Disaat ramai rakan-rakan penyanyi seangkatannya yang kian kurang aktif menghasilkan lagu serta album, lain pula ceritanya dengan penyanyi Dayang Nurfaizah yang meluncurkan album baharu pada minggu ini.
Album berjudul Belagu II itu merupakan kesinambungan daripada projek terdahulu, Belagu yang dilancarkan pada 2021 dan menuai pengiktirafan di acara Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun lalu.
Menariknya, keputusan Dayang untuk meneruskan penerbitan album yang memuatkan lagu-lagu Melayu klasik ini adalah atas semangat memperjuangkan genre berkenaan kepada generasi muda sekarang dan yang bakal tiba pada masa akan datang.
“Saya mahu semua pendengar khususnya generasi muda mengenali lantas menghargai khazanah lagu-lagu klasik Melayu kita.
“Jika kita sendiri tidak mengangkat warisan ini, lambat-laun akan berkubur begitu sahaja.
“Harap album (Belagu II) ini akan terus mengingatkan kita untuk meraikan lagu-lagu klasik Melayu demi generasi pada hari ini dan akan datang,” tinta Dayang yang kelihatan cukup anggun pada balutan album baharunya itu.
Untuk pengetahuan korang, album Belagu II mengandungi lapan buah lagu klasik Melayu yang disusun semula termasuklah sebuah karya baharu. Semuanya dari segi pemilihan dan keistimewaan lagu-lagu tersebut telahpun dijelaskan sendiri oleh Dayang menerusi hantaran video bersiri di akaun Instagram beliau.
Ini termasuklah lagu Nak Dara Rindu, Menanti Di Ambang Syurga, Ketipang Payung, Jauh Di Mata, Mengapa Dirindu, Sejak Ku Bertemu Padamu, Dari Hati Ke Hati dan Umpan Jinak Di Air Tenang. Rindu Menyapa pula merupakan karya baharu yang disertakan sekali.
Tamabah menarik, album studio ke-10 Dayang ini telah memakan belanja yang agak tinggi memandangkan ia menggunakan khidmat Budapest Scoring Orchestra.
Sekitar bulan September tahun lalu, Dayang dan pasukannya telahpun terbang ke Budapest, Hungary untuk merakamkan Belagu II bersama orkestra terkemuka yang pernah terlibat dalam penghasilan skor muzikal bagi filem terbaik Anugerah Oscar 2020, Parasite dan drama hit Korea, Squid Game!
Selain mereka, pembikinan album ini juga mendapat sentuhan pemuzik handalan Malaysia dan penerbit serta komposer terkenal tanah air, Aubrey Suwito.
Tak sabar rasanya untuk menantikan peluncuran Belagu II di semua platform digital bermula 27 Januari 2023 ini. Bagi belian album fizikal Belagu II pula, korang sudah boleh melakukan pra-tempahan dari sekarang.
Sementara menunggu tarikh peluncuran album Belagu II pada minggu hadapan, jom layan persembahan Dayang Nurfaizah yang membawakan lagu Greatest Love of All di acara Nona Superwoman Awards 2022, baru-baru ini yang sempat dirakamkan oleh REMAJA.
FOTO: Instagram Dayang Nurfaizah
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.