Dari Kuala Krai Ke New York. Berbekalkan USD300, Zang Toi Mengorak Langkah Membina Nama Di Negara Orang

Share

Generasi muda kini mungkin kurang kenal dengan nama Zang Toi. Namun jika anda seorang peminat fesyen pasti beliau antara personaliti fesyen asal Malaysia yang memberi inspirasi. Dilahirkan pada tahun 1961, pemilik nama penuh Toi See Zang ini dibesarkan di sebuah perkampungan kecil di Kuala Krai, Kelantan sebelum berhijrah ke Kanada pada usia 18 tahun dan seterusnya menimba pendidikan dan membina kerjaya di Amerika Syarikat sehingga kini.

Mendapat pendidikan di Parsons School of Design. Demi menampung kos sara hidupnya ketika itu, beliau bekerja separuh masa dengan pereka-pereka kecil di Soho. Hasil yang diperolehi digunakan untuk membeli barangan seperti mesin jahit dan bahan-bahan lain yang diperlukan sebagai seorang pelajar dalam bidang fesyen. Tidak penat mengejar cita-cita, beliau pernah tidur hanya tiga jam sahaja sehari demi menyeimbangkan waktu kelas dan juga waktu untuk bekerja.

Antara koleksi terkini. Cukup bold dan berani.
Koleksi Spring 2020, kalau anda perasan corak pada gaun ini diinspirasikan dari batik Kelantan. Sumber gambar: WWD

Hasil usahanya yang tinggi membuahkan hasil apabila beliau menjadi aperantis kepada Mary Jane Marcasiano dan Ronaldus Shamask. Cukup menimba ilmu dan pengalaman, akhirnya pada tahun 1989 beliau berjaya membuka sebuah studio sendiri yang juga digunakan sebagai bengkel fesyen.

Memetik dalam temubual penulis bersamanya pada tahun 2018, “Saya sangat berterima kasih kepada Anna Wintour, ketika itu saya merupakan pereka fesyen keturunan Asia pertama dia ketengahkan dalam majalah Vogue pada tahun 1990, sekaligus meletakkan nama saya di dalam peta fesyen.”

Sharon Stone menggayakan busana rekaan Datuk Zang Toi

Sejak itu, anak jati Kelantan ini tidak menoleh ke belakang. Beliau menjadi pilihan wanita-wanita elit yang suka akan gaya chic, glamor dan mewah yang diterjemahkan ke dalam busana. Melinda Gates merupakan antara pelanggannya ketika di baru bermula dalam dunia fesyen. Selain itu busananya turut menjadi pilihan selebriti terkenal Hollywood seperti Sharon Stone, Eva Longoria, Ivana Trump, Patti La Belle dan ramai lagi.

Bersama ibu tercinta ketika menerima anugerah dari YDPA

Pada tahun 2013, beliau dianugerahkan Pingat Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk oleh Yang Dipertuan Agong Malaysia. Untuk berjaya baginya memerlukan satu perkara penting, “Kerja keras merupakan satu perkara penting untuk memiliki perniagaan yang berjaya.”

 

Published by
Fiezreen