Saban tahun musim KL Fashion Week (KLFW) menjengah, salah satu tumpuan acara tentunya adalah untuk mengetahui jenama baru manakah yang akan melakukan kemunculan debut mereka di pentas fesyen berprestij tempatan itu.
Buat edisi ke-12 pada tahun ini, slot tersebut diberikan kepada jenama fesyen streetwear yang berasal dari Melaka iaitu AkuDesign.
Tampil dengan koleksi Behind The Block, AkuDesign yang diasaskan oleh Amirel Amen Anuar (atau mesra dengan panggilan Kasu) bersama abangnya, Afiq Afify Anuar telah mengambil peluang untuk mempertontonkan identiti serta kreativiti jenama mereka itu dengan penuh bergaya.
Sebilangan besar helaian-helaian dalam koleksi khas Ogos/September ini terdiri daripada helaian asas yang boleh korang stailkan dengan koleksi sedia ada yang sudahpun korang miliki.
Apa yang menjadi titik istimewa Behind The Block pada pandangan penulis adalah the styling magic yang mencerminkan budaya jalanan, pendakian serta perkhemahan yang semakin diminati oleh kelompok remaja Malaysia.
BEHIND THE MALACCAN BLOCK
Di sebalik kejayaan untuk berada di pentas KLFW 2024, AkuDesign sebenarnya telahpun menantikan momen tersebut selama 15 tahun sejak penubuhannya pada tahun 2009 ketika Kasu & Afiq masih bergelar mahasiswa; masing-masing mengambil jurusan Juru Ukur Bahan (Quantity Surveyor) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dan jurusan Seni Bina & Rekaan Alam Sekitar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.
“Sewaktu AkuDesign ditubuhkan, saya baru tamatkan SPM dan kami amat meminati sukan papan luncur dan budaya grafiti. Berlainan dengan zaman sekarang, pada tahun 2009 itu, sumber inspirasi kami hadir daripada majalah-majalah skate terbitan tempatan seperti Revolution.
“Selepas berpindah ke Melaka dari Kuching, Sarawak; saya dan Afiq terfikir untuk menubuhkan satu jenama streetwear untuk suka-suka dan memenuhi minat. Impian kami pada masa itu hanyalah untuk melihat ada orang memakai jenama kami di khalayak ramai.
“Kami pun tidak sedar apabila AkuDesign sudah memasuki ‘hari jadi’ pertamanya. Kemudian memasuki tahun kedua, macam dah dua tahun? Eh, dah lima tahun?
“Sehinggalah AkuDesign sudah berusia 15 tahun pada 2024, kami kekal sahaja dengan cara follow the flow. Perancangan berterusan itu tentulah ada here and there, namun kami selesa cuma menikmati perjalanan ini tanpa terlalu meletakkan tekanan serta harapan menggunung,” katanya ketika ditemui REMAJA di stor flagship AkuDesign yang terletak di Banda Hilir, Melaka.
Kongsi Kasu lagi, nama AkuDesign dipilih sewaktu zaman kegemilangan muzik indie dan budaya indie di Malaysia. Penggunaan Bahasa Melayu sememangnya menjadi satu kebanggaan kelompok tersebut dan mereka putuskan untuk memilih satu nama yang mewakili siapa diri mereka yang sebenar.
Maka, terhasillah AkuDesign. Bila melihat pelanggan mereka memakai helaian baju AkuDesign di luar, sekurangnya mereka boleh berkata, ‘Oh baju itu aku yang design‘.
“Tamat pengajian di UTM Skudai, saya mempunyai dua pilihan sama ada untuk membuka stor fizikal AkuDesign di Kilang Bateri, Johor Bahru atau di Melaka.
“Sebab utama kami memlih Melaka adalah kerana tarikannya sebagai pusat pelancongan and we will have people to come and go. Selain pelanggan lokal yang setia, ramai pelanggan kami juga berasal dari luar negara seperti Jepun dan China, so the plan worked.
“Sudah tentu, kami memang ada perancangan untuk membuka sebuah cawangan di Kuala Lumpur. Doa-doakan ia menjadi realiti,” katanya.
NASIHAT BUAT ANAK MUDA YANG TERINSPIRASI DENGAN AKUDESIGN
“Bagi saya, jika ada yang ingin menceburi bidang perniagaan seperti fesyen dan sebagainya, pertama sekali korang kena tanya pada diri sendiri, ‘Aku nak jadi apa sebenarnya?’.
“Kalau korang seperti saya yang bertukar haluan dari Quantity Surveyor kepada Fashion Business, tepuk dada dan tanyalah minat sendiri.
“Yang penting, jangan takut buat silap. Langgar sahaja, korang masih muda dan boleh belajar dari kesilapan. Yang penting, tidak menyesal di kemudian hari.”
KLIK pautan di bawah untuk menonton temubual penuh REMAJA bersama AkuDesign featuring Kasu.
FOTO: Instagram AkuDesign
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.