
Kelibat pelakon kacak, Nadhir Nasar di kota New York untuk menghadiri acara fesyen jenama Coach sempena Minggu Fesyen New York (NYFW) pada minggu ini hanya bertahan kira-kira 48 jam demi memenuhi tuntutan kerja.
Nadhir, 28 merupakan satu-satunya selebriti Malaysia yang menghadiri pertunjukan fesyen Coach. Di sana, beliau sempat mengabadikan kenangan bersama beberapa selebriti antarabangsa.
Antaranya termasuklah bersama model dan pencipta lagu dari Jepun, Koki; bintang filem Thailand, Nanon Karapat dan penyanyi dari Hong Kong, Marf Yau. Nadhir turut bergambar dengan pengarah kreatif jenama Coach, Stuart Vevers.



Biarpun ini merupakan pengalaman berharga buat Nadhir untuk menjadi wakil Malaysia di mata pemerhati fesyen di sana, ia hanya bertahan selama 48 jam sahaja apabila pelakon Projek: High Council itu terpaksa pulang ke Kuala Lumpur demi satu lagi tuntutan kerja.
Hari ini, Nadhir diumumkan sekali lagi sebagai duta Ramadan Raya Astro 2025 bersama barisan selebriti lain seperti Mierul Aiman, Meerqeen, Zizan Razak dan Sherry Alhadad.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Nadhir sempat berkongsi serba sedikit mengenai perjalanan singkatnya ke bumi New York.
“Perkara yang saya lakukan (untuk) Malaysia. Terpaksa pulang ke tanah air segera. Tuntatan kerja. (Untuk berada di) New York City selama 48 jam sahaja adalah kerja gila,” catatnya.
Biarpun penat mengembara membawa namanya sendiri dan nama negara, komitmen Nadhir terhadap profesyen sebagai pelakon dan fesyenista ini sewajarnya dipuji kerana tidak semua individu mampu melakukannya dengan penuh disiplin sebegini.
Terdahulu, Nadhir pernah mewakili negara ke Singapura bagi menghadiri acara ulang tahun gemilang jenama perhiasan diri, Cartier bersama-sama wakil lain termasuklah Scha Alyahya dan Daiyan Trisha.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.