Sukan

Dhabitah Sabri Layak Ke Acara Akhir Terjun Esok, Ulangi Pencapaian Di Olimpik Tokyo

Share

Penerjun sensasi negara, Nur Dhabitah Sabri mengulangi pencapaiannya di Sukan Olimpik Tokyo 2020, tiga tahun lalu apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara terjun 3m papan anjal individu wanita.

Di peringkat separuh akhir yang berlangsung sebentar tadi, Dhabitah menamatkan saingan di tangga kelapan terbaik setelah mengumpul 286.95 mata daripada lima pusingan.

Dhabitah sekaligus menempatkan diri dalam kelompok 12 penerjun terbaik untuk perebutan pingat di peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung esok.

Nur Dhabitah Sabri.

Di peringkat separuh akhir, penerjun berusia 25 tahun itu memulakan saingan dengan langkah kanan apabila meraih 67.50 mata sekaligus menamatkan pusingan pertama di tangga kedua keseluruhan di belakang penerjun dari China.

Dhabitah kemudian melakukan terjunan 55.50 mata di pusingan kedua dan 46.50 mata di pusingan ketiga; sedikit meresahkan peminat sukan tempatan yang setia menonton siaran secara langsung petang tadi.

Dhabitah kembali bangkit apabila meraih 57 mata untuk terjunan keempat dan mengakhiri saingan separuh akhir dengan penuh bergaya apabila meraih 60.45 mata.

Sebagai rekod, Dhabitah pernah menamatkan saingan dalam acara 3m papan anjal individu wanita di tangga keempat ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020 berlangsung tiga tahun lalu dengan mengutip 326.15 mata.

Ini merupakan penampilan Sukan Olimpik ketiga Dhabitah sejak berjaya melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu di Sukan Olimpik Rio 2016.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Published by
FZ