Bagai pinang dibelah dua…
Setelah lebih setahun mengikat tali pertunangan akhirnya jaguh sukan olahraga negara, Datuk Abdul Latif bin Romly,25, telah menamatkan zaman bujangnya dengan Nabila Farhana binti Musaidi,25, hari ini.
Dalam satu hantaran video siaran langsung yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, Latif berkongsi momen akad nikah yang berlangsung secara sederhana dihadiri oleh keluarga dan sahabat terdekat.
Atlet pemegang rekod sukan paralimpik dalam acara lompat jatuh T20 ini tampil kacak dalam persalinan baju melayu rona putih sedondon dengan isterinya yang tampil anggun mengenakan busana berinspirasikan abaya disertakan dengan layah panjang. Kedua-dua busana ini merupakan hasil rekaan jenama fesyen popular, Seth and Luna.
ARTIKEL BERKAITAN: Latif Romly Dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Perlis
Sah dengan sekali lafaz, pasangan tersebut dinikahkan berwalikan bapa pengantin perempuan dengan mas kahwin sebanyak RM1312 tunai.
Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, Nabila merupakan seorang graduan dalam bidang pendidikan dan kini sudah pun berkhidmat sebagai guru di salah sebuah sekolah di Lembah Klang.
Sebelum ini pasangan yang sama-sama berasal dari Perlis ini mengikat tali pertunangan pada 23 Oktober 2021. Mereka berkenalan sewaktu sama-sama mengikuti pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kangar.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.