Ketika remaja lain yang seusianya ralit dengan gadget teknologi terkini, lain pula pemilik nama Saidatul Zakirah yang mempunyai minatnya tersendiri.
Bermula hanya sekadar mengikuti ayahnya ke pertandingan sukan bermotor, menjadi asbab remaja berusia 14 tahun ini serius hingga berjaya meletakkan diri menjadi atlet untuk sukan bermotor.
Lebih manis lagi, Saidatul Zakirah yang minat dengan sukan permotoran sejak usia 11 tahun ini menunjukkan kesungguhannya dalam bidang itu menjadi titik tolak kepadanya untuk terus menggapai impian memenangi sukan-sukan permotoran yang berprestij.
“Ayah adalah pendorong utama saya selain ahli keluarga yang lain kerana saya selalu mengikut ayah apabila beliau menyertai aktiviti sukan lasak. Apabila saya memberitahu ayah saya akan mengikut jejak beliau, ayah tidak membantah. Bahkan ibu juga tiada halangan. Kedua-dua mereka memberikan semangat. Saya sangat gembira,” katanya.
Lebih mesra dipanggil Kirah, beliau berkata, tidak mudah untuk menyertai sukan yang dipelopori oleh golongan lelaki kerana pelbagai tanggapan negatif yang didengarnya, namun tidak mengendahkan perkara itu.
“Semua orang boleh melakukan apa yang disukai, kalau lelaki boleh buat kenapa perempuan tidak boleh melakukannya”
Sebelum ini Zakirah menyertai QMMF Children Academy kerana minatnya yang mendalam. Ujarnya fokus merupakan benda utama dan penting dalam suka lasak. Disebabkan itu, remaja ini akan memastikan dia mendapat rehat dan tidur secukupnya sebelum menyertai sesuatu pertandingan atau latihan.
Bijak mengatur waktu, Kirah tidak ketepikan soal pendidikan. Bagi mencapai cita-citanya, Zakirah membahagikan waktu belajar dan waktu latihan permotoran dengan sebaiknya. Berharap untuk menyertai lebih banyak lagi sukan lasak pemotoran ini di masa hadapan dan dia bercita-cita sukan ini akan menjadi kerjaya sepenuh masa beliau nanti.
Apa-apapun, good luck untuk masa akan datang. Moga Kirah terus maju dalam sukan permotoran ini dan gapai impian. You go girls!