“Dadah Dulu Reputkan Badan, Dadah Sekarang Rosakkan Otak” – Sekali Terjebak Tak Akan Insaf?

Share

 

Pendedahan kes seorang penyanyi popular band 90-an kembali ditahan polis disebabkan isu dadah amat mengecewakan orang ramai.

 

Mamat Exist, 41 tahun dilaporkan ditahan di luar sebuah rumah kedai di Taman Perling, Johor Bahru dan didapati memiliki dadah jenis syabu (crystal methamphetamine) di dalam dompetnya malam tadi. Dia bagaimanapun tidak keseorangan dan ditemani oleh seorang kawan lelaki berusia 40 tahun.

Mamat Exist ketiga menyertai Gegar Vaganza.

Hasil ujian air kencing pula dilaporkan positif setelah penahanan mereka berdua disahkan oleh Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asst. Kommissioner Mohd Taib Ahmad.

Apa yang mengecewakan ramai orang terutamanya netizen yang meminati penyanyi tersebut adalah kerana ini bukanlah kes dadah pertama yang melibatkannya.

Pada tahun 2017, Mamat telah mengaku bersalah mengambil methamphetamine pada tahun 2011. 5 tahun Mamat diikenakan pengawasan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan malangnya, hasrat Mamat untuk kembali sebagai ‘penyanyi bersih dadah’ terbantut dengan penahanan semalam.

Adakah benar jika seseorang pernah bergelar penagih dadah, peluang untuk tidak melakukannya lagi adalah tipis?

*

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhiyddin Yassin penah memaklumkan bahawa kaum Melayu menjuarai carta paling ramai terlibat dengan dadah iaitu 88,522 orang ataupun 80.6 peratus berbanding kaum lain.

Jelas beliau, statistik ini berdasarkan laporan salah guna dadah daripada pihak berkuasa dan AADK sendiri. Penagih Melayu yang paling ramai terlibat adalah dari golongan remaja dan belia.

Bayangkan, penagih berusia 19-39 tahun saja mencatatkan bilangan penagih paling ramai iaitu sebanyak 80,598 orang atau 73.4 % diikuti golongan dewasa (40 tahun ke atas) seramai 26,197 orang atau 23.9 %.

Bagi penagih remaja dari usia 13 hingga 18 tahun saja sudah seramai 3043 orang atau 2.8 peratus!

Kaum Melayu menjuarai paling tinggi terlibat dengan najis dadah iaitu kira-kira 80 peratus

 

Datuk Yunus Pathi bersama tenaga sukarelawan yang membantunya di Rumah Pengasih

REMAJA tampil menemu ramah Presiden Rumah Pengasih Malaysia iaitu Datuk Mohd Yunus Pathi. Beliau sendiri sudah lebih 35 tahun bebas daripada najis dadah.

Bergerak sebagai sebuah badan bukan kerajaan, Rumah Pengasih bertindak sebagai pusat pemulihan yang membantu sesiapa saja yang terlibat dengan penagihan dadah secara sukarela.

“Di sini kita amalkan konsep bantuan sainsm psikologi, sosial dan spiritual. Kita akan betulkan pola pemikiran mereka, bagaimana mengendalikan emosi, mengubah tingkah laku dan betulkan soal tanggungjawab di mana setiap insan itu berguna biarpun pernah buat silap sebelum ini,” kata beliau.

Rumah Pengasih juga bukan saja untuk kes penagih dadah tapi penagih alkohol, ponteng sekolah malah bekas-bekas banduan juga boleh turut serta dalam program mereka.

 

Dadah jenis crstal meth atau disebut juga methamphetamine seperti syabu, ais, pil kuda amat popular di kalangan remaja masa kini.
Pil kuda amat banyak dan mudah didapati di kelab malam kerana penggunanya mahu menari sehingga tidak memikirkan apa-apa. Hanya mahu berseronok.

Beza dadah dulu dan sekarang?

Menurut Datuk Mohd Yunus Pathi, pola dadah dahulu dan sekarang begitu berbeza.

Kalau dahulu, dadah seperti heroin dan morfin merosakkan tubuh badan sehingga penagih ditemui dengan wajah cengkung. Tetapi trend dadah di kalangan remaja hari ini pula ialah crystal meth ataupun methamphetamine seperti syabu, ais, pil kuda dan sebutan lain. Semua itu dalam kategori yang sama.

Ddah jenis methamphetamine (syabu) mampu merosakkan pemikiran di mana halusinasi begitu tinggi. Beza dulu, tubuh badan jadi reput tapi sekarang otak boleh rosak terus,” katanya lagi.

Bagaimana nak kenal penagih dengan lebih awal?

Sukar bagi ibu bapa kenal pasti anak-anak terlibat dadah. Begitu juga sukar untuk kita tahu kawan kita menagih.

“Zaman dulu jika bau badan busuk dan mata merah, kita sudah boleh mengecam penagih. Tetapi sekarang, kesan methamphetamine tak sama bagi satu individu ke satu individu.

” Cuma kita boleh mengecam dari segi lain seperti tidur melebihi 8 jam, suka berkhayal dan pada waktu malam, mereka lebih terjerumus untuk keluar merayap hingga pagi,” katanya.

Golongan kanak-kanak biasanya bermula dengan menghidu gam sebelum terlibat dengan syabu, ais dan sebagainya apabila remaja kerana faktor kewangan

Boleh ke penagih dibantu oleh rakan sebaya?

Sebagai seorang yang “otai” dan memahami penagih dadah, Datuk Mohd Yunus Pathi ada jawapan kepada persoalan ini.

“Jauhi diri daripada mereka kerana seorang penagih mampu menarik orang lain menagih sama. Namun, jangan biarkan mereka bersendirian. Hubungi pihak berkuasa bagi menahan dan membantu mereka dengan proses rawatan.”

 

Sambung beliau, “Itu tak bermakna mereka tidak boleh insaf setelah sekali tersilap langkah. Namun apabila mereka sedang menerima rawatan dan selepas disahkan sembuh, kita sebagai ahli keluarga dan rakan perlulah sentiasa memberikan sokongan moral dan spiritual kepadanya untuk berubah.

“Jangan ingat sekali dan bersih, akan bersih selamanya. Proses saling menyayangi dan menjaga antara satu sama lain perlu diteruskan.”

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros