Johor Darul Takzim sememangnya sebuah negeri yang pesat membangun. Terbaru DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang dinaiktaraf menjadi Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Pasir Gudang dahulunya dikenali sebagai sebuah perkampungan nelayan sebelum dibangunkan sehingga memiliki 500’000 orang kepadatan penduduk. Kini Pasir Gudang merupakan kawasan perindustrian terbesar di Malaysia sekaligus menjadi penyumbang utama kepada kepesatan pembangunan negeri Johor.
Watikah pemasyuran pengisytiharan MBPG diserahkan Baginda Tuanku Sultan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Istana Pasir Pelangi, Johor baru pada 22 November 2020. Turut berangkat sama ke majlis tersebut ialah DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
SEJARAH PASIR GUDANG
Menurut kisah yang tertulis di portal Majlis Bandaraya Pasir Gudang, suatu ketika dahulu, Pasir Gudang hanyalah sebuah perkampungan nelayan.
Pada tahun 1918 kawasan Pasir Gudang (dahulu disebut Kampung Pasir Udang) telah diterokai oleh seorang yang bernama Long Abu yang dipercayai berasal dari Riau, Indonesia. Apabila penduduk Kampung Pasir Udang semakin bertambah, kampung-kampung berikut telah didirikan:-
1. Kampung Ulu (kini limbungan baik pulih MSE)
2. Kampung Tengah (kini kawasan Tenaga Nasional Berhad)
3. Kampung Hilir
4. Kampung Sungai Perembi. Balai Polis Pasir Gudang terletak di sini.
Penduduk kampung-kampung ini terdiri dari bangsa Melayu dan sedikit Cina, kesemuanya berjumlah 83 keluarga. Kebanyakan penduduk kampung ini bekerja sebagai nelayan, petani dan buruh ladang.
Pada tahun 1920, empat buah lagi kampung telah dibuka iaitu:-
1. Kampung Air Biru (kini menjadi tapak pelabuhan).
2. Kampung Pasir Merah (kini menjadi tapak pelabuhan).
3. Kampung Pasir Puteh, masih kekal sehingga sekarang.
4. Kampung Pulau Tekong, menjadi wilayah Singapura.
Secara tidak langsung nama Pasir Udang mengalami perubahan menjadi Kampung Pasir Gudang oleh kerana di Kampung Ulu terdapat lombong pasir untuk dieksport ke Singapura. Pasir-pasir yang telah dikumpul akan dilonggokkan dengan banyaknya di suatu tempat. Bertitik dari peristiwa itu maka timbulnya nama Pasir Gudang.
Pada pertengahan abad ke 19, peneroka berbangsa Cina dari suku Teochew telah meneroka lebih jauh ke daratan melalui jalan sungai yang dipenuhi kayu bakau untuk peladang.
Kegiatan mereka akhirnya diperakukan melalui ‘surat sungai’ yang dikeluarkan oleh Sultan Johor yang membenarkan mereka membangunkan kawasan Kangkar Masai, Kangkar Plentong dan Kangkar Lunchu di bawah ketua-ketua sungai yang dipanggil Kangchu. Di tebing-tebing sungai inilah mereka mengusahakan tanaman gambir dan lada hitam.
Inilah serba sedikit sejarah tentang Pasir Gudang yang memiliki sejarah panjang lebih seratus tahun lamanya. Semoga penduduk Pasir Gudang mendapat manfaat dari penaiktarafan.
Sumber: Facebook The Royal Johor & Portal Majlis Perbandaran Pasir Gudang