Penerjun wanita negara yang berjaya menempatkan diri ke tempat ke-4 acara 3 meter papan anjal di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Dhabitah Sabri kini sudah pun bergelar seorang mahasiswi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dhabitah khabarnya akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).
“Tahniah buat Nur Dhabitah Sabri, Atlet Olimpik Negara atas kemasukan ke UKM Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,” catat akaun rasmi UKM itu.
Rata-rata warganet mengucapkan tahniah kepada Dhabitah dan menyambut kehadirannya dengan tangan terbuka sebagai warga baru di UKM.
Tahniah Remaja ucapkan kepada penerjun kelahiran Kuala Lumpur yang bukan saja berjaya mencuri tumpuan dunia dengan skil terjunannya tetapi juga disebabkan senyuman manisnya. Semoga Dhabitah terus cemerlang dalam bidang akademik dan kerjayanya sebagai seorang atlet negara seperti yang pernah dilakukan oleh rakan seperjuangannya seperti Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee.
ARTIKEL BERKAITAN : Tahniah Graduates! Remaja Instafamous Buktikan Pelajaran Penting – Bukan Sekadar Rupa – REMAJA
Pandelela merupakan graduan ijazah Sarjana Muda dalam Sains Pengurusan Sukan daripada Universiti Malaya pada tahun 2018 setelah lima tahun setengah menyeimbangkan kedua-dua bidang.
Manakala, Leong Mun Yee pula berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda dalam Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi daripada Universiti Putra Malaysia pada tahun 2017.
BACA LAGI : 10 Tahun Sebelum Dapat Genggam Ijazah, Pengorbanan Mun Yee Untuk Negara Akhirnya Terbalas – REMAJA
Sumber: (1)