Walaupun berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, namun ia tidak menghalang para selebriti untuk menghasilkan lagu terbaru.
Primeworks Studios Sdn Bhd dengan Kerjasama Celcom Axiata Sdn Bhd buat julung kalinya menerbitkan sebuah lagu raya istimewa buat semua individu yang berada di barisan hadapan yang berjuang mengawal wabak COVID-19 di saat umat Islam menyambut ketibaan Syawal.
Lagu ‘Di Pagi Raya Ini’ dihasilkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Ahmad Izham Omar dengan susunan daripada Audi Mok.
“Sudah cukup lama saya tidak mengilhamkan naskah baru. Dengan bantuan rakan baik Audi Mok melalui susunan muzik, maka lahirlah ‘Di Pagi Raya Ini’ yang saya rasakan melodinya sangat dekat di hati rakyat Malaysia,” jelas Ahmad Izham Omar.
Lagu yang berkonsep Pop ini diperkuatkan lagi dengan penyampaian penyanyi wanita popular negara, Dayang Nurfaizah kerana jelas mereka, hanya Dayang yang difikirkan sesuai apabila mendengar keseluruhan lagu ini.
Dayang juga berbesar hati untuk menyampaikan lagu Di Pagi Raya Ini kerana ia merupakan lagu raya pertama yang dirakam olehnya selepas lebih 20 tahun bergelar anak seni.
“Lagu Di Pagi Raya ini adalah hadiah hari raya dari Dayang untuk tahun 2020. Lagu dan ‘lirik lagu ini digubah khas untuk mereka yang bertungkus lumus mengharungi detik getir memerangi wabak yang melanda negara dan dunia sekarang ini. Dayang sangat menghargai pengorbanan mereka,”
Terima kasih yang tidak terhingga dan Dayang mendoakan kesejahteraan mereka di mana saja mereka berada. Kami menghargai pengorbanan kamu yang teramat sangat, wahai barisan hadapan. Lagu ini khas untuk kamu semua,” katanya.
Dayang juga turut berkongsi pengalamannya meraikan Aidilfitri tahun ini dengan suasana yang sangat berbeza.
“Buat pertama kalinya Dayang menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur dan tidak dapat pulang ke Sarawak. Hanya ayah dan anak saudara, kami bertiga hanya beraya dengan sanak-saudara disini. Itu pun bukan secara beramai-ramai, hanya dengan sepupu terdekat,”
“Biasanya, setiap kali Raya Dayang hanya menjadi pembantu emak di dapur, tapi tahun ini lain sikit, semuanya disediakan sendiri dan Dayang juga asyik telefon mak di kampung untuk bertanyakan resipi,” jelasnya sambal tertawa.
Penyanyi ini juga mengakui bahawa situasi PKP ini akan menjadi satu memori yang paling diingati dalam hidupnya. Banyak perkara baru yang dipelajarinya sepanjang tempoh PKP ini, terutamanya apabila terpaksa merakamkan sendiri lagu di rumah.
“Mula-mula rasa risau juga bila kena rakam sendiri di rumah. Peralatan di rumah tak sama seperti di studio. Tapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancer dan Dayang rasa kita kena biasakan diri dengan new norma seperti ini,” jelasnya lagi.