Ramai yang pernah tonton Life Of Pi kan. Ia kisah benar yang difilemkan mengenai seorang remaja berusia 16 tahun, Piscine Molitor Patel. Mungkin susah menyebut namanya, ia disebut Pi Patel sahaja.
Bayangkan, seorang diri terumbang ambing di Lautan Pasific. Tujuh bulan lamanya. Dari beberapa ekor haiwan, akhirnya Pi hanya bersama seekor harimau bengal. Situasinya antara hidup atau mati. Ternyata selepas difilemkan, sambutannya meletup.
Bagi yang belum tahu, Lautan Pasific berkeluasan 165 juta kilometer persegi. Alamnya mudah berubah. Cuaca, ombak besar menanti bila-bila. Tapi bila Allah belum mengambil nyawa, pengalaman hanyut itulah yang boleh dibaca oleh orang lain dijadikan sebuah pengalaman kehidupan.
Ternyata kisah Pi Patel turut boleh dibukukan oleh seorang remaja Indonesia iaitu Aldi Novel Adilang yang ditemui dalam keadaan lemah di Perairan Guam, Lautan Pacific selepas terumbang ambing selama 49 hari, seorang diri.
Kebanyakan akhbar dunia termasuk CNN melaporkan kisah remaja berusia 19 tahun ini yang ditemui selamat dan sudah dibawa pulang ke tanah kelahirannya, Indonesia.
Dalam satu temuramah, kata Adli, dia hanya makan ikan dan minum air laut sebagai ikhtiar untuk terus hidup selepas rumah botnya terputus tali sehingga dia hanyut di perairan Guam, Lautan Pasific.
“Saya lapar, dahaga dan ketakutan. Selalu memikirkan mati kerana sudah 10 kapal besar saya nampak ketika hanyut namun mereka tidak perasan rumah bot kecil ini. Ikan yang saya tangkap pun dibakar menggunakan kayu bot demi survival kehidupan,” katanya yang disangka sudah mati kerana hilang hampir dua bulan di lautan terbuka.
Bagi kebanyakan akhbar Indonesia yang menulis tentang kisah luar biasanya ini, media memaklumkan, Adli bekerja sebagai penjaga lampu bagi perangkap ikan dikenali Rompong (penangkapan ikan di tengah laut) 125km dari daratan.
14 Julai lalu, angin kuat telah menghanyutkan pondok tempatnya berteduh dari rompong ke Perairan Guam, lokasi antara Indonesia dan Jepun.
“Saya melambai kepada 10 buah kapal namun tiada siapa perasan sebelum diselamatkan oleh sebuah kapal dagang dari Panama. Ketika hanyut bekalan masih ada sedikit dan selepas itu mula habis. Saya tangkap ikan dan bakarnya menggunakan kayu rompong. Percikan ganas ombak yang terkena pakaian itu saya perah dan jadikan sebagai air minuman,” katanya yang sama sekali tidak menyangka tali yang mengikat rompongya terputus akibat angin kencang.
“Saat-saat susah itu, saya selalu terfikir mati,” kata Aldi yang masih lagi dalam keadaan trauma. Bagaimana pun Duta Indonesia di Osaka, Mirza Nurhidayat berkata keadaaan kesihatan Aldi nampak stabil dan kepulangannya juga sudah diuruskan. Sukar membayangkan bagaimana situasi itu dihadapi seorang anak remaja seperti Alda, jelas Mirza, pondok Aldi itu tidak mempunyai dayung atau enjin dan dia hanya belayar mengikut tiupan angin sahaja. Terumbang-ambing tanpa haluan.
Adli diselamatkan oleh kapal Panama, MV Arpeggio selepas isyarat radio daruratnya “tertangkap” oleh kapal tersebut.
Bermula terumbang ambing pada 14 Julai, dia ditemui selamat pada 31 Ogos 2018 pada jam 9.45 pagi lalu dibawa ke Pelabuhan Tokuyama, Yamaguchi pada 6 September lalu. Pemeriksaan kesihatan oleh Japan Coast Guard mengesahkan dia sihat. Dua hari kemudian, Adli disahkan sihat dan dibawa bawa pulang ke Manado, tempat asal kelahirannya menggunakan pesawat dan ditemukan kembali dengan ahli keluarganya.
Selain kisah Pi dan Adli, kisah yang sama pernah dialami oleh seorang remaja,Jose Ivan dari Mexico yang hanyut selama 16 bulan atau 1 tahun 4 bulan juga di Lautan Pasific. . Kisahnya sama seperti filem Cast Away, tanpa makanan dan minuman sebelum diselamatkan. Dia hanya hidup dengan makan kura-kura, minum darah kura-kura sebagai air jika tiada hujan selain menangkap ikan menggunakan tangan sahaja. Jose hanyut lebih 12,500 kilometer dari lokasi asalnya dan hanya hidup atas perahu kaca sepanjang 7.3 meter sebelum ditemui oleh kapal lain.
Ketika ditemui janggutnya sudah panjang, seluarnya koyak rabak manakala perahunya penuh dengan kesan calar balas kesan dari dipukul ombak yang ganas.