Mungkin, Malaysia saja negara di mana seorang menteri yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 tidak dikenakan tindakan tegas; malahan masih mengekalkan jawatan masing-masing.
Minggu ini, Great Britain dikejutkan dengan penularan foto Menteri Kesihatan Britain, Matt Hancock yang sedang berpelukan dan mencium seorang wanita seperti yang dicetak oleh sebuah akhbar di sana.
Foto yang ditangkap daripada paparan kamera litar tertutup (CCTV) itu menjadi pertikaian bukan disebabkan oleh perbuatan tersebut (biarpun hakikatnya, Hancock sudahpun berkahwin dan wanita dalam foto itu bukanlah isterinya. Ia merupakan seorang pembantu kanan di sebuah pejabat di Jabatan Kesihatan).
Foto itu dipertikaikan rakyat Britain kerana ia diambil dari tarikh 6 hingga 11 Mei iaitu tempoh di mana Britain menyekat pergerakan serta melarang sebarang kontak seperti pelukan dan hubungan fizikal di luar rumah sendiri.
Justeru, Hancock terang-terangan telah melanggar SOP yang ditetapkan partinya sendiri.
Sejurus selepas terpalit dengan kontroversi itu, Hancock mengambil keputusan untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang terjadi, memohon maaf dan menghantarkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Boris Johnson.
*
Dalam pada itu, di beberapa negara lain, Menteri Kesihatan mereka juga dilihat pernah mengambil tindakan meletak jawatan disebabkan oleh isu yang mereka hadapi.
Di Austria, Menteri Kesihatannya Rufold Anschober meletak jawatan pada April lalu setelah mengakui penat melampau akibat menguruskan krisis COVID-19 hingha terpaksa mengambil cuti selama seminggu ketika dimasukkan ke hospital.
Menteri berusia 60 tahun itu baru saja dilantik pada awal tahun 2020 dan dalam ucapan akhinya, beliau sebak ketika mengingatkan rakyat Austria bahawa krisis ini masih belum berakhir.
*
Di Peru, Menteri Kesihatannya, Pilar Mazzetti terpalit skandal selepas dia berani menyelar bekas Presiden Peru, Martin Vuzcarra kerana disuntik vaksin COVID-19 secara rahsia sebelum rakyat memperolehinya.
Presiden itu mengiyakan dakwaan Pilar dengan alasan beliau dan isterinya merupakan sebahagian daripada 12,000 orang sukarelawan untuk percubaan suntikan vaksin Sinopharm.
Surat peletakan jawatan diserahkan kepada Presiden Francisco Sagasti, sekaligus menjadikan Pilar sebagai Menteri Kesihatan Peru KELIMA sejak kes COVID-19 dikenal pasti telah merebak di negara itu.
*
Masih di benua Amerika Selatan – Menteri Kesihatan Chile, Jaime Manalich meletak jawatan pada Jun tahun lalu setelah kontroversi maklumat tidak tepat yang disalurkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kerajaan Chile pada waktu itu mengumumkan lebih 3000 nyawa telah diragut sejak wabak Covid-19 mula menyerang negara itu pada Mac 2020. Namun, Chile dikataan telah memberitahu WHO bahawa jumlah kematian sebenar adalah lebih dari 5000 orang.
Lalu, Manalich telah teruk dikritik dan pengiraan jumlah kematian rakyat akibat wabak telah dipertikaikan rakyat.
*
Tidak cukup dengan itu, di Argentina, Menteri Kesihatannya Gines Gonzalez Garcia meletak jawatan setelah diminta oleh Presiden Alberto Fernandez. Ini susulan pembongkaran rakan Garcia yang telah memotong giliran mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Rahsia itu telah mencetuskan amarah di kalangan rakyat setelah rakan Garcia yang merupakan seorang wartawan, Horacio Verbitsky mengumumkan di radio bahawa hubungan akrabnya dengan Garcia telah membolehkannya mendapatkan suntikan vaksin di pejabatnya.
*
Melihat kepada keadaan ini, nampaknya negara luar lebih tegas mengambil tindakan ke atas menteri mereka sejurus selepas terpalit dengan kontroversi waima sekecil melanggar SOP berjumpa dengan orang ramai sekalipun; seperti yang berlaku kepada Menteri Kesihatan Britain minggu ini.
Berbeza sekali dengan keadaan di Malaysia di mana menteri kita sekadar perlu mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka setelah mereka ‘kantoi’ melanggar SOP dengan makan di sebuah kafe semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Renung-renungkanlah.