Tidak dinafikan, apabila genap 100 hari ahli keluarga meninggal dunia, kita yang masih hidup akan mula membuat kepuk dan nisan di atas kubur. Malah kita juga akan membuat tempahan batu nisan bertulis nama arwah selain memasang marmar atas kubur agar nampak kemas dan terjaga.
Bukan itu saja, ada pelbagai hiasan dibuat termasuk meletakkan bangku di tepi kubur arwah hingga kadang kala menyukarkan sanak saudara kubur berhampiran untuk berteleku membacakan Al-Fatihah jika ziarah kubur.
Pelikkan, masa mak ayah hidup kita tak sibuk-sibuk pun buat rumah cantik-cantik untuk senangkan mata dan hati mak ayah tapi bila dah meninggal barulah kita buat binaan cantik. Bunyinya nampak macam kasar tapi seperti dikonsgikan oleh Ustaz Azhar Idrus, ia jelas satu kebodohan nyata. Ini kerana berlebihan menghias kubur boleh jadi bidaah dan silap-silap jadi haram kalau niat kita untuk menunjuk-nunjuk.
Bacalah perkongsian dibuat oleh Ustaz Azhar Idrus mengenai hukum hias kubur. Baca juga kenapa jadi bidaah yang dilarang dalam berlebihan menghias kubur.
Soalan:
Akhir-akhir ini banyak kita lihat orang-orang menghias kubur sedara mereka yang telah meninggal dunia seperti dibina binaan yang cantik-cantik atau disapu cat dan atau meletakkan batu nisan yang mahal harganya atau seumpamanya. Adakah dibolehkan menghias kubur seperti ini?
Jawapan:-
Membuat binaan tanpa sebab di atas kubur yang diwakafkan adalah bida’ah yang dilarang dengan larangan haram seperti membina rumah atas kubur tersebut atau diletakkan simen konkrit atau batu marmal yang besar dan mahal atau lainnya.
Ada pun meletakkan kurungan empat persegi samada yang diperbuat daripada kayu atau lainnya jika bertujuan mengelakkan dari digali oleh haiwan atau dilangkah atau dipijak orang akan kubur dengan syarat tidak ditanam ke dalam tanah sebahagiannya dan lagi tidak bersaiz besar sehingga mengambil ruang tanah yang lebih tanah kosong yang sepatutnya digunakan untuk mayat yang lain maka setengah fuqahak mengharuskannya.
Begitu juga dilarang menyapu cat dengan tujuan berhias kerana tidak disuruh oleh syarak menghias kubur melainkan kerana supaya dilihat bersih maka dibolehkan oleh setengah ulamak dengan tidak ada tujuan perhiasan dan tidak berlebih-lebihan.
Berkata Syeikh Umairah :
قال الأئمة: وحكمة النهي التزيين أقول: وإضاعة المال لغير غرض شرعي
Artinya : “Para imam mazhab berkata bermula hikmah dilarang berhias ialah kerana membazirkan harta cara yang sia-sia tanpa tujuan yang dibenarkan syarak.” (Hasyiah Umairah)
Tersebut pada kitab Al-Fiqh ala Mazahib Al-Arba’ah :
يكره أن يبنى على القبر إذا لم يقصد بها الزينة والتفاخر وإلا كان ذلك حراما
Artinya : “Dimakruhkan buat binaan atas kubur apabila tiada tujuan berhias dan berbangga-bangga. Dan jika bertujuan menghias kubur dan berbangga-bangga nescaya adalah hukumnya itu haram.”
Kesimpulan :-
Hukum membuat binaan atas kuburan adalah bida’ah yang dilarang melainkan kerana hajat seperti apabila kubur itu tidak dikepung maka akan dipijak orang atau jika tidak diletakkan simen di atasnya akan digali oleh haiwan buas maka diharuskan oleh setengah fuqahak dengan syarat tidak ditanam dan kecil serta ringan supaya mudah dialihkan ketika perlu.
Syariat sama sekali tidak menyuruh menghiasi kuburan dan membazir kepada perkara yang tidak bermenafaat sedikit pun kepada mayat.
Mengecat kubur seperti nisannya dengan pelbagai warna dengan tujuan perhiasan adalah dilarang melainkan dengan tujuan supaya nampak bersih dan tidak dengan tujuan berhias.
Adalah satu kebobodohan yang amat nyata apabila ibu bapa masih hidup tidak dibaiki rumah mereka dan tidak dihias tempat mereka tinggal tetapi setelah mereka mati berlumba-lumba membuat binaan kubur dan nisan yang mahal-mahal supaya kelihatan cantik.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus