Daripada Peserta Underdog, Fattah Amin Buat Kejutan Di Malam Akhir Hero Remaja 2011/2012

Share

Memegang gelaran Juara Hero Remaja 2011/2012 merupakan satu pengalaman manis buat insan yang bernama Fattah Amin. Pada waktu itu, dia hanyalah seorang pelajar jurusan Pengurusan Filem yang menuntut di UITM Puncak Perdana.

Banyak kenangan yang terukir sepanjang perjalanan kariernya sebelum menempa nama di dalam dunia hiburan tanah air. Bermula sekadar suka-suka menjadi model dalam ruangan fesyen majalah Remaja, Fattah akhirnya mengambil keputusan untuk pergi ke sesi uji bakat Hero Remaja 2011/2012.

“Sebelum terdetik untuk masuk ke dalam Hero Remaja ini, sebenarnya saya ada buat sesi photoshoot bersama majalah Remaja. Kebetulan ketika itu memang pencarian Hero Remaja baru sahaja nak bermula. Jadi dari situ, wartawan Remaja itu sendiri yang mencadangkan untuk saya mencuba nasib dalam program tersebut,”

“Saya hanya mencuba kerana sebelum itu juga saya sudah terbabit dalam bidang modeling secara sambilan, jadi tak salah rasanya saya ambil peluang ini. Alhamdulillah, dah memang rezeki saya apabila menjadi finalis Top 20 Hero Remaja ketika itu,” jelas Fattah Amin.

Perlu bersaing dengan Saharul Ridzwan dan Syafiq Kyle pada ketika itu, Fattah mengakui bahawa dia merupakan peserta underdog dan bukanlah peserta yang sering mendapat tempat terbaik sepanjang 9 bulan program tersebut dijalankan. Namun, berkat usaha dan keyakinan yang ada, anak kelahiran Kuala Lumpur ini berjaya menonjolkan diri di pentas akhir.

“Semua finalis Hero Remaja pada ketika itu mahu lakukan yang terbaik untuk buktikan kepada semua yang kami layak bertanding dalam program ini. Rasanya memang dah rezeki saya di malam pusingan akhir, daripada seorang peserta underdog akhirnya mendapat kedudukan top 3 dan seterusnya, bergelar juara Hero Remaja 2011/2012,” kongsinya lagi.

Selepas bergelar juara, Fattah mula serius meneruskan kerjaya dalam bidang seni dan kariernya bermula dari bawah, sehingga namanya melonjak naik dan pernah mendapat penghargaan peminat sebagai Bintang Paling Popular 2017.

“Nak kata selepas menang terus dapat job tu tidak juga. Selepas Hero Remaja saya menunggu lebih kurang beberapa bulan kerana pada waktu itu pihak produksi pun tak berani nak beri tawaran kepada kami, kerana kebanyakkan mempunyai background dalam bidang modeling dan bukannya lakonan,”

“Tetapi Alhamdulillah ada sebuah produksi yang cuba untuk dapatkan saya dan beri tawaran berlakon. Staff di Karangkraf juga banyak membantu menyakinkan pihak produksi dengan kelayakan saya sebagai juara Hero Remaja pada ketika itu,” jawabnya.

**

Jangan lupa saksikan finale Hero Remaja 2020 pada 16 Julai 2020 di Astro Ria dan Ria HD pada jam 9 malam.

 

Published by
Noor Ain Norman