Nama Azhar Sulaiman bukanlah asing lagi dalam industri seni tanah air. Di era 90-an, pelakon dan juga seorang arkitek ini adalah anak seni yang boleh dikatakan aktor lelaki terlaris memegang watak utama dalam karya Melayu.
Dengan berbekalkan wajah tampan malah berbakat besar yang dikurniakan Ilahi, Azhar masih relevan dan menjadi ‘buruan’ penerbit dalam industri ini bagi mewarnai kaca televisyen penonton. Mana tidaknya, segala karakter yang dimainkan pelakon berpengalaman itu tidak pernah mengecewakan pencinta karya Melayu.
ARTIKEL BERKAITAN: Impak Bawa Watak ‘Ayam’, Naim Daniel Bangga Turut Terlibat Dalam Projek: High Council
Usai lebih tiga dekad menempa nama di persada seni tempatan, dia akui sebuah naskhah mahupun karya yang bagus datangnya daripada hasil nukilan skrip dan pengarah yang bagus, selain dibantu para pelakon yang lain dan kru sebagai ‘tulang belakang’ bagi menjayakan sebuah jalan cerita.
“Naskhah yang bagus pastinya datangnya dari sebuah skrip dan pengarah itu sendiri. Bagi pelakon pula, kita harus lakukan part dengan baik.
“Namun, saya percaya sebuah naskhah yang bagus adalah daripada skrip dan arahan. Kita perlukan penulis skrip yang bagus untuk sebuah karya yang bagus,” tuturnya ketika ditemu bual Remaja.
Kini telah menginjak usia 52 tahun, figura bekas Finalis Hero Remaja 1990-1991 itu kelihatan persis anak muda selain memiliki penampilan yang cukup menarik.
Kongsi pelakon drama fenomena Projek: High Council itu, tiada ‘rahsia’ bagi dirinya untuk kekal awet muda dan sentiasa sihat dalaman serta luaran. Malahan, dia memaklumkan dirinya cuma menggunakan sabun ‘Dettol’ untuk keseluruhan tubuh badannya ketika mandi bagi menjaga ketrampilan.
Pelakon filem pecah panggung, Trauma itu juga mempercayai sabun tersebut sedikit sebanyak membuatkan fizikal dan kulitnya kelihatan lebih muda selain bagi menghilangkan segala kekotoran dan kuman yang ‘hinggap’ di sekitar tubuh.
“Syukur Alhamdulillah, tuhan berikan saya tubuh, kulit dan kesihatan yang sihat. Bagi saya juga, saya bertuah kerana memiliki fizikal dan penampilan ini.
“Bersyukur juga sudah tiada maintenance, saya cuma menggunakan sabun jenama Dettol dari rambut hingga ke hujung kaki kerana saya percaya semua kuman akan mati. Maka, apabila tiada kuman pada tubuh badan anda, saya rasa itulah membuat diri ini kelihatan lebih muda.
“Saya tiada rahsia pemakanan yang saya ambil, mungkin juga kerana genetik. Jika anda lihat anak perempuan saya pun, dia ‘skinny’ dan hiperaktif seperti saya,” kongsinya.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Azhar Sulaiman