![Dhabitah Sabri](https://cdn.remaja.my/2024/08/Feature-Image-smaller-32-696x371.jpg)
Penerjun sensasi negara, Nur Dhabitah Sabri mengulangi pencapaiannya di Sukan Olimpik Tokyo 2020, tiga tahun lalu apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara terjun 3m papan anjal individu wanita.
Di peringkat separuh akhir yang berlangsung sebentar tadi, Dhabitah menamatkan saingan di tangga kelapan terbaik setelah mengumpul 286.95 mata daripada lima pusingan.
Dhabitah sekaligus menempatkan diri dalam kelompok 12 penerjun terbaik untuk perebutan pingat di peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung esok.
![Dhabitah Sabri Layak Ke Acara Akhir Terjun Esok, Ulangi Pencapaian Di Olimpik Tokyo](https://cdn.remaja.my/2024/08/Feature-Image-smaller-31.jpg)
Di peringkat separuh akhir, penerjun berusia 25 tahun itu memulakan saingan dengan langkah kanan apabila meraih 67.50 mata sekaligus menamatkan pusingan pertama di tangga kedua keseluruhan di belakang penerjun dari China.
Dhabitah kemudian melakukan terjunan 55.50 mata di pusingan kedua dan 46.50 mata di pusingan ketiga; sedikit meresahkan peminat sukan tempatan yang setia menonton siaran secara langsung petang tadi.
Dhabitah kembali bangkit apabila meraih 57 mata untuk terjunan keempat dan mengakhiri saingan separuh akhir dengan penuh bergaya apabila meraih 60.45 mata.
Sebagai rekod, Dhabitah pernah menamatkan saingan dalam acara 3m papan anjal individu wanita di tangga keempat ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020 berlangsung tiga tahun lalu dengan mengutip 326.15 mata.
Ini merupakan penampilan Sukan Olimpik ketiga Dhabitah sejak berjaya melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu di Sukan Olimpik Rio 2016.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Satelit Ke-10 Malaysia Bersedia Dilancarkan 23 Jun Ini, Mampu Bertahan 18 Tahun
![](https://cdn.remaja.my/2022/06/Featured-Image-1-19.jpg)
Sejarah sekali lagi bakal tercipta dalam buku kemajuan sains, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta dunia penyiaran negara apabila satelit kesepuluh Malaysia, Measat-3D bersedia untuk dilancarkan pada 23 Jun ini.
Measat-3D merupakan sebuah satelit komunikasi yang akan dilancarkan menggunakan roket Ariane 5 dari Pusat Angkasa Lepas Eropah di Kourou, French Guiana.
![Satelit Ke-10 Malaysia Bersedia Dilancarkan 23 Jun Ini, Mampu Bertahan 18 Tahun](https://cdn.remaja.my/2022/06/Featured-Image-1-21.jpg)
Ia dimiliki syarikat swasta, Malaysia East Asia Satellite Global Berhad (Measat) dan dibangunkan oleh Airbus dengan kos sekitar RM1.2 bilion.
Menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) iaitu Azlikamil Napiah, pelancaran akan disaksikan oleh delegasi dari Malaysia termasuklah wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), wakil Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan MYSA selaku peneraju angkasa negara.
Untuk pengetahuan korang, setiap satelit yang dilancarkan mempunyai jangka hayat masing-masing. Oleh sebab itu, mana-mana satelit perlu digantikan dari semasa ke semasa bagi kelangsungan rakyat.
Contohnya seperti satelit Measat-3D ini, ia dijangka mempunyai jangka hayat sehingga 18 tahuun dan bakal menggantikan satelit komunikasi Measat yang sudah tidak aktif dan brfungsi.
Ia juga merupakan satelit keenam Measat dengan dua lagi satelit masih aktif beroperasi buat masa ini; iaitu Measat-3A (dilancarkan pada 2009, dijangka beroperasi hingga 2024) dan Measat-3B (dilancarkan pada 2014, dijangka beroperasi hingga 2029).
![Satelit Ke-10 Malaysia Bersedia Dilancarkan 23 Jun Ini, Mampu Bertahan 18 Tahun](https://cdn.remaja.my/2022/06/Featured-Image-1-20.jpg)
Di antara kelebihan satelit Measat-3D ini adalah ia akan memberikan liputan komunikasi yang lebih meluas memandangkan kapasitinya telah ditambah. Selain itu, ia juga akan membantu dari aspek Internet of Thing (IoT) meliputi komunikasi, internet, kelajuan penghantaran data, data komunikasi dan telefon yang dipertingkatkan kapasitinya.
Selain itu, satelit Measat-3D ini juga akan menyediakan kapasi C dan Ku-Band konvensional untuk memastikan pertumbuhan dan kesinambungan perkhidmatan bagi penyiar terkemuka dunia serta televisyen satelit DHT kepada lebih 20 juta isi rumah di Malaysia, Indonesia dan India.
Mengenai apa yang bakal terjadi kepada tujuh satelit milik Malaysia yang sudah tidak aktif di angkasa lepas kini, Azlikamil berkata, negara akan terus memantaunya secara teliti bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku yang boleh menyebabkan bencana di angkasa.
Harapnya adalah siaran langsung sewaktu pelancaran Measat-3D kan! Nak juga tengok momen bersejarah itu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Atlet Olahraga, Eddy Bernard Tuai Pingat Pertama Malaysia Dalam Sukan Paralimpik Paris 2024!
![](https://cdn.remaja.my/2024/09/Eddy-Bernard-1.jpg.webp)
Kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini berjaya menuai pingat pertama apabila atlet olahraga, Eddy negara Bernard menyumbang gangsa menerusi acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) di de de France, hari ini.
Atlet asal Sabah ini, berlari di lorong ketiga bermula dengan baik di awal perlumbaan namun kehilangan sedikit momentum di tengah saingan sebelum berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan 11.58 saat (s).
Lebih manis, kejayaan atlet berusia 23 tahun itu pada penampilan sulung di pentas Sukan Paralimpik turut memecahkan rekod Asia milik wakil Sri Lanka, Indika Gamage iaitu 11.75s pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun.
Eddy juga mengatasi catatan masa peribadi terbaiknya 11.77s ketika membawa pulang pingat perak pada kejohanan berprestij dunia di Kobe itu.
Dalam pada itu, pingat emas disambar wakil Afrika Selatan, Mpumello Mhlongo dengan catatan 11.12s manakala pingat perak menjadi milik atlet Cuba,Yamel Luis Vives Suares dengan masa 11.20s,
Sekadar info, sukan Paralimpik Paris 2024 bermula 28 Ogos lepas sehingga 8 September ini.
Sumber berita dan gambar: BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Bertudung Labuh Bukan Penghalang Jadi Pereka Fesyen, Baiti Mohamed Terima Anugerah Gold UiTM Degree Show
![](https://cdn.remaja.my/2024/02/Feature-Image-2024-02-16T160229.405.jpg)
Acara tahunan Pertunjukan UiTM Degree Fashion Show 2024 melabukan tirai baru-baru ini dengan menobatkan pelajar seni reka fesyen, Nur Baiti Mohamed sebagai pemenang anugerah Gold.
Baiti telah mengenepikan 51 orang pelajar lain yang turut menampilkan koleksi tiga rekaan lengkap masing-masing pada acara yang berlangsung di Shah Alam, tempoh hari. Anugerah Silver menjadi milik Muhammad Fikri Mahadi manakala Nur Nelisya Hazelya pula menyambar anugerah Bronze.
![Bertudung Labuh Bukan Penghalang Jadi Pereka Fesyen, Baiti Mohamed Terima Anugerah Gold UiTM Degree Show](https://cdn.remaja.my/2024/02/Featured-Image-3-2.jpg)
Koleksi Baiti telah diilhamkan daripada seni arca seramik ‘Comb Form’ rekaan artis Fenella Elms dan menampilkan kombinasi rona natural, pelbagai garisan serta pergerakan dengan menggunakan material seperti fabrik kanvas serta organza.
Kemenangan Baiti telah ditentukan oleh barisan juri terdiri daripada pengulas fesyen Zaihani; pereka fesyen/pensyarah Jasmi Rejab; pereka fesyen Rico Rinaldi dan pensyarah akademik, Muhammad Khalik.
Menariknya, bukan hanya koleksi Baiti yang mencuri perhatian warganet sejurus kemenangannya diumumkan. Malah, ramai juga tertarik dengan penampilan empunya badan sendiri yang berprinsipkan fesyen sederhana Muslimah sekaligus merobek stereotaip dunia fesyen yang acapkali sinonim dengan gaya pemakaian di luar kotak.
REMAJA menemubual Baiti bagi mendalami minat, usaha keras dan soal pemakaian baginya sebagai seorang pereka fesyen muda serta lebih utama, sebagai seorang remaja Muslimah.
REMAJA (REM): Bagaimana Baiti boleh tertarik untuk mengambil jurusan seni reka fesyen?
BAITI (B): Sebenarnya, saya minat menjahit baju-baju anak patung sejak umur 7 tahun. Mak ayah saya pun nampak minat dan kemahiran saya sehinggalah saya ambil subjek Ekonomi Rumah Tangga (ERT) di sekolah menengah.
Sesudah mengambil subjek sama untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya pun putuskan untuk ambil jurusun Rekaan Fesyen kerana bagi saya, bakat yang ada seperti melukis dan menjahit itu saya hendak bentukkan lagi.
REM: Bagaimana penerimaan keluarga apabila Baiti luahkan impian untuk mengambil jurusan ini?
B: Keluarga saya positif sahaja. Mak ayah saya pun tidak menghalang apa yang minati sekarang kerana mereka faham minat serta kemahiran yang saya ada sejak awal usia. Menginjak usia remaja, impian mereka hanyalah agar saya boleh menjadi seorang pereka fesyen muslimah yang berjaya.
![Bertudung Labuh Bukan Penghalang Jadi Pereka Fesyen, Baiti Mohamed Terima Anugerah Gold UiTM Degree Show](https://cdn.remaja.my/2024/02/baiti-5.png)
REM: Siapakah inspirasi & idola Baiti dalam bidang fesyen dan mengapa?
B: Saya tiada mana-mana individu tertentu sebagai idola dalam bidang ini. Cuma saya tertarik mengikuti kisah & gaya artis-artis yang telahpun berhijrah seperti Neelofa dan Lisa Surihani. Mereka bagi saya merupakan contoh yang baik untuk anak-anak muda.
REM: Kongsikan persediaan bagi menyiapkan koleksi Degree Show kali ini di bawah bimbingan Encik Faizal Hamid.
B: Persediaan untuk menyiapkan koleksi Degree Fashion Show ini bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga mental. Tempoh persediaan terasa pendek (kerana) banyak cuti. Pensyarah juga menasihati agar kami memulakan rekaan pada cuti semester lagi demi menyiapkan empat pasang baju.
Ada pelajar yang sanggup tidak pulang ke kampung kerana memikirkan tidak sempat siap. Mentaliti kami hanya fikirkan kerja. Tidur itu pun memang tidak cukuplah tetapi kami enggan merungut kerana tahu, inilah pengorbanan untuk menempa kejayaan seperti yang pernah dilakukan oleh pensyarah kami sendiri serta alumni terdahulu. Saya jadikan itu sebagai motivasi diri.
Dari segi konsep di bawah bimbingan Encik Faizal Hamid, beliau sememangnya seorang yang banyak membantu malah mengambil berat terhadap setiap pelajar. Beliau akan selalu ingatkan sekuen model, idea yang banyak.. saya pun saya tidak tahu bagaimana untuk berterima kasih kepada beliau.
REM: Bagaimana Baiti haluan sebagai seorang pereka fesyen selepas menamatkan pengajian?
B: Dahulu, saya pun tidak pasti sekiranya saya benar-benar bersedia untuk menceburi bidang perniagaan fesyen. Ya, ia satu bentuk perniagaan dan itu bukan kemahiran saya. Begitulah saya, kadangkala overthinking kerana kita tidak mampu menilik masa depan.
Cuma saya tetap dengan niat saya untuk kekal dalam industri fesyen dan tidak ‘lari’ selepas menamatkan pengajian. Saya juga tetapkan niat untuk kekal dengan cara pemakaian saya sebegini. Jujurnya, sehingga sekarang tiada pula saya berdepan dengan komen-komen seperti minat tidak selari dengan cara pemakaian muslimah saya.
Saya ambil jurusan fesyen pun bermotif dan tidak melulu. Saya ingin membina nama dalam dunia modest fashion (fesyen sederhana) yang relevan dengan masyarakat di Malaysia malah di peringkat antarabangsa. Saya tiada masalah untuk menggayakan kelompok non-Muslim tetapi masih berpaksikan modest fashion.
REM: Rata-rata ramai tidak menyangka Baiti merupakan seorang fashion student, mungkin disebabkan imej Baiti yang dijaga penuh sopan. Adakah itu persepsi yang biasa diterima oleh Baiti?
B: Ramai sebenarnya tidak percaya. (Ketawa) Orang tanya ambil course apa, saya jawab fesyen lah. Orang tengok saya atas bawah dan berkata, “Lah fesyen? Ingat ambil Quran Sunah..”. Komen-komen itu sudah biasa saya terima. Saya pun dah malas nak jawab. (Ketawa) Jika ada yang bertanyakan soalan sama, saya jawab sahaja course Seni Reka.
Saya tidak malu pun untuk mengaku saya seorang pelajar jurusan Seni Reka Fesyen. Bagi saya, jangan kita hakimi seseorang dari segi pakaian. Kita sendiri lebih tahu diri sendiri dan minat sendiri. Pakaian itu melambangkan karakter peribadi sahaja, yang penting idea kena fresh. Bak kata Encik Faizal, “Idea tu jangan kampung sangat.” Cara pemakaian saya mungkin sebegini tetapi idea saya tetap berfikiran jauh selari dengan trend antarabangsa semasa.
Secara peribadi, tidak perlulah menggelar saya sebagai ‘pereka fesyen Muslimah’. Cukup sekadar digelar seorang pereka fesyen. Noktah.
ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Filomuzika: Kaleidoscope 2024 Platform Danial Chuer Raikan Bakat Pelajar ‘Music Composition’ UiTM – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.