Pelakon berbakat besar, Hafidz Roshdi yang sebelum ini menjadi bualan hangat warganet apabila terpalit dengan isu curang dan polemik rumah tangga bersama Nurul Shuhada.
Baru-baru ini, bekas peserta Hero Remaja 2011/12 itu menzahirkan kesyukuran buat pihak media atas penerbitan artikel mengenai kerjayanya dalam industri seni tempatan.
Selain itu, Hafidz turut mengakui kata-kata semangat yang dititipkan penerbit terkenal tanah air, Tuan Jaja Ishak buat dirinya adalah sebagai usaha untuk memperbaiki diri dalam kerjayanya sebagai seorang anak seni.
BACA JUGA: Hafidz Roshdi Sudah Ke Hospital Bahagia Bagi Jalani Rawatan Psikiatri
“Hafidz ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak media di atas penerbitan artikel mengenai ruang dan rezeki buat saya di dalam industri. Saya sangat tersentuh hati dengan kepercayaan oleh Tuan Jaja Ishak.
“Seorang Penerbit yang saya hormati dan segani. Perkongsian dan kata-kata semangat dari beliau akan saya kenang sebagai pembakar semangat untuk terus memperbaiki diri demi memberikan yang terbaik didalam kerjaya Hafidz.
“Tahap kesihatan dan semangat diri Hafidz adalah semakin pulih. Alhamdulillah. Ini adalah kerana bimbingan, kepercayaan dan kasih sayang yang erat oleh setiap ahli keluarga, saudara mara, rakan-rakan, rakan-rakan selebriti dan peminat Hafidz. Hanya Allah SWT dapat membalas jasa baik kalian,” coretnya pada hantaran terbaharu di Instagram.
Dalam pada itu, bapa kepada dua orang cahaya mata itu memaklumkan dirinya kini bersedia untuk kembali berkhidmat sebagai seorang pelakon demi menunaikan tanggungjawab sebagai anak dan bapa selain untuk mencari rezeki yang halal.
“Hafidz kini bersedia untuk kembali bertugas. Saya bersifat terbuka jika punca rezeki dari mana-mana industri demi untuk meneruskan tanggungjawab sebagai insan terutamanya sebagai Abah kepada kedua-dua anak kandung Hafidz iaitu Humairah dan Umar.
“Jika pihak industri atau mana-mana pihak masih dapat menerima Hafidz, dengan rendah diri Hafidz dapat dihubungi melalui nombor seperti yang tertera di Instagram Hafidz.
“Saya juga terbuka untuk membuat tugasan seperti Product Review dan yang bersesuaian bagi mana-mana pihak terbabit. Asalkan Hafidz terus menerima rezeki yang halal,” ujarnya lagi.
Dalam kesempatan itu, pelakon drama Tundukkan Playboy Itu mengucapkan selamat hari raya dan memohon maaf kepada orang ramai atas salah silapnya selama ini.
Dia juga berharap agar dapat menjalani kehidupan seperti sebelum ini selain memaklumkan isu peribadi membabitkan dirinya itu akan diadili tanpa menjejaskan mutu dan komitmen kerjanya.
“Hafidz mendoakan dan berharap dapat menjalani hidup sebagai insan seperti sebelum ini dan seperti kalian disamping isu peribadi yang Hafidz percaya akan diadili tanpa menjejaskan mutu kerja dan komitmen kerja Hafidz.
“Hafidz ingin memohon maaf jika ada salah dan silap dan Selamat Hari Raya Aidilfitri,” tulisnya panjang.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Hafidz Roshdi