Berita

Cukup Sayu, Rakyat Jelata Iringi Perjalanan Pulang Al-Sultan Abdullah & Tunku Azizah

Share

Setiap yang bermula pasti akan berakhir dan setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Selepas lima tahun bersemayam di atas takhta singgahsana sebagai Ketua Utama Negara, hari ini tamatlah tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pian’ & ‘Rambai’ Setia Di Bawah Terik Panas Untuk Iringi Pasangan Diraja

Sepertimana lazimnya, keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong selepas tamat penggal pemerintahan disempurnakan dengan upacara penuh simbolik, dan upacara yang bermula seawal 8 pagi di Istana Negara hari ini jelas mengundang sebak dalam kalangan rakyat.

Baik yang menonton siaran langsung di saluran RTM dan warganet yang mengikuti istiadat itu di media sosial mahupun yang berada di beberapa lokasi bagi mengiringi keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, rata-rata tampak sayu, mengucapkan selamat tinggal kepada pasangan diraja itu.

Istiadat keberangkatan balik Seri Paduka berdua bermula apabila Al-Sultan Abdullah, 64, yang melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019, dan Tunku Azizah berangkat meninggalkan Istana Negara dalam acara ringkas namun penuh istiadat diraja pada 8.30 pagi.

Keberangkatan balik Seri Paduka berdua diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku menteri pengiring, dan isteri Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad.

Mengenakan ‘Muskat’ iaitu pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang tampil berbaju kurung rona biru berangkat meninggalkan pekarangan Istana Negara dengan menaiki kenderaan khas.

Sebaik sahaja kenderaan membawa Seri Paduka berdua keluar dari Bangunan Parlimen, pasangan diraja itu disambut pula oleh rakyat jelata yang telah menunggu seawal 6 pagi di sepanjang Jalan Parlimen hingga ke Bulatan Dato’ Onn.

Terkenal sebagai pasangan diraja yang mesra rakyat, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tidak lekang memberikan senyuman di samping isyarat tangan yang menunjukkan tanda “I Love You” sambil memberikan ‘lambaian kasih’ dari dalam kenderaan.

Sifat ‘sporting‘ dan kemesraan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah itulah antara yang akan dirindui rakyat selepas lima tahun bernaung di bawah pemerintahan Seri Paduka. Keterbukaan yang ditunjukkan pasangan diraja itu telah menarik perhatian dan mendekatkan rakyat dengan institusi diraja.

Di pekarangan Kompleks Bunga Raya, keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut dengan perarakan penuh warna-warni, simbolik zaman kegemilangan raja-raja Melayu silam.

Ketibaan pasangan diraja itu di Kompleks Bunga Raya disambut Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. Turut sama menyambut ketibaan Seri Paduka berdua ialah Perdana Menteri serta kedua-dua timbalan perdana menteri.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah meluangkan masa hampir sejam di Kompleks Bunga Raya untuk beramah mesra dengan tetamu sebelum berlepas pulang ke Pahang dengan pesawat khas yang diiringi dua pesawat Pejuang TUDM iaitu F/A 18D Hornet daripada No 18 Skn yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth tepat pada 11.16 pagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

KREDIT FOTO/ARTIKEL: BH

Published by
Adriana Syaurah