“Dewi Mana Naik Dulu, Saya Tak Terkesan..” Shatira Amanda Muncul Bersama Fauziah Nawi

Share

 

Semasa berada dalam mana-mana pertandingan, tentulah adat untuk bersaing itu perlu ada. Tetapi setelah tamat pertandingan, adakah persaingan itu masih wujud di antara mereka?

Pemenang tempat kelima pencarian Dewi Remaja 2019, Tengku Shatirah Amanda binti Tengku Ahmad Badrulddin atau lebih mesra dikenali sebagai Shatira Amanda menidakkan perlunya persaingan di antara mereka walaupun masing-masing terlibat dalam industri seni yang sama.

12 orang finalis Dewi Remaja 2019 sewaktu malam finale, Disember tahun lalu. Shaza Bae (6 dari kanan) muncul sebagai juara edisi tersebut. Foto: IDEAKTIV

Setiap kali pencarian Dewi Remaja ataupun Hero Remaja diadakan, budaya banding-membanding di antara finalis yang berjaya menempatkan diri dalam dunia lakonan mahupun pengacaraan seakan tidak dapat dielakkan.

Persoalan siapakah yang terlebih dahulu ke hadapan, siapakah yang sedikit tercicir ke belakang akan menjadi bualan mulut. 

Namun bagi Amanda, dia tidak langsung memikirkan isu remeh tersebut. Malah, dia sedikit pun tidak terkesan sekiranya benar wujud perbandingan daripada mana-mana pihak.

Amanda muncul sebagai pemenang tempat kelima dalam pencarian Dewi Remaja 2019. Foto: IDEAKTIV

“Soal siapa yang naik dahulu, siapa yang menjadi pilihan produksi.. itu semua terletak pada rezeki dan usaha kita. Saya percaya, pihak produksi lebih memahami mengapa rakan-rakan Dewi Remaja saya menjadi pilihan mereka bagi sesebuah projek.

“Tak perlupun ada persaingan di antara kami. Tak perlu juga untuk saya merasa sedih sekiranya saya bermula agak lambat sebagai seorang anak seni. Each Dewi has her own goals and gold. Jika tepat masanya dan tertulis rezeki seseorang untuk berjaya, dia akan menyinar. Yang penting kami semua kekal positif dalam berusaha,” jelasnya yang baru berusia 20 tahun.

Bercakap mengenai soal rezeki, Amanda baru saja muncul dengan buah tangan drama pertama lakonannya berjudul Mummy Oja.

Mulai ditayangkan sejak semalam di saluran Awesome TV, Amanda menyifatkan peluang bergandingan dengan nama-nama besar dunia lakonan menerusi Mummy Oja adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

Amanda muncul dalam halaman Majalah Remaja – Dewi Issue pada Januari lalu. Foto: IDEAKTIV

“Sudah tentu saya selalu teringin untuk berlakon dalam drama pertama saya. Namun, saya tak sangka akan bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Fauziah Nawi, Azhan Rani, Ali Puteh, Syiqin Kamal dan Tasha Shila. Mereka semua merupakan pelakon berkaliber jika hendak dibandingkan dengan saya yang teramatlah baru.

“However, I had the most wonderful time with them on our set. Amanda banyak belajar, ibarat seperti Amanda pergi ke kelas lakonan dan bukannya bekerja di set penggambaran.

“Ibu (Fauziah Nawi) tidak lokek memberi tunjuk ajar. Dia seorang yang akan tegur jika melihat kesalahan semasa berlakon. Namun tegurannya lembut dan tidak sesekali dalam intonasi marah,” katanya yang pernah dinilai oleh Fauziah Nawi sewaktu cabaran lakonan dalam pencarian Dewi Remaja 2019.

Tambah Amanda, menerusi drama bergenre komedi kekeluargaan ini, dia membawakan watak Anita iaitu anak bongsu yang bercita-cita tinggi ingin menjadi model antarabangsa. Amanda secara tidak langsung dapat mengaitkan dirinya yang sebenar dengan watak ini.

“Jika di rumah, Amanda boleh dikatakan seperti ‘princess’ lah bila dilayan sebegitu rupa oleh ahli keluarga yang lebih senior. Tak boleh keluar malam. Nak ambil lesen memandu pun masih ditegah. Mereka berkeras akan menghantar Amanda ke set dan tempat-tempat lain.

“Dalam drama Mummy Oja, watak Anita ini juga seakan sama apabila dia dimanjakan oleh watak-watak lain. Amanda percaya korang akan terhibur dan gelak bersama apabila menontonnya,” jelasnya lagi yang juga dikurniakan bakat bersuara lunak.

*

Jangan lupa untuk menonton drama Mummy Oja okay guys!

Kalau Amanda baru bergelar pelakon, pemenang tempat keempat Dewi Remaja 2019 iaitu Mira Nazir pula semakin selesa bergelar pengacara rancangan live.

 

 

Published by
FZ