Kejohanan Grand Prix Terjun Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) memancarkan sinar kegembiraan buat skuad kebangsaan apabila dua jaguh terjun negara, Datuk Pandelela Rinnong dan Ooi Tze Liang masing-masing berjaya memperoleh pingat emas dalam acara 10m platform wanita dan terjun 3m papan anjal lelaki.
Pandelela berjaya mencatat kutipan mata sebanyak 324.70 manakala Tze Liang pula berjaya mencatat sebanyak 441.35 mata. Menerusi kutipan mata itu, Tze Liang mencipta rekod peribadi apabila ia merupakan catatan masa terbaiknya untuk musim ini.
“Saya rasa prestasi pada sebelah petang lebih baik dan konsisten berbanding (pusingan awal dan separuh akhir) pagi tadi, namun perlu perbaiki dari segi taktikal dan perbaiki lagi terjunan. Saya perlu pertingkatkan kecergasan kerana apabila perlu beraksi dua atau tiga pusingan dalam satu hari, ia agak mencabar dari segi fizikal.
Ads
“Bagaimanapun, pertandingan macam ini sangat baik untuk saya, selepas sebelum ini banyak pertandingan dibatalkan kerana pandemik COVID-19. Jadi, pertandingan berterusan sangat penting untuk kembali kepada normal (suasana pertandingan),” ujar Pandelela kepada media selepas majlis penyampaian pingat.
Manakala Tze Liang pula berkongsi, “”Saya gembira untuk menang emas dengan catatan peribadi terbaik musim ini pada kejohanan terakhir tahun ini, walaupun persediaan saya tidak berapa baik kerana terpaksa bahagikan masa antara latihan saya dengan tahun akhir saya di Universiti Malaya.”
Dalam acara yang dimenangi Pandelela, penerjun Australia, Milly Puckeridge (289.90 mata) dan Kim Nahyun (254.10 mata) dari Korea Selatan masing-masing menang perak dan gangsa. Manakala dalam acara yang dimenangi oleh Tze Liang pula rakan senegara, Chew Yi Wei berjaya memperoleh pingat perak dengan catatan masa 406.90 dan penerjun Australia lchlan Cronin menang gangsa dngan 402.20 mata.
Ads
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: BERNAMA, Kredit foto: Instagram Team Malaysia
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kata tanya "bila" tidak boleh digunakan secara bergantian dengan kata hubung "apabila". Kata "bila" digunakan dalam ayat tanya sahaja manakala kata "apabila" digunakan dalam ayat majmuk sebagai kata hubung.
"Bila" dan "apabila" tidak boleh bertukar ganti kerana fungsi berbeza.
Kata “bila” ialah kata keterangan tanya yang digunakan untuk menanyakan waktu (masa,ketika).
1. “Bila kamu hendak pergi ke Pulau Pinang?” soal ibu yang sedang melipat baju di ruang tamu.
2. “Kalau begini sampai bila pun, kita tidak akan pindah,” kata ayah dengan wajah yang merah padam.
Kata “apabila” ialah kata hubung yang membawa erti pada ketika, semasa, sewaktu, bilamana, apakala.
1. “Tuan, pilihlah warna yang ceria sedikit. Warna cat air akan nampak kurang cerah apabila kering.” Tegur seorang jurujual kepada ayah. Ayah hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja.
2. Apabila tiba musim tengkujuh, nelayan tidak turun ke laut. Sebaliknya, para nelayan akan membuat kerja-kerja sampingan seperti berkebun atau membaiki pukat dan jala.
Tuntasnya, “bila” dan “apabila” mempunyai fungsi yang berbeza-beza. Justeru, gunakanlah kedua-dua jenis kata ini pada ayat yang sesuai.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Faridah Mohamad Saad
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kekal dengan reputasi cemerlang sebagai pusat pendidikan akauntan apabila dua penuntutnya baru-baru ini merangkul pencapaian luar biasa dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
Menerusi perkongsian UiTM di laman Facebook rasminya, Danish Zafran Bazam (22) mengungguli kertas Advanced Financial Management (AFM) dan memperoleh tempat kedua di dunia manakala Amin Zulharis (21) meraih tempat keempat global dalam kertas Strategic Business Reporting (SBR).
Terdahulu, Danish Zafran telah diiktiraf sebagai pemenang anugerah bagi kertas Performance Management (PM) pada Mac 2023, dan kejayaan itu diikuti dengan pencapaian cemerlangnya sekali lagi sebagai pemenang anugerah bagi peperiksaan September 2024 melalui kertas AFM.
“Walaupun sukar, saya sentiasa mengingatkan diri bahawa menyambung pengajian ACCA adalah satu anugerah dan saya beruntung dapat belajar di UiTM”
“Saya percaya dengan keyakinan diri yang tinggi, usaha yang konsisten, fokus dalam sesi kuliah serta tidak segan bertanya kepada pensyarah banyak membantu saya dalam kecemerlangan akademik,” katanya.
Sementara itu, Amin yang memulakan pengajian ACCA selepas SPM dengan menyertai program Foundation in Accountancy (FIA), mengakui bahawa cabaran terbesar yang dihadapinya adalah melawan rasa malas.
“Saya sentiasa mengingatkan diri tentang tujuan saya untuk mengekalkan disiplin. Motivasi utama datang daripada kesedaran tentang kos tinggi untuk mengikuti kursus ACCA dan saya menghargai pengorbanan kewangan yang keluarga saya lakukan untuk pendidikan saya,” katanya.
Sekadar info, fakulti itu akan mengorak langkah bagi mencapai aspirasi kerajaan dalam meningkatkan jumlah graduan profesional dalam bidang perakaunan negara kepada 60,000 orang menjelang 2030. Semoga pencapaian seperti ini menjadi contoh pada anda di luar sana.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sudah tangan bertuah, mumbang ditanam tumbuh juga.
Ya, itulah pepatah yang sesuai bagi pemilik nama penuh Kimberly Chuah Ching Li; anak seni tempatan berbangsa Cina yang kian meningkat naik dalam industri seni hiburan. Berbekalkan minat, potensi dan semangat yang dimiliknya, tidak keterlaluan jika kami ramalkan Kimberly bakal berdiri sama tinggi, duduk sama rendah setanding dengan pelakon muda berkaliber yang kini mewarnai industri.
Bertatih perlahan-lahan, kehadirannya semakin dirasai langkah demi langkah selepas menamatkan perjalanannya dalam program pencarian Dewi Remaja 2022 pada kedudukan tempat ketiga. REMAJA raikan Kimberly Chuah sebagai salah seorang personaliti pilihan kempen Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gayaFZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teksFATH ABU BAKAR jurufotoAKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan & dandanan AYANG KAMELL persalinanSUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Kefasihan Kimberly dalam berbahasa Melayu boleh dikatakan merupakan salah satu keunikan dominan yang ada padanya sekali gus menjadi ‘punca’ rezeki buat Kimberly terus menyemai nama menerusi naskhah yang ditonton rata-rata oleh penonton berbangsa Melayu.
Menurut Kimberly, sejak kecil lagi dirinya sudah dibesarkan untuk fasih berbahasa Melayu dan secara tidak langsung dirinya sudah sinonim dengan persekitaran berbilang kaum. Kebolehan ini menjadi satu titik tolak untuknya terus memahat nama menerusi siri drama dan telefilem bersama pemain industri tempatan terkenal.
“Boleh dikatakan tiada masalah langsung kerana saya fasih berbahasa Melayu sejak kecil. Saya pula bersekolah kebangsaan di mana saya sudah biasa bergaul dengan semua kaum.
“Dulu tidak ramai (pelakon berbangsa Cina yang aktif memasuki industri seni berbahasa Melayu) tetapi kini semakin ramai pelakon bukan Melayu yang muncul. Jujurnya, kebolehan berbahasa Melayu ini adalah keunikan dan kelebihan bagi kami (selebriti berbangsa Cina di Malaysia). Bak kata orang, practice makes perfect. Kesempurnaan memerlukan kita untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari. Jika sekadar teori sahaja yang mengisi ruang minda tanpa mempraktikkan bahasa kebangsaan kita, sayang sekali.
“Oleh itu, saya menganggap kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu sebagai keunikan serta kekuatan pada diri. Bahkan, saya bangga apabila terus-menerus diberikan peluang berlakon dalam drama Melayu,” kata gadis kelahiran Kuala Lumpur ini.
Selain memainkan watak di depan kamera, siapa sangka Kimberly juga mempunyai bakat terpendam dan mampu melontarkan bait-bait lagu rap secara lancar dalam bahasa Melayu! Pernah suatu ketika sewaktu mengikuti uji bakat pencarian Dewi Remaja 2022 di Pulau Pinang, klip pendek yang dimuat naik oleh REMAJA bertukar tular apabila warganet terpegun dengan caranya mempersembahkan lagu bergenre rap.
Menurut Kimberly, bakat terpendam ini mungkin sekali diasah sewaktu di bangku sekolah apabila dia seringkali menyertai aktiviti di luar bilik darjah seperti berdebat.
Disoal apa yang difahaminya mengenai erti Saya #RemajaMalaysia bersempena kempen REMAJA yang sudahpun memasuki edisi kelimanya tahun ini, penulis amat tertarik dengan huraian milik Kimberly. Tentunya setiap orang mempunyai interpretasi berbeza di ruang fikiran masing-masing.
Bagi Kimberly yang mengambil berat soal pelapis yang bakal menggantikan tokoh-tokoh ternama di Malaysia dewasa kini, dia menyifatkan Remaja Malaysia adalah golongan yang bakal memberi idea bernas dalam memperjuang setiap pelbagai perkara mengikut peredaran zaman.
“Remaja adalah tonggak dan pelapis negara. Saya harus tekankan bahawa generasi maa kini wajar melatih diri untuk memperbaiki skil dan cara pemikiran agar mereka terus bangkit demi negara tercinta. Sekiranya ada yang musykil siapakah bakal menggantikan tempat duduk panas bagi memimpin negara, jawapannya adalah kita semua yang masih muda.
“Bukan bermakna jasa tokoh-tokoh negara sudah dilupakan tetapi saya percaya negara memerlukan idea dan generasi baharu untuk memperjuangkan setiap perkara yang baharu,” ujarnya lagi.
‘Minat muzik, tapi impian terbesar adalah berlakon’
Mengenali gadis ini sejak dia melangkah masuk ke pencarian Dewi Remaja 2022, Kimberly sama sekali tidak pernah gagal untuk melontarkan senyuman manisnya saat bertemu. Tidak pernah mendongak ke langit jadi rahsia dirinya disenangi orang di sekeliling.
Bukan sekadar berbakat menerusi lakonan, Kimberly juga hebat dalam menyampaikan lagu-lagu rap.
Kongsinya, jiwa anak seni yang perlu sentiasa bersedia untuk menghiburkan khalayak ramai sentiasa mengalir dalam dirinya. Biarpun dia secara peribadinya sentiasa menadah tangan dengan luas andai kata sudah tertulis rezekinya menceburi bidang baharu seperti muzik termasuklah genre rap; buat masa ini Kimberly selesa memahat nama sebagai seorang pelakon yang disegani terlebih dahulu
Benar, dunia digital dan media sosial membolehkan bakat-bakat baharu mengorak langkah ibarat tumbuhnya cendawan selepas hujan. Kendatipun, itu bukanlah cabaran utama Kimberly dalam melebarkan sayapnya lebih tinggi dalam arena seni tanah air, malah dia tetap positif dan percaya kepada rezeki.
“Kali pertama saya menjejakkan kaki dalam industri, matlamat saya hanya satu iaitu untuk melihat sejauh mana saya boleh teroka. Kita semua pun tidak tahu rezeki seluas mana dalam sesuatu bidang. Jadi mulai saat ini, saya akan terus berusaha agar mampu mencapai ke aras yang lebih tinggi.
“Saya turut berharap usaha yang saya semai bagi tahun-tahun berikutnya akan membuahkan hasilnya,” katanya sebagai penutup kalam.
Update terkinitentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Walaupun baru sahaja membuat persembahan bertenaga sehingga mencuri perhatian para penonton di Coachella 2025, Lisa BLACKPINK membuat keputusan mengejutkan apabila menolak jemputan untuk tampil...