Malam semalam telah menyaksikan peserta dari Singapura, Farhan Shah terpaksa meninggalkan pentas Big Stage 5.
Penyanyi berusia 31 tahun itu tersingkir menerusi Imuniti-X yang digunakan juri profesional, Ajai dan Aina Abdul bagi menyelamatkan kumpulan Dem Lepak Boyz yang sepatutnya menjadi peserta yang tersingikir, pada malam semalam.
Berhubung perkara tersebut, pelantun lagu Racun itu memaklumkan dia sudah pun menjangka dirinya akan menjadi peserta yang tersingkir, pada minggu ini.
ARTIKEL BERKAITAN: #BigStage2023 Minggu 6: Farhan Shah Tinggalkan Pentas, Waode Terima Markah 100% Dari Aina Abdul, Putera Muhammad Pula ‘Menang Besar’!
“Saya dah jangka yang saya akan tersingkir minggu ini,sebenarnya dari minggu lepas bila Aina bagi saya markah 39.
“Tapi minggu lepas saya keliru kenapa dapat markah paling rendah daripada Aina, jadi saya cuba cari apa kesalahan saya.
“Tetapi saya rasa i don’t deserve 39, so daripada situ saya sudah dapat agak yang saya akan tersingkir,” tuturnya.
Bercakap mengenai terguris hati kerana harus meninggalkan Big Stage 2023, Farhan menyatakan dia dapat merasakan bahawa juri tetap yang juga penyanyi popular, Aina Abdul tidak menyukai dirinya.
“Terguris hati itu, dari minggu lepas lagi saya dapat rasa yang Aina betul-betul tidak suka saya, saya rasa begitu.
“Mungkin dari segi vokal ataupun persembahan saya betul-betul tidak tahu, jadi saya mahu dengar penjelasan dari Aina, jadi bila diumum mengenai Imuniti X saya dah tahu Aina akan pilih saya berbanding Firdaus Rahmat,” katanya lagi.
Pada masa sama, Farhan juga menyatakan dia akan meneruskan untuk melebarkan sayapnya di Malaysia dan berterima kasih atas sokongan yang diperolehi sepanjang berada di program tersebut.
Sekadar informasi, Farhan menjadi bintang Big Stage 2023 keempat yang tersingkir pada konsert minggu keenam yang bersiaran secara langsung, pada Ahad.
Dia yang mendapat markah sebanyak 64.00% gagal meneruskan perjuangan pada minggu ketujuh yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan.
Big Stage 5 akan terus bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap hari Ahad, jam 9:00 malam menerusi saluran 104 Astro Ria selama sepuluh minggu.
Sepanjang penganjuran, Big Stage telah menobatkan empat juara yang terdiri daripada Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan, Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan terbaharu, Elica Paujin (2022).
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Farhan Shah