Demi Impian Menjadi Pensyarah Bidang Syariah Dan Belajar Di Al-Azhar, Pemuda Ini Sanggup Buat Tiga Kerja

Share

Nasib setiap orang tidak sama. Ada dilahirkan dalam keluarga yang sempurna dan dimanjakan, ada pula yang perlu berusaha sendiri demi mengapai impian dan cita-cita. 

Ilmu itu tidak terbatas pada usia, taraf ekonomi dan juga latar belakang. Semua orang berhak mendapatkan ilmu jika dia ada kemahuan dan bersedia untuk belajar.

ARTIKEL BERKAITAN : Kerja Part Time Untuk Survive, Pelajar Ini Berjaya Kekalkan 4 Kali Dekan Berturut-Turut

Universiti Al- Azhar Foto Via Medic Mesir

Begitu juga dengan pendidkan di peringkat tinggi di universiti. Pada zaman sekarang ramai remaja dan anak muda yang terus bekerja selepas tamat sekolah. Kadangkala ia berlaku bukan kerana kehendak diri sendiri tetapi mungkin disebabkan terpaksa akibat kesemptian hidup atau ingin membantu keluarga.

Namun, lain pula dengan pemuda dari Kota Bharu, Kelantan ini. Ahmad Arif Aziz, 20, sanggup melakukan tiga kerja semata-mata untuk mengumpul kos perbelanjaan bagi menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

Itu yang dilakukannya demi memenuhi impiannya untuk menjadi seorang pensyarah dalam bidang syariah.

Malah, pemuda ini turut bekerja di sebuah kedai ‘produk sunah’ sejak sebulan lalu dan mengajar mengaji al-Quran kepada kanak-kanak di sebuah pusat pengajian di Pengkalan Chepa dan orang dewasa secara dalam talian sejak setahun lalu.

Ahmad Arif Aziz, 20 menunjukkan surat menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir ketika ditemui di rumahnya di Kampung Petani, Sering.  FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR ( HMetro)

Menurutnya, dengan tiga kerja itu, dia mampu meraih pendapatan melebihi RM1,000 sebulan sekali gus dapat menyimpannya untuk dibuat belanja sepanjang tempoh pengajiannya di Mesir yang dijangka pada September ini.

“Saya tidak mahu menyusahkan kedua ibu bapa kerana mereka sudah berkorban segalanya untuk saya selama ini.

“Jadi, saya mengambil keputusan melakukan tiga kerja ini di samping turut dibantu oleh kerajaan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Parlimen Pengkalan Chepa, Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan ini, guru, saudara dan orang ramai.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa membantu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Petani, Sering di sini.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, bapanya, Aziz Ismail, 64, yang juga imam di Masjid Pasar Kota Jembal adalah orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan pada mata kiri, manakala ibunya, Ramlah Seman, 60, hanya seorang suri rumah.

“Kedua-dua ibu bapa saya menyokong apa sahaja yang saya lakukan asalkan ia baik dan memberi faedah.

“Saya tidak mahu membebankan ibu bapa kerana tahu kos pengajian di luar negara semestinya mahal berbanding dalam negara. Ini impian saya untuk belajar di Mesir seterusnya mahu membalas jasa kedua ibu bapa dan berbakti untuk negara,” katanya.

Ahmad Arif yang juga lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari Maahad Muhammadi Lelaki berkata, dia mendapat tawaran melanjutkan pengajian bagi Ijazah Sarjana Muda Syariah.

Dia bersyukur kerana sempat mencari duit bagi menampung perbelanjaan di sana nanti dan berharap pengajiannya selama empat tahun berjalan lancar serta dipermudahkan.

“Saya tidak akan mensia-siakan peluang ini dan akan menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan,” katanya.

So semua, tak kiralah apa saja ujian dan kesusahan hidup yang penting kita perlu ada matlamat dan tahu apa yang diinginkan dalam kehidupan. REMAJA mendoakan agar kejayaan sentiasa melingkari kehidupan remaja ini pada masa-masa akan datang dan dalam pelajarannya.

BACA LAGI : 5 Kelebihan Orang Yang Bekerja & Belajar Secara Sambilan Perolehi

Sumber : ( 1 )

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana