia.

Tambah Mohd Fadli, Ketua Pengawas yang bertugas di SAS juga gagal membuat pengumuman berkenaan larangan membawa barang terlarang ke dalam dewan peperiksaan. Ini menyebabkan 15 calon tersebut terlupa mengeluarkan telefon bimbit yang dibawa masuk.

Hanya sewaktu peperiksaan berjalan, Ketua Pengawas mengumumkan supaya pelajar menyerahkan telefon bimbit masing-masing sambil berjanji untuk tidak mengambil tindakan terhadap mereka. Lalu, calon bertindak jujur dan menyerahkan telefon bimbit mereka.

Malangnya, tindakan serius tetap diambil.

Akibat tindakan membawa masuk telefon bimbit ke dalam dewan peperiksan SPM ini; 15 calon berkenaan tidak layak mendapat sijil SPM, perlu menduduki peperiksaan ulangan, tidak layak memohon UPU, tidak layak memohon kemasukan ke mana-mana universiti dan tidak layak memohon biasiswa setelah kertas sejarah mereka dibatalkan.

Untuk pengetahuan, bagi melayakkan calon-calon SPM mendapatkan sijil peperiksaan, mereka perlu lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

*

Adakah korang merasakan kes ini berlaku disebabkan kecuaian calon dan pengawas bertugas sewaktu sidang peperiksaan dilangsungkan? Ataupun ia berlaku disebabkan sikap tidak ambil peduli atau ignorant oleh pihak calon itu sendiri terhadap peraturan yang perlu dipatuhi?

Apa jua pendapat yang dikeutarakan, sewajarnya kita mengambil iktibar daripada kes ini agar kesalahan atau kecuaian yang sama tidak diulangi pada masa akan datang.

BACA LAGI : Uyaina Arshad Pantang Individu Pengaruhi Lepasan SPM Untuk Tidak Sambung Belajar – REMAJA

Sumber : (1)

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ