Memang tidak dapat dinafikan, kumpulan ikonik K-pop, Bangtan Boys atau lebih dikenali sebagai BTS telah menjadi perhatian seluruh dunia sebaik mengumumkan kemunculan album terbarunya minggu lepas ‘Map of the Soul: 7 ’.
Jelas, BTS tidak menoleh ke belakang dan terus mencatat kejayaan.
Terbaru, mereka muncul dengan album terbaru berjudul Map of the Soul:7 seminggu yang lalu dan album ketujuh BTS ini mencatatkan rekod jualan album tertinggi dalam sejarah.
Malah, album Map of the Soul: 7 dilaporkan memecah rekod tersebut dalam masa beberapa jam sahaja selepas diterbitkan pada 21 Februari lalu dengan 2.653 juta salinan.
Menurut Astro Awani, jumlah tersebut cukup untuk mencatatkan rekod baharu bagi jualan tertinggi dalam satu hari serta jualan tertinggi dalam seminggu bagi sebuah album.
Sebelum ini, BTS sudah memegang rekod untuk jualan album paling mengagumkan yang dicapai pada minggu pertama menerusi album berjudul Map of the Soul: Persona.
Map of the Soul: 7 menandakan 7 tahun pembabitan BTS dan mereka memperdengarkan kematangan grup ini. Kolaborasi bersama Ed Sheeran, Lauv, Troye Sivan, Sia dan Halsey menambah perisa ‘antarabangsa’ (although BTS can stand on their own, TBH) kepada album ini.
Namun penulis amat tertarik dengan single lain yang menceritakan perasaan peribadi setiap ahli. Antaranya seperti Moon (Jin), Inner Child (V), My Time (Jungkook) dan Filter (Jimin). Masing-masing mempunyai mesej tersendiri untuk disampaikan.
00.00 (Zero O’Clock) adalah single yang akan diulang dengar oleh korang kerana ramai yang mampu relate kepadanya.
Album tersebut berjaya mencatat jualan 2.13 juta salinan dalam tempoh tujuh hari pertama diterbitkan. Pada Jumaat, buah tangan terbaharu BTS mencipta satu lagi rekod baharu dalam sejarah Korea Selatan setelah berjaya mencatat jualan 3.378 juta album dalam tempoh seminggu.
Wah, hebat betul pengaruh kpop ni. Apapun tahniah kami ucapkan!
Sumber : Astro Awani
“Mike Ni!” – Ben Amir & Mira Filzah Pun Tak Sangka ‘Sweet Dreams’ Tambah 2 Episod
Buat nervous je tau!
Ramai penonton drama Sweet Dreams yang menyangka bahawa malam ini merupakan episod terakhir drama tersebut di saluran Astro Ria.
Menurut perancangan awal, sepatutnya drama trending tersebut hanya berlarutan sehingga 18 episod. Namun dek kerana popularitinya sejak episod pertama hinggalah sekarang, ia telah dipanjangkan sehingga menjadi 20 buah episod.
Kejutan tersebut bukan hanya untuk para penonton saja. Menerusi video live Instagram yang melibatkan pelakon utamanya, Ben Amir dan Mira Filzah, mereka turut tak menyangka yang pengarah drama itu iaitu Michael Ang dan Astro memutuskan untuk menambah 2 episod ekstra.
“Serius, kami pun baru tahu malam ini. Tak sangka,” kata Ben yang bakal terbang ke Brunei esok.
Mira juga menganggap ia sebagai hadiah istimewa untuk peminat drama Sweet Dreams.
Sementara itu, seorang lagi pelakon tersebut iaitu Yuna Rahim berkata dia tahu mengenai perkara tersebut tak lama dahulu, menerusi Instagram Live-nya.
Hanya pada hari ini, dia boleh berkongsi perkara itu dengan orang ramai.
Pandai simpan rahsia Cempaka ni!
Apapun, ramai netizen yang tak sabar untuk menonton episod esok setelah menyaksikan bahagian sedutan ‘episod seterusnya’ sebentar tadi.
Menerusi sedutan itu, Karl lakonan Sean Lee telah membuat kemunculan khas dan mengejutkan Puteri.
Manakala, Qash Adam lakonan Ben pula dijangka akan menjalankan operasi pembedahan setelah Puteri dilihat berada di dalam bangunan mirip koridor hospital.
BACA: Peminat Drama Sweet Dreams Terkejut Ada Makna Kuntuman Bunga Ros
15 Pemimpin Dunia Ini Sudah Didakwa Sebagai Kaki Rasuah, Adakah Malaysia Termasuk Juga?
Hari ini rakyat kecoh membicarakan tentang penggeledahan rumah bekas pemimpin iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilakukan oleh sepasukan anggota polis sejak tengah malam semalam.
Biar tiada penahanan dilakukan setakat hari ini tetapi beberapa barangan sudah dibawa keluar dari kondominium mewah miliknya di Pavilion dan di Langgak Tunku, Jalan Duta Kuala Lumpur.
Senario ini tentunya menarik perhatian masyarakat adakah benar bekas Perdana Menteri Malaysia DS Najib dan isterinya, DS Rosmah Mansor akan menghadapi pertuduhan seperti mana “rumours”. Jika ianya benar-benar terjadi, hal ini akan tercatat sebagai sejarah kerana belum pernah lagi ada bekas Perdana Menteri Malaysia dikenakan pertuduhan.
Dunia dan politik tidak pernah terpisah namun sejarah juga tidak pernah menipu. Sudah ramai pemimpin dunia dipenjarakan akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa sepanjang pemerintahan. Ada bekas pemimpin mengutip ribuan juta semasa berkuasa dan akhirnya semuanya terbongkar selepas disingkirkan.
Semak, pemimpin dunia mana termasuk negara Asean yang pernah didakwa dan dijatuhkan hukuman penjara akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa ketika berada di tampuk kepimpinan.
Bekas Presiden Filipina – Benigno Aquino
Sebelum Rodrigo Duterte menjadi Presiden Filipina sekarang, bekas Presiden ke 15 negara terlibat, Benigno Aquino mentadbir Filipina. Setahun selepas kejatuhannya pada 2016, Benigno didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar undang-undang dan penyalahgunaan kuasa.
Pada tahun 2015, dengan kuasa yang ada Aquino sengaja membiarkan Ketua Polis, Jeneral Alan La Madrid membuat keputusan untuk bertempur dengan pejuang militan Islam yang mengakibatkan 44 orang polis, 18 pejuang Islam dan 5 orang awam mati dalam pertempuran tersebut. Dihadapkan ke muka pengadilan, Aquino boleh di penjarakan sehingga 15 tahun lamanya.
Bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo
Nampaknya Presiden Filipina tidak dapat lari dari isu dan kontroversi. Kali ini melibatkan Presiden ke-14 iaitu Gloria Macapagal Arroyo yang didakwa berkomplot dengan seorang Ketua Turus Angkatan Tentera untuk menipu dalam pilihanraya. Jika sabit salah, boleh dipenjarakan seumur hidup.
Beliau ditangkap selepas dihalang dari keluar dari Filipina bagi menjalani rawatan sakit tulang belakang. Penggantinya, Benigno Aquino semasa berkempen mendakwa Arroyo mengamalkan rasuah. Arroyo juga melanggar banyak akta rasuah dan penipuan pilihan raya semasa era pemerintahan beliau dari 2001 hingga pertengahan tahun 2015.
Beliau beberapa kali menggagalkan usaha Parlimen untuk memecatnya ekoran dakwaan melakukan penipuan dalam pilihan raya semasa memerintah Filipina. Malah semasa sudah dilantik, memang benar Arroyo didakwa kerana rasuah. Ternyata bila berada di atas, Aquino juga menyalahguna kuasanya sebagai Presiden. Nampak tak permainan orang politik! Sebelum dilantik berjanji berbagai tapi bila diatas, segalanya terlupa!
Bekas Presiden Filipina – Ferdinand Marcos
Berjuta-juta dollar Amerika ditemui di simpan di bank Swiss selepas bekas diktator Ferdinand Marcos digulingkan oleh rakyat Filipina. Memerintah hampir 20 tahun, sudah banyak harta negara disonglapnya dan masa yang sama rakyat begitu menderita. Masa yang sama bekas Presiden ini dan isterinya, Imelda Marcos berseronok, membeli barangan mewah seperti berlian, kasut dan simpanan lebih dari USD712 juta. Bekas Presiden ini mati dalam buangan di Hawaii dan mayatnya tersimpan lama di luar negara kerana rakyat begitu benci kepadanya dan menolak untuknya dikebumikan di sini sebelum diberi kebenaran oleh Duterte.
Bekas Presiden Korea Selatan – Park Geun-Hye
Tidak hanya Filipina, bekas Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye juga didakwa terlibat dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa selain membocorkan rahsia negara semasa menduduki kerusi tertinggi negara. Turut terlibat dalam skandal rasuah ini ialah bekas Presiden Samsung, Lee Jae-yong yang dikatakan turut bersubahat.
Bekas Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak
Bekas Presiden ini telah didakwa atas tuduhan rasuah. Tidak hanya rasuah tetapi Lee Myung-Bak turut didakwa atas tuduhan salah guna kuasa, mengambil dana kerajaan dan mengelak cukai.
Pertuduhan itu dikemukakan beberapa hari selepas pengganti Lee, Park Geun-hye dihukum penjara 24 tahun juga kerana rasuah.
“Kami akan mengumpul hasil aktiviti jenayah Lee yang diraih menerusi cara yang salah dengan teliti,” kata Pendakwa raya Han Dong-hoon. Dia berdepan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan, lapor agensi berita Yonhap.
Bekas Presiden Brazil – Dilma Rousseff & Luiz Inacio Lula da Silva
Dua bekas presiden Brazil, Dilma Rousseff dan Luiz Inacio Lula da Silva didakwa atas tuduhan rasuah membabitkan Petrobras, syarikat minyak gergasi milik negara itu.Tuduhan berkenaan sekali gus memberi kesan buruk kepada Lula yang ingin bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2018.
Dilma adalah pengganti pilihan Lula dan presiden wanita pertama Brazil. Dipercayai Dilma menerima USD475 juta atau kira-kira RM2.02 bilion dalam bentuk rasuah, menggunakan kemudahan awam Petrobras, Bank Pembangunan Nasional (BNDES) dan Kementerian Perancangan.
Bekas Presiden Brazil – Michel Temer
Bekas Presiden, Michel Temer atas dakwaan terlibat dalam kegiatan haram dan menghalang proses keadilan. Dia dituduh bersama enam pemimpin kanan dari parti politiknya, tiga daripada mereka kini merengkuk di dalam penjara. Semua mereka berdepan tuduhan yang sama, lapor The Guardian.
Temer didakwa menerima rasuah sebagai ganjaran membuat keputusan-keputusan politik tertentu dan bersubahat menyuap saksi yang boleh mensabitkan kesalahannya.
Bekas Perdana Menteri Thailand – Yingluck Shinawatra
Bekas Presiden dalam pelarian ini terlibat dalam rasuah berhubung skim subsidi padi yang penuh kontroversi. Pihak kerajaan mengalami kerugian berbilion bath kerana banyak lebihan selain membeli pada harga lebih tinggi dari pasaran.
Malah kes Yingluck juga agak kontroversi kerana dia berjaya melarikan diri mengikut jalan laut dan khabarnya kini berada di London kerana kelibatnya pernah kelihatan di negara terlibat.
Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra
Merupakan abang kepada Yingluck dan jutawan telekomunikasi sebelum menjawat jawatan Perdana Menteri Thailand. Thaksin digulingkan dari tampuk pemerintahan atas dakwaan rasuah.
Thaksin ditumbangkan dalam rampasan kuasa 2006 dan sejak itu hidup dalam buangan bagi mengelak disabitkan dengan tuduhan rasuah yang didakwanya bersifat politik.
Bekas Presiden Perancis – Nicolas Sarkozy
Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy didakwa terbabit dalam kegiatan rasuah dan salah guna kuasa sekaligus menjadi pemimpin pertama negara itu menghadapi pertuduhan jenayah. Jika didapati bersalah, beliau berhadapan hukuman penjara maksimum 10 tahun.
Kesnya bermula apabila bekas pemimpin Libya, Muamar Gaddafi membiayai kempen politiknya dengan memberikan sebanyak 50 juta euro selain dari wanita terkaya Perancis iaitu pewaris L’oreal, Liliane Betencourt. Ada juga dakwaan dia menerima RM13.6 juta untuk kempen pilihanrayanya.
Bekas Perdana Menteri Bangladesh – Khaleda Zia
Bekas pemimpin ini telah didapati bersalah telah didapati bersalah atas satu kesalahan rasuah dan dihukum penjara lima tahun. Turut terkena anak lelakinya, Tarique Rahman. Zia dan lima yang lain termasuk anak lelakinya, Tarique, telah didakwa menggelapkan lebih 20 juta taka (USD253,164) sumbangan asing untuk Tabung Amanah Anak-Anak Yatim Zia dari tahun 2001 hingga 2006, ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Bekas Presiden Afrika Selatan – Jacob Zuma
Ini lagi pemimpin yang terlibat dengan rasuah. Biar negaranya mengalami kemelesetan ekonomi tetapi Jacob Zuma begitu tegar memakan rasuah lebih dari 9 tahun pemerintahannya.
Bekas Presiden Taiwan – Chen Shui-bian
Bekas Presiden Taiwan, Chen Shui-bian yang sering membangkitkan kemarahan China dengan pendirian prokemerdekaan beliau, mula didakwa atas beberapa tuduhan rasuah. Beliau yang pernah berjanji untuk membersihkan politik Taiwan merupakan bekas pemimpin pertama negara ini yang didakwa.
Beliau dan isterinya Wu Shu-chen didakwa menggelapkan dana awam berjumlah berjuta-juta dolar selain menerima rasuah yang besar dalam satu urus niaga pembelian tanah. Anak lelaki dan menantu mereka juga didakwa melakukan penggubahan wang haram.
Bekas Perdana Menteri Isreal – Ehud Olmert
Rupanya bekas Perdana Menteri Israel Ehud Olmert pernah didakwa akibat rasuah dan menerima hukuman penjara 27 bulan sekaligus menjadi pemimpin pertama negara Israel yang dijatuhkan hukuman penjara.
Bekas Presiden Peru – Alejandro Toledo
Jabatan kehakiman Peru meminta Amerika Syarikat mengekstradisi bekas pemimpinnya, Alejandro Toledo yang didakwa melakukan rasuah.Toledo berdepan pertuduhan menerima rasuah sebanyak US$20 juta daripada gergasi pembinaan Brazil, Odebrecht, sebagai pertukaran untuk kontrak kerja-kerja awam yang menguntungkan. Presiden Peru dari 2001 hingga 2006 itu juga didakwa melakukan kesalahan menjaja pengaruh dan pengubahan wang haram.
Jadi, adakah sejarah juga bakal tercatat di Malaysia dengan isu penggeledahan di kediaman DS Najib semalam?
Keliru Boleh Ke Tidak Kibar Bendera Putih Meminta Bantuan? Dengar Penjelasan Mufti WP
Sejak dua menjak ini viral tentang tanda pagar #KempenBenderaPutih telah galak dikibarkan di sekitar platform media sosial. Kempen ini mempunyai mesej yang mudah; iaitu meminta orang ramai yang sedang dalam kesusahan untuk menaikkan bendera putih di kediaman mereka bagi memaklumkan kepada umum bahawa mereka memerlukan pertolongan.
#Kempenbenderaputih juga digerakkan warganet untuk membantu rakyat yang terdesak dan memerlukan bantuan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Namun, selepas kenyataan beberapa pemimpin mengenai menasihatkan golongan yang terdesak supaya berdoa kepada Tuhan.Masyarakat mula keliru tentang hukum kibar bendera putih ni, adakah ia berdosa dianggap terlalu meminta-minta?
Akhirnya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Irsyad Al-Fatwa telah menjawab persoalan ini.
Ini ulasannya :
Irsyad Al-Fatwa Siri ke-588: Hukum Kibar Bendera Putih Untuk Meminta Bantuan
Soalan
Salam, saya nak minta penjelasan tuan mufti berkenaan isu kibar bendera putih baru-baru ini. Isu ni asalnya pasang bendera putih sebagai isyarat untuk minta bantuan jika ada yang dalam kesusahan era PKP, namun ada yang mengatakan tidak boleh kibar atau pasang bendera putih kerana seperti membuka aib dan ia menunjukkan kekalahan dan tanda putus asa. Mohon penjelasan tuan mufti untuk isu ini.
Ringkasan Jawapan
Waalaikumussalam wbt. Hukum menggunakan bendera putih sebagai cara untuk meminta bantuan ketika kesusahan bergantung kepada perspektif kita melihat perkara tersebut.
Jika perbuatan itu atas dasar membantu mereka yang memerlukan dengan cara memudahkan pihak yang ingin memberi bantuan dan mengenal pasti pihak yang dalam kesusahan, maka boleh dilaksanakan. Sebaliknya jika kita lihat itu sebagai mengaibkan diri sendiri maka wajar dielakkan.
Dalam keadaan sekarang, ramai pihak sudi menghulurkan bantuan dan juga disediakan nombor-nombor untuk dihubungi bagi mereka yang dalam kesusahan. Mereka juga boleh menghubungi terus pihak yang membantu untuk segera mendapatkan bantuan.
Ia terserah kepada pertimbangan masing-masing dalam melaksanakan melalui cara dan inisiatif dalam bentuk bagaimana yang dirasakan selesa.
Huraian
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkahnya sehingga hari akhirat.
Meminta bantuan ketika kesusahan tidak dilarang di dalam Islam. Bahkan digalakkan untuk mereka yang mampu dari segi harta mencari orang-orang yang susah dan fakir miskin. Kebanyakan daripada kita semua beranggapan ramai yang mampu bertahan ketika dalam kesusahan, tetapi sebaliknya mereka yang dalam kesusahan ini memilih untuk memendam keresahan dan berdiam diri. Hal ini sangat bertepatan dengan firman Allah SWT:
لِلْفُقَرَاءِ الَّذِينَ أُحْصِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الْأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَاهُمْ لَا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا ۗ وَمَا تُنفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Pemberian sedekah itu ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya”
[Surah al-Baqarah (273)]
Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili mengatakan ayat ini menegaskan kepada orang-orang mukmin bahawa sedekah itu hendaklah diberi kepada orang-orang yang memerlukan, sama ada orang Islam ataupun yang bukan Islam tidak kira mereka daripada golongan musyrik atau daripada Ahli kitab.
Beliau juga mengatakan tidak salah untuk meminta bantuan ketika di dalam kesusahan, dan ia bukanlah suatu perkara yang memalukan atau aib. Ayat ini juga menjadi dalil akan luasnya sifat rahmah dan kasih sayang di dalam Islam untuk sekalian manusia mengatasi batasan agama.
(Rujuk Tafsir al-Munir: 2/82[1])
Antara meminta-minta dan meminta kerana susah
Umum mengetahui bahawa perbuatan meminta-minta adalah perbuatan yang buruk. Tetapi perlu difahami bahawa perbuatan meminta-minta yang dilarang tersebut adalah bagi orang yang mempunyai kemampuan serta cukup keperluannya yang kemudian masih lagi meminta-minta daripada orang lain.
Imam Ibn Kathir ketika menerangkan bahawa perkataan (لا يسألون الناس إلحافا) dalam ayat 273 Surah al-Baqarah merujuk kepada perbuatan meminta-minta kepada orang lain dalam keadaan dia tidak mempunyai hajat atau keperluan kepadanya. Menurut beliau lagi, perbuatan meminta-minta yang dilarang juga merujuk kepada orang yang sengaja meminta sesuatu daripada orang lain untuk menambah atau memperbanyakkan hartanya.
(Rujuk Tafsir Ibn Kathir 705/1[2])
Tambahan lagi, terdapat beberapa hadis yang diriwayatkan berkenaan perkara ini, antaranya Rasulullah SAW bersabda:
” من سأل وعنده ما يغنيه فإنما يستكثر من جمر جهنم ” قالوا يا رسول الله: وما يغنيه؟ قال: ” ما يغديه أو يعشيه “
Maksudnya: Sesiapa yang suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai kecukupan keperluan bagi dirinya maka dia sedang memperbanyakkan batu api neraka. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah dikira sebagai cukup keperluannya?” Baginda menjawab, “Sesuatu yang mencukupi bagi dirinya (untuk makan) pada waktu siang dan malam.
[Riwayat Abu Daud (1629)]
Selain itu, terdapat juga riwayat lain yang menyebut tentang orang yang meminta-minta dengan tujuan untuk mengumpul harta, sedangkan dalam masa yang sama keperluannya mencukupi. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَأَلَ اَلنَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا, فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا, فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ
Maksudnya: Sesiapa yang meminta harta daripada orang lain dengan niat untuk memperbanyakkan hartanya maka dia sebenarnya meminta bara api neraka. Oleh itu, terpulanglah pada dia untuk meminta sikit atau banyak.
[Riwayat Ibn Hibban (534)]
Perbuatan meminta-minta adalah dilarang sekiranya orang meminta tersebut mempunyai kemampuan untuk bekerja mencari rezeki dan keperluannya mencukupi. Namun begitu, dalam keadaan memaksa dan tersepit, meminta bantuan adalah perkara yang wajar dan tidak termasuk dalam larangan meminta-minta yang dinyatakan.
(Rujuk Tafsir al-Munir 76/3[3]; Syarh al-Masobih 442/2[4])
Tolong-menolong asas kekuatan orang beriman
Islam menggalakkan umatnya untuk mengambil berat terhadap masyarakat sekeliling terutamanya jiran tetangga. Ini kerana asas keimanan seorang mukmin adalah sifat tolong-menolong sesama jiran yang dalam kesusahan. Sabda Nabi Muhammad SAW:
لَيْسَ الـمُؤْمِنُ الذِي يَشْبَعُ، وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَى جَنْبِهِ
Maksudnya: “Tidaklah seorang itu dianggap orang beriman yang mana dia dalam kekenyangan dan dalam masa yang sama jiran sebelahnya kelaparan”
[Riwayat al-Baihaqi (19668)]
Hadis di atas menunjukkan betapa pentingnya untuk seorang mukmin mengambil cakna akan jiran tetangganya serta tidak mementingkan diri sendiri. Seorang mukmin juga sepatutnya mengamalkan sikap cakna dan saling menguatkan antara satu sama lain .
Oleh kerana itu, dalam keadaan saudara seislamnya dilanda kesempitan dan kesusahan, orang yang beriman perlu menghulurkan bantuan bagi mengurangkan beban saudara seagama mereka.
(Rujuk Fiqh al-Nawazil li al-Aqaliyyat al-Muslimah 930/2[5])
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, meminta bantuan sama ada dalam bentuk kewangan, makanan dan sebagainya adalah dibenarkan bagi orang yang betul-betul dalam kesempitan. Manakala hukum menggunakan bendera putih sebagai cara untuk meminta bantuan ketika kesusahan bergantung kepada perspektif kita melihat perkara tersebut.
Jika perbuatan itu atas dasar membantu mereka yang memerlukan dengan cara memudahkan pihak yang ingin memberi bantuan dan mengenal pasti pihak yang dalam kesusahan, maka boleh dilaksanakan. Sebaliknya jika kita lihat itu sebagai mengaibkan diri sendiri pula maka wajar dielakkan.
Dalam keadaan sekarang, ramai pihak sudi menghulurkan bantuan dan juga disediakan nombor-nombor untuk dihubungi bagi mereka yang dalam kesusahan. Mereka juga boleh menghubungi terus pihak yang membantu untuk segera mendapatkan bantuan. Ia terserah kepada pertimbangan masing-masing dalam melaksanakan melalui cara dan inisiatif dalam bentuk yang bagaimana yang dirasakan selesa.
Suasana pandemik sekarang ini adalah berbeza dan di luar dari kebiasaan yang pernah kita hadapi. Terdapat ramai pihak yang hidup ditimpa kesusahan dengan pelbagai bentuk masalah melibatkan pelbagai latar belakang. Oleh itu tidak sepatutnya sebarang isu yang berkaitan dengan bantuan dan meminta bantuan dipolemikkan.
Bagi yang ingin membantu, tanamkan keikhlasan dalam hati untuk membantu, manakala bagi yang memerlukan bantuan pula boleh memohon bantuan mengikut kaedah yang dirasakan selesa dengan cara masing-masing. Apa yang penting tunjukkan akhlak dan perilaku yang mulia di semua keadaan. Wallahua’lam.
Ingat guys, jangan pernah mengalah. We are all in this together.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan