Gadis berusia 26 tahun ini bukanlah asing dalam dunia ratu cantik tempatan. Dia yang mula menceburkan diri dalam bidang tersebut sejak tahun 2015, kini melebarkan sayap pula sebagai penyampai radio Era Sabah sejak penghujung 2020.
Pemilik nama penuh Dewi Natasha Perumal Oddiar ini pernah dinobatkan bagai Miss Earth Sabah 2017, Unduk Ngadau Dun Sekong 2019 dan kemudiannya sebagai pemenang tempat kedua Miss Grand Sabah 2020.
Berkongsi cerita kepada REMAJA, Dewi berkata, “Saya mula menceburkan diri dalam dunia ratu cantik ini sejak 2015 lagi, namun ketika itu hanyalah sebagai model di sekitar Sabah. Kemudian pada tahun 2016 barulah berani untuk menceburkan diri dalam dunia ratu cantik di pertandingan Sabah Model of The Year.
“Ketika itu saya sudah pun terpilih untuk ke pentas finale, namun terpaksa menarik diri kerana hari pertandingan itu diadakan merupakan hari perkahwinan abang. Jadi hal keluarga terpaksa diuatamakan dahulu.”
Dengan ketinggian 169 cm dan berkulit hitam manis, kelibat gadis kacukan Dusun-India ini pasti membuatkan mata mengerling dek kecantikannya.
“Selepas menyertai Sabah Model of The Year, saya kemudiannya menyertai pertandingan Miss Earth Sabah 2017 dan menjadi juara. Di peringkat kebangsaan pula, saya sekadar berada dikedudukan ketujuh. Namun pertandingan itu banyak mengajar saya selok belok dunia ratu cantik,” kongsinya.
Bukan sekadar cantik, gadis ini sangat mementingkan pendidikan. Sebagai bukti, Dewi merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaysia Sabah dan telah tamat pengajian pada tahun 2019.
Bila berbicara dengan dengan orang Sabah, pastinya cerita tentang Unduk Ngadau tidak boleh dipisahkan. Gadis yang petah berbicara ini misalnya, turut menyertai pertandingan yang popular ini pada tahun 2019.
Rancak bercerita, “Ketika itu saya bertanding di daerah Sandakan dan dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Dun Sekong dan mendapat hak untuk ke peringkat akhir yang diadakan di Kadazandusun Cultural Association. Walaupun tidak berjaya mara ke peringkat top 20, namun pengalaman menyertai Unduk Ngadau sangat berharga.”
Namun bukan semuanya indah, lahir dalam keluarga campuran dan berkulit hitam manis bukanlah kelebihan baginya. Ketika menang di peringkat Sandakan, ada suara-suara sinis yang mempersoalkan kemenangannya dek warna kulit.
“Bukan mudah bila nak sertai Unduk Ngadau, pertandingan ini sangat popular di Sabah. Dan ada sentimen yang menyatakan orang yang berkulit putih sahaja sesuai untuk menyertai. Kalau nak tahu, paling menyedihkan ada yang bercakap sinis, macam mana anak India boleh menyertai pertandingan ini. Tetapi saya hanya anggap perkara itu sebagai cabaran dan tetap meneruskan perjuangan,” kongsinya yang berdarah Dusun di sebelah ibunya.
BACA JUGA: Pelajar Universiti Malaysia Sabah Juara Unduk Ngadau 2021
Terbaharu, Dewi diangkat sebagai Miss Face of Humanity Malaysia 2021 setelah melalui beberapa siri temubual pemilihan secara tertutup. Jika tiada aral melintang dia akan mewakili Malaysia ke Kanada pada April nanti.
Kini, dia sibuk dengan kerjayanya sebagai penyampai radio Era Sabah. Dewi mengendalikan segmen ‘Gerakan Malam’ yang bersiaran jam 8 malam sehingga 12pagi, dari Isnin hingga Jumaat. Di samping memutar lagu-lagu terkini, ada juga sesi curhat (curahan hati) yang menerima panggilan dari pendengar yang ingin berkongsi kisah.
Mengakhiri temubual kami, Dewi turut berkongsi nasihat buat mereka yang mahu menceburi dunia ratu cantik, “Perkara penting adalah skill komunikasi yang baik, tahu membawa diri dan menyuburkan minda dengan isu-isu semasa agar kekal up-to-date dengan apa yang terjadi di dalam dan juga luar negara. Saya percaya skill komunikasi ini mampu membantu seseorang dalam kerjaya mereka.”
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.