Dana untuk kutipan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan masih lagi dijalankan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk meneruskan kehidupan.
Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin tidak terkecuali untuk menghulurkan bantuan dan mencari inisiatif, dimana beliau akan melakukan YouTube Live untuk kutipan dana PKP.
Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. (SNP) mengambil inisiatif untuk membantu para pejuang barisan hadapan dan orang ramai yang terkesan dengan situasi ini melalui pengumpulan Dana Peduli, Kemanusiaan, Prihatin (PKP) Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Secara ringkasnya, dana ini dinamakan sebagai Dana P.K.P Siti Nurhaliza.
Objektif misi ini dibahagikan mengikut kategori iaitu:
1. PEDULI: Membantu menyediakan keperluan dan peralatan di pusat-pusat perubatan yang terlibat menangani Covid19. Bantuan ini akan disalurkan seberapa segera apabila dana mencukupi bagi penyediaan PPE, topeng muka, sarung tangan dan peralatan-peralatan lain.
2. KEMANUSIAAN- Membantu individu dan keluarga yang terjejas pendapatan. Bantuan kepada keluarga yang terjejas pendapatan di samping itu mempunyai anggota keluarga OKU atau penyakit kronik.
3. PRIHATIN- Bantuan khusus sempena bulan Ramadan dan Syawal kepada golongan yang tidak berkemampuan serta badan-badan kebajikan.
Pihak SNP mensasarkan pengumpulan dana untuk keperluan segera dalam kategori Peduli sebanyak RM50,000. Jumlah sasaran ini akan dinaikkan dan berterusan memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan serta banyak jenis bantuan akan disalurkan.
Datuk Seri Siti Nurhaliza juga akan menjayakan Youtube Live P.K.P Siti Nurhaliza di saluran youtube Siti Official Video pada 19 April 2020, bermula jam 2.30 petang.
Korang boleh menderma dengan cara membuat imbasan QR Code dan Dato’ Siti akan menghiburkan korang dengan nyanyian lagu-lagu pilihannya.
Platform Kitafund dibina bagi memupuk nilai murni untuk menderma disamping memudahkan orang ramai untuk menyumbang di atas talian (online) tanpa ragu-ragu. Orang ramai yang ingin menyumbang boleh klik link di BIO dan pilih kempen ‘Dana P. K. P Siti Nurhaliza’.
Seterusnya, klik butang Sumbang dan pilih cara pembayaran samada menggunakan Perbankan Atas Talian (Online Banking), Kad Kredit/Debit/PayPal, ataupun E-Wallet (Boost/GrabPay/Touch ’n Go). Bagi yang berhasrat untuk menyumbang tetapi menetap diluar Malaysia, anda boleh memilih PayPal sebagai mod pembayaran.
Okay la tu, sambil berhibur korang boleh beramal kan? Diharap usaha ini dapat memberi peluang juga kepada masyarakat Malaysia yang berkemampuan untuk memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Bukan apa, kadang-kadang niat membantu tu memang ada tapi kita tak tahu nak salurkan ke mana. Jadi, usaha yang dilakukan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza ini boleh menjadi platform untuk kita sama-sama berkhidmat pada masyarakat.
Jangan lupa saksikan YouTube Live Datuk Seri Siti Nurhaliza pada Ahad ini, 19 April 2020 jam 2.30 hingga 4 petang.