Dalam Tak Sedar, Ramai Dari Kita Terkena ‘High Function Depression’. Jangan Pandang Remeh Soal Tekanan Perasaan.

Share

Tahap tekanan perasaan ini boleh dibahagikan kepada rendah dan tinggi. Mereka yang menghadapi low function depression kebiasaannya boleh kita lihat secara jelas yang mereka terkesan dek tekanan perasaan.

Namun berbeza dengan mereka yang terkesan dek high function depression, mereka tidak menunjukkan ciri-ciri menghadapi tekanan persaan namun sebenarnya sedikit-demi sedikit simptom tersebut mampu memakan diri.

Menurut laporan Public Health Malaysia, bukan mudah untuk seseorang individu melalui tekanan jenis ini kerana mereka masih mampu bekerja dan melakukan aktiviti harian seperti biasa. Namun itu tidak bermakna mereka tidak menderita.

Kebiasaanya mereka masih mampu tersenyum dan berjenaka bersama teman namun itu sebenarnya adalah topeng kerana mereka sukar berkongsi rasa sedih dan murung.

Mereka juga mengalami imposter syndrome yang mana bagi mereka apa kejayaan yang dicapai tidak pernah cukup biarpun dimata orang lain mereka sudah mencapai sesuatu kejayaan yang membanggakan. Sikap rasa tidak layak dan selalu rasa tidak cukup bagus antara ciri-ciri imposter syndrome.

Antara ciri mereka yang menghidapi high function depression lagi adalah sikap bekerja tanpa henti. Sebenarnya sikap ini seolah-olah mahu melupakan penderitaan dengan sentiasa membuat diri mereka sibuk. Hakikat sebenar, individu tersebut sedang bergelut dengan emosi sendiri.

Selain itu, orang yang menghidapi masalah ini selalunya nampak tenang walaupun dalam situasi yang sibuk, sebenarnya ini adalah indikasi yang mereka sudah lali, mematikan perasaan dan tiada emosi.

Jadi pesanan penulis untuk anda yang mengalami situasi seperti ini anda boleh berbincang tentang masalah yang dihadapi dengan orang yang dipercayai dan segera dapatkan bantuan. Kerana lama-kelamaan tekanan perasaan ini jika sudah sampai ke kemuncak akan memberi kesan yang tidak baik untuk diri.

***P/S – Guys, bila ada rakan-rakan yang mengalami masalah ini, jangan pernah cakap kepada mereka tentang soal ingat tuhan, solat dan berdoa kepada tuhan. Masalah tekanan perasaan tidak boleh disembuhkan dengan cara begitu. Dan jangan ingat orang yang hadapi tekanan perasaan ini tidak solat dan tidak ingat tuhan. Ini adalah masalah di dalam diri dan minda mereka.

Sumber: Public Health Malaysia.

 

Published by
Fiezreen