Dari Ninja Challenge Ke Sukan SEA, Mat Redho Memang MANTAP Dengan Pingat Perak

Share

Impian Mohd Redha Rozlan ataupun popular dengan panggilan Mat Redho akhirnya termakbul juga dengan kemunculan di Sukan SEA Filipina 2019.

Lebih membanggakan apabila atlet berusia 30 tahun itu membuahkan pingat perak, sebentar tadi. Ia adalah menerusi sukan tempuh halangan (Obstacle Course) Individu 100m x 10 Obstacles dengan catatan 34.01 saat.

Sebelum itu, Mat Redho juga memenangi satu lagi pingat perak menerusi acara Mixed Team Relay 400m x 12 dengan catatan 02.01.68; bersama Yong Wei Theng, Salfarina Mohd Drus dan Tan Jie Yi

Sebelum ini, Mat Redho pernah mengharumkan nama Malaysia setelah muncul juara Liga Cabaran Ninja (Ninja Challenge League) di Australia pada tahun lalu.

Lantas, Persatuan Sukan Tempuh Halangan Malaysia (MOSCA) telah memilih Mat Redho dan seorang lagi atlet negara Mohd Saddam Mohd Pittli (bekas juara pertarungan RU Tough Enough 2018 oleh KIX HD) serta beberapa lagi atlet untuk bertanding pada Sukan SEA 2019 kali ini.

Sukan tempuh halangan adalah sukan trending terbaru di seluruh dunia. Namun ini adalah kali pertama ia dipertandingkan di peringkat Sukan SEA.

Mereka harus melalui cabaran yang sukar dan segalanya bergantung kepada prestasi semasa mental serta fizikal seseorang. Jika mudah 'koyak' mental, memang sukar untuk mereka melangkau jauh.

*

Untuk pengetahuan korang, Mat Redho pernah berkongsi mengenai pengorbanannya bersama rakan media sebelum terbang ke Filipina.

Demi latihan, dia terpaksa mengurangkan waktu bersama keluarga dan perlu berbelanja hingga mencecah RM20,00 demi persiapan rapi.

"Bajet ini datang hasil duit kejayaan saya dalam kejohanan yang disertai sebelum ini. Saya simpan duit itu dan saya hanya belanjakan untuk negara," katanya yang juga merupakan juara Fear Factor Selebriti Malaysia musim kedua.

"Atlet sukan tempuh halangan jujurnya menerima sokongan dan kemudahan yang kurang dan terhad. Contohnya, khidmat fisioterapi dan rehabilitasi dari doktor perlu kami tanggung sendiri.

"Rasa terkilan itu tentulah ada. Namun semua itu tak patahkan semangat saya untuk harumkan nama negara."

Mungkin dengan kejayaan ini, bantuan sewajarnya boleh disalurkan kepada komuniti atlet sukan tempuh halangan.

Foto: Twitter @AtletMalaysia & @myTeamMAS

Untuk membaca artikel kejayaan rakannya, Mohd Saddam, sila klik di pautan bawah:

Published by
webadmin