Dah Boleh Solat Jumaat Selepas 7 Minggu Tertinggal? Nasihat & Pandangan KKM Dijadikan Rujukan Oleh Menteri Agama

Share

Selepas tujuh minggu tidak berpeluang menunaikan solat fardu Jumaat, hari ini Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5 telah diadakan bagi membincangkan Garis Panduan Solat Jumaat Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam mesyuarat pagi tadi,  8 Mei 2020 bersamaan 15 Ramadhan 1441H, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5 telah diadakan bagi membincangkan Garis Panduan Solat Jumaat Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Garis panduan ini disediakan bagi penelitian para Ashabus Samahah Mufti-Mufti seluruh Malaysia selaku pihak berkuasa agama negeri dan Ahli-Ahli Dilantik MKI sebagai satu panduan bersama sebelum dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Menteri di jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, sebagaimana amalan kebiasaan, resolusi muzakarah ini akan di bawa kepada Majlis Raja-Raja sebagai satu pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri. Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri. Hal ini jelas disebut di bawah Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya amat menjunjung hikmah dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam mempertimbangkan dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di negeri-negeri dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dalam mempertimbangkan dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri tidak beraja.

“Buat masa ini, saya menyeru seluruh umat Islam untuk mematuhi segala peraturan berkaitan penangguhan aktiviti keagamaan di masjid dan surau yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri dan sentiasa memanjatkan doa agar wabak ini beransur hilang. Yakinlah bahawa akan tiba saatnya masjid dan surau kembali meriah dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan diimarahkan dengan sebaiknya,” katanya lagi.

Published by
Almaswa Haji Che Ros