Kebanyakan daripada kita masih giat mengumpul wang untuk mengerjakan ibadah di kota suci Mekah.
Namun untuk 5 beranak dari Jakarta & Medan, Indonesia ini, mereka sudah sebulat suara bersetuju untuk hanya menunggang basikal dari Indonesia untuk ke Mekah.
Whoa, berapa lama baru nak sampai weh?
Kata si ayah iaitu Muchlis Abdullah, segala perancangan untuk ekspedisi ini telah dimulakan sejak 2 tahun lepas.
“Kami sekeluarga bersiap sedia dari segi mental, fizikal dan emosi untuk sampai ke Mekah. Namun disebabkan beberapa kekangan, ada masanya nanti kami perlu menaiki kenderaan awam seperti kereta api dan kapal terbang untuk mengelakkan pergolakan yang sedang berlaku di beberapa buah negara,” katanya yang baru tiba di Gurun, Kedah.
Setakat ini, keluarganya yang terdiri daripada isteri, Julianti Husin, 47, Mirza Hakim, 15 Ahmad Zaki Hafiz, 11 dan Oliva Yumna, 6 masih gigih berbasikal.
Cuma dari Indonesia ke Malaysia pada 30 Julai lalu, mereka perlu mengambil servis feri yang tiba di Melaka. Kemudian, mereka meneruskan perjalanan ke Selangor, Perak, Pulau Pinang dan kini di Kedah.
“Kami akan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak membantu dan memberikan sumbangan. Hanya Tuhan yang boleh membalasnya.
“Ada pemilik restoran yang meminta kami ke kedainya kerana dia ingin membelanja kami makan dan memberi sumbangan wang. Alhamdulillah
“Selepas ini, kami akan menunggang basikal ke Thailand dan negara lain seperti Myanmar, India, Pakistan, Afghanistan, Iran, UAE dan akhirnya ke Saudi Arabia,” kata Muchlis lagi.
Jadi, bila agaknya 5 beranak ini boleh tiba di Jeddah?
“Mungkin dalam tempoh 5 ke 7 bulan, iaitu sekitar Januari ke Mac tahun hadapan. Setelah tiba di sana, bolehlah kami mengerjakan Umrah.”
REMAJA doakan agar perjalanan mereka ke sana selamat dan diringankan beban. Amin.
Sumber: BERNAMA