Degil Larangan Merokok, Lelaki ‘Naik Tangan’ Pada Staff Starbuck Didenda RM1,000 Atau Penjara

Share

Sebagaimana kita sedia maklum, mulai 1 Januari 2020, penguatkuasaan penuh larangan merokok di premis makanan telahpun dilaksanakan oleh kerajaan. Perokok atau pemilik premis yang ingkar boleh dikenakan kompaun.

Namun masih ada juga yang degil dengan undang-undang ini. Terbaru seorang lelaki yang menampar pekerja Starbuck selepas dia dilarang merokok di tempat awam telah didenda sebanyak RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di atas dakwaan cuba mencederakan pekerja tersebut.

Menurut laporan Astro Awani, mahkamah turut menyatakan bahawa jika lelaki itu gagal membayar denda, dia boleh dikenakan penjara selama tiga bulan.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan denda kepada Mitchel Glend Samson, 27, setelah dia mengaku bersalah atas pertuduhan secara sukarela menyebabkan kecederaan kepada Nur Hanisah Abu Hasan, 23, di hadapan kedai Starbucks di Plaza Berjaya, Jalan Imbi, di sini di 3.20 petang pada 13 Nov.

Dia yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Gambar Hiasan

Semasa sesi Mahkamah, Samson memberitahu Hakim bahawa dia tidak dibenarkan masuk ke dalam premis disebabkan statusnya ‘berisiko tinggi’ selepas mengimbas aplikasi MySejahtera. Dia kemudiannya memilih untuk duduk di luar premis sambil menunggu rakannya membeli kopi, lapor Free Malaysia Today.

“Pekerja Starbucks datang dan menghalang saya dari menghisap rokok dengan cara yang kurang sopan. Saya cuba cakap baik-baik dengan dia tetapi tidak diendahkan.

“Tetapi saya mengaku bersalah kerana memang saya naik tangan kepadanya. Saya mohon maaf dan mohon hukuman ringan kerana masih menanggung keluarga di Sabah,” katanya.

Moga, hal ini menjadi pedoman untuk kita semua agar mematuhi undang-undang dan paling penting hormati orang disekeliling kita. Kan naya je nak kena bayar saman atau penjara tu.

Sumber : Astro Awani

Published by
Ruziana Zainal