Dari One In A Million Ke Asian Wave Sehinggalah The Masked Singer, Kini Shila Amzah Tunjuk ‘Taring’ Di Gegar Vaganza

Share

Nama Shila Amzah memang sinonim dengan industri muzik Malaysia. Menceburi dunia seni sejak kecil, anak kepada ND Lala ini berjaya memahat nama sebagai salah seorang penyanyi berkaliber negara. Kehebatan vokalnya tidak perlu disangkal lagi.

Shila antara penyanyi yang banyak menyertai pertandingan dan menerusi platform-platform tersebut dia berjaya memahat nama dalam ingatan para peminat. Bermula dengan Bintang Kecil RTM yang mana dia mendapat tempat kedua, ibu kepada seorang cahaya mata ini mencipta nama sebagai penyanyi cilik terkenal. Ketika itu dia popular dengan gelaran Shila Tekno. Lagu-lagunya menjadi siulan ramai seperti Kita Berdansa dan Yang Teristimewa.

Kemudian pada tahun 2007 ketika berusia 17 tahun dia mengambil keputusan untuk menyertai One in A Million, sebuah rancangan realiti nyanyian yang menawarkan hadiah bernilai RM1 juta. Pada penghujung pertandingan dia terpaksa berpuas hati sebagai pemenang tempat kedua di belakang juara, Ayu Damit.

Pada 2012, Shila menyertai pertandingan nyanyian Mania! yang disiarkan di Astro Ria namun dia hanya berjaya sampai ke peringkat separuh akhir sahaja. Terus mencuba dan tak kenal erti kalah, wanita berusia 32 tahun ini mengambil keputusan untuk menyertai sebuah pertandingan jauh di negara China pada tahun yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: 2022 Tahun Bertuah Shila Amzah. Selepas Juara Lagu, Kini Bergelar Pemenang The Masked Singer Malaysia

Ketika memenangi Asian Wave

Pertandingan nyanyian yang diberi nama Asian Wave ini ternyata menjadi titik tolak kepada kemasyhuran namanya di luar negara. Dia yang tampil anggun dalam balutan hijab menyerlahkan  persembahan yang cukup memukau sepanjang minggu dan sekaligus bergelar juara. Sejak itu namanya mekar di sana dan mengumpul jutaan peminat berbangsa cina.

Bukan sekadar menjadi juara Shila memenangi banyak anugerah atas pencapaiannya yang memberangsangkan. Selain Asian Wave, Shila turut menyertai rancangan I Am Singer musim kedua pada 2014 yang mana dia berjaya berada di kedudukan ketiga. Menerusi pertandingan ini namanya mekar sehingga ke Hong Kong dan Taiwan.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 Selebriti Bergelar Pensyarah. Bukan Sahaja Berbakat Besar, Bahkan Berpendidikan Tinggi

Menerusi kejayaannya di negara China, Shila mengecap status sebagai penyanyi bertaraf antarabangsa. Lebih membanggakan, dia berjaya mengungguli dunia muzik yang bukan berbahasa Inggeris.

Pemilik nama penuh NurShahila Amir Amzah ini sekali lagi mencipta rekod tersendiri apabila dia rupa-rupanya suara di sebalik maskot Rambutan yang menjadi juara dalam rancangan realiti The Masked Singer Malaysia musim kedua yang disiarkan di saluran Astro Warna yang disiarkan awal tahun ini.

She is definitely in it to win it! Kini Shila sekali lagi mencipta gelombangnya tersendiri apabila menjadi salah seorang peserta rancangan hiburan popular, Gegar Vaganza. Ternyata kehebatan vokal dan kredibiliti persembahannya meletakkan dia antara peserta yang melangkah ke peringkat akhir.

Sepanjang pertandingan yang sudah berlangsung selama sepuluh minggu, dia boleh dikatakan selesa berada di kedudukan yang baik apabila mencatat markah tinggi.

Jadi adakah Shila akan menjadi juara Gegar Vaganza? Sama-sama kita nantikan. Apa yang boleh disimpulkan, semangat yang dimiliki oleh penyanyi versatile ini cukup mengagumkan. Dari satu pertandingan ke pertandingan yang disertai, dia muncul sebagai antara yang terbaik.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen