Setiap orang pasti menyimpan cita-cita untuk menyambung pendidikan ke peringkat universiti. Itu juga merupakan impian setiap pelajar lepasan SPM dan STPM yang ingin melihat masa depan mereka lebih terjamin. Malah selain pelajar, kedua ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan pastinya menjadi orang paling gembira melihat kejayaan kamu menyambung pendidikan ke menara gading.
Tidak semua orang diberikan peluang untuk menyambung pendidikan. Apatah lagi persaingan untuk mendapatkan tempat di universiti terbaik seluruh negara kini semakin hebat.
Tapi bagaimana jika kamu mendapat tawaran untuk menyambung pendidikan ke universiti tetapi dalam jurusan bukan pilihan pertama atau kedua kamu. Atau mungkin juga ia langsung tidak tersenarai sebagau jurusan pilihan kamu.
Bertenang, kamu bukanlah orang pertama yang berdepan dengan situasi ini. Ia merupakan satu fenomena biasa dalam dunia pengajian tinggi.
Ada setengah orang terus menolak tawaran itu tapi ada juga yang mencubanya. Kali ini Remaja ingin kongsikan bagaimana jika kamu mahu mencuba dan apa yang perlu kamu lakukan?
Sukar? Ya, mungkin kerana ia bukan jurusan yang kamu minta. Tetapi jika kamu bersedia menerima perubahan dan berani ia bukanlah satu perkara mustahil.
Semua orang mempunyai keistimewaan, kecenderungan dan keupayan berbeza. Ini membuatkan setiap orang mempunyai kelebihan berbeza dan juga potensi yang boleh diasah. Pertama sekali janganlah ‘menutup’ minda kamu dengan satu minat sahaja. Mungkin jurusan yang ditawarkan tidak sesuai dengan pilihan tetapi jika kamu berjaya kuasainya ia pasti memberikan kepuasan tidak terhingga. Bahkan kamu menjadi orang yang lebih hebat kerana berjaya lakukan sesuatu yang kurang diminati dengan berjaya.
Percayalah ramai di antara kamu pelajar lepasan sekolah mempunyai bakat tersembunyi yang belum diterokai. Dunia ini terlalu luas untuk kamu jelajahi dan pelajari. Mungkin secara tidak sedar kamu sebenarnya mempunyai bakat dalam bidang yang tidak tersangka. Inilah peluang untuk kamu cuba mencari bakat baru.
Katakan selama ini kamu hanya minat dalam bidang perubatan sahaja. Tiba-tiba dapat tawaran untuk lanjutkan pelajaran dalam jurusan seni bina. Memang jauh sekali bezanya. On the bright side, kamu dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru dengan dunia seni bina mereka. Secara tidak langsubng meluaskan skop pemikiran kamu yang selama ini mungkin tak ada klu langsung tentang seni bina.
Tahukah kamu bahawa setiap graduan universiti mempunyai peluang pekerjaan berbeza mengikut jurusan yang mereka ambil? Sebelum menolak jurusan yang ditawarkan apa kata kamu buat sedikit kajian sendiri tentang apakah potensinya pada masa akan datang. Mungkin inilah momen kamu sedar bahawa peluang kerjaya dan rezeki itu sangat luas dan tidak terhad kepada satu bidang yang diminati sahaja.