Seni & Budaya

Dapat Ilham Lirik Lagu & Skrip Saat Di Bilik Mandi, Arwah Saloma Dedah Sisi Unik Allahyarham P. Ramlee

Share

Di mana kan ku cari ganti
Serupa dengan mu….

Kaya dengan warisan dan budaya, negara kita dikurniakan dengan bakat anak seni buat sekian lama dari zaman ke zaman.

ARTIKEL BERKAITAN: 18 Filem Tan Sri P. Ramlee Paling Legend, Masih Segar Dalam Ingatan

P. Ramlee dalam sebuah adegan Bujak Lapok.

Salah satu daripada tokoh seni negara ialah Allahyarham P. Ramlee, atau nama sebenarnya Tan Sri Datuk Amar Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh, yang tidak lekang daripada menjadi buah mulut sehingga kini.

P. Ramlee yang dilahirkan di Pulau Pinang telah bergelumang dalam industri seni negara selama 25 tahun sebagai pengarah, pelakon, penyanyi, pemuzik dan penggubal lirik.

Antara filem arwah seniman negara yang menjadi ‘box-office’ adalah Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, Anakku Sazali dan Madu Tiga.

Rumah kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang telah dijadikan muzium

 

P. Ramlee pernah berkahwin sebanyak tiga kali, dengan isteri terakhirnya Allahyarhamah Puan Sri Datin Amar Salmah Ismail, atau lebih dikenali sebagai Saloma.

Berkahwin pada 21 November 1961, hubungan mereka kekal hingga ke nafas terakhir P. Ramlee pada tahun 1973.

Baru-baru ini, satu video temu bual arwah Saloma mengenai arwah P. Ramlee yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok (@sweett0901) telah tular di media sosial.

Pada awal temu bual, dia memberitahu bahawa arwah seniman itu pasti mahukan ikan kering untuk makan bersama-sama dengan nasi. Jika tiada ikan kering, beliau sanggup tidak makan dan Saloma pasti akan segera menggorengkan ikan tersebut untuknya.

Menurut Allahyarhamah Saloma, P. Ramlee mencipta lagu tidak kira masa sama ada siang mahupun malam. Yang lebih menarik lagi, P. Ramlee mendapat ilham mencipta lagu dan menulis skrip di bilik mandi.

@sweett0901 Al-fatihah buat kedua2 arwah saloma&p.ramlee…#pramlee #saloma #pramleesaloma #terding #fypシ゚viral #fypシ #fyp #fyp #fyp #fypdonggggggg ♬ original sound – sweet

Saloma berkata suaminya itu boleh berada di dalam bilik mandi berjam lamanya sehingga menimbulkan kerisauan, terutamanya sewaktu awal perkahwinan.

Apabila pengkarya itu sedang mendapatkan ilham, Saloma tidak mengganggunya dan akan menggunakan bilik mandi lain.

Dia berkata bilik mandi berkenaan seolah-olah khas untuk arwah suaminya, dan turut dibersihkan dan dikekalkan dalam keadaan cantik oleh arwah sendiri.

Foto perkahwinan P. Ramlee dan Saloma.

Tambahnya, jika P. Ramlee mengambil masa tiga hari untuk menghasilkan lagu, selama itu jugalah mereka tidak akan bercakap sesama sendiri, kecuali untuk perkara penting.

Saloma berkata dia telah benar-benar memahami cara suaminya dan menganggap P. Ramlee sebagai seorang yang ganjil. Berbeza dengan Saloma yang suka membaca buku, P. Ramlee sebaliknya gemar membaca surat khabar.

Buat makluman, Saloma merupakan seorang penyanyi dan pelakon yang telah dikurniakan gelaran Biduanita Pertama Negara pada 1978. Saloma turut menjadi wanita warganegara pertama yang ditawar kontrak menyanyi di luar negara, yakni di Perth, Australia.

Saloma telah meninggal dunia pada 25 April 1983 akibat penyakit kuning, 10 tahun setelah pemergian suami tercinta. Dia dikuburkan bersebelahan pusara Allahyarham P. Ramlee di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

KREDIT FOTO/ARTIKEL: Arkib Negara, Wikipedia, TRPBM

Published by
Adriana Syaurah