Pencarian Hero Remaja merupakan platform bagi membuka peluang kepada anak muda yang berminat untuk menceburkan diri dalam industri hiburan tanah air. Rata-rata yang hadir ke sesi uji bakat semalam membawa satu misi yang sama, iaitu ingin menonjolkan kemampuan dan bakat yang ada dalam diri.
Bagi Muhammad Amirul Aiman, 23, pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Mekanikal mengambil peluang untuk menyertai sesi uji bakat Hero Remaja 2021. Ini merupakan percubaan pertama untuk dia melangkah lebih jauh lagi dalam industri seni.
“Sebelum ini, saya pernah menceburkan diri dalam bidang peragaan dan berpengalaman memasuki pertandingan fesyen anjuran pereka terkenal tanah air. Namun, rezeki tidak memihak kepada saya kerana tidak berjaya mara ke peringkat seterusnya,”
“Selepas itu ada juga beberapa casting yang saya pergi tetapi rasanya belum ada rezeki lagi untuk berlakon. Tapi Alhamdulillah, saya masih berpeluang dalam bidang peragaan dan menimba pengalaman bekerjasama dengan beberapa jenama fesyen terkenal negara,”
“Tahun ini saya rasa masa yang sesuai untuk mencuba nasib menyertai Hero Remaja 2021 kerana saya pun dah nak menamatkan pelajaran. Saya ingin menunaikan hasrat ibu dan ayah untuk melihat saya menggenggam segulung ijazah. Jadi, saya berharap sekiranya saya dipilih, biarlah ketika itu saya sudah menamatkan semester di tahun air. Ada dua minggu sahaja lagi. Harapnya semua berjalan dengan lancar,” jawab Amirul.
Melihatkan kepada perjalanan dan pengalaman yang dikongsi oleh Amran, ia mengingatkan kami kepada Juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar kerana sebelum menyertai pertandingan ini juga, Nadhir memulakan kariernya sebagai seorang peragawan. Ditanya adakah Nadhir ‘benchmark’ untuk dirinya turut sama menyertai Hero Remaja, Amran punya jawapannya tersendiri.
“Saya kenal Nadhir sejak tahun 2016 lagi, ketika sama-sama menghadiri uji bakat bagi sebuah jenama fesyen tempatan. Saya bangga dengan Nadhir kerana dia telah mencapai apa yang dia inginkan sejak kecil lagi. Saya rasa, saya jadikan dia sebagai contoh yang bagus dan bukannya saya nak tiru dia, tapi saya melihat usaha dan sikap tidak putus asanya kerana saya pun dari dulu berangan-angan nak jadi anak seni, selalu pergi casting tapi kena reject. Jadi, saya lihat apa yang Nadhir lakukan sekarang sebagai semangat untuk saya lebih berusaha gigih lagi,” jelasnya lagi.