“Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Langit Dijunjung..” – Cikgu Zack Kirana Tidak Serik Perjuang Bahasa Melayu Meski Dikecam

Share

 

Nama Cikgu Zack Kirana bukanlah nama asing di platform media sosial dan media massa apabila pengaruhnya sebagai seorang guru Bahasa Melayu diakui ramai pihak. Cikgu Zack sendiri ramah orangnya dan mudah diajak berbual dalam apa jua topik yang diberikan. Tidak hairanlah dia sering menjadi panel jemputan pilihan.

Begitupun pada bulan lalu, Cikgu Zack menjadi tumpuan warga maya Malaysia setelah berani menegur kesilapan lirik yang ditulis bagi lagu tular, Casablanca.

ARTIKEL BERKAITAN : Denyut Atau Degup Jantung? Tegur Lirik Lagu Casablanca, Perkongsian Guru Ini Tarik Perhatian Netizen – REMAJA

Disebabkan sebaris lirik berbunyi, ‘Denyut jantung ku berdebar’, yang menurut Cikgu Zack salah dari sudut makna serta penggunaannya, dirinya telah menjadi sasaran kecaman orang ramai termasukllah beberapa personaliti media sosial tempatan.

Peluang menemui Cikgu Zack baru-baru ini di set penggambaran program Dewi Remaja 2022 telah penulis gunakan untuk bertanyakan dari mana datangnya semangat serta keberanian dalam dirinya untuk memperjuangkan Bahasa Melayu.

“Bagi saya, kita memanglah ada kebebasan dalam setiap perkara termasuklah penggunaan sesuatu bahasa. Namun apabila kita menetap di bumi Malaysia ini, seharusnya kita perjuangkan bahasa Melayu. Ia adalah lambang jati diri.

“Jadi apabila seseorang itu dilahirkan di Malaysia dan mempunyai kad pengenalan Malaysia tetapi tidak pula fasih berbahasa Melayu, saya rasakan itu adalah satu kelemahan yang nyata. Sekiranya generasi yang akan datang tidak fasih berbahasa Melayu, ia adalah lambang kita tidak mempunyai jati diri,” ujar pemilik nama sebenar Saliza Ibrahim ini.

Tambahnya lagi, dirinya turut menyimpan sedikit perasaan cemburu apabila memerhatikan kepada beberapa negara jiran di rantau Asia Tenggara yang teguh memartabatkan bahasa kebangsaan masing-masing. Malah, rakyat di negara-negara seperti Indonesia, Thailand dan beberapa negara lain juga tidak malu untuk bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

Di mana agaknya silap yang kita lakukan sehinggakan sesetengah kelompok generasi muda kini seakan-akan meminggirkan penggunaan Bahasa Melayu dalam pertuturan harian dan dalam majlis formal.

“Sebenarnya bila dasar keterbukaan kita terhadap budaya luar seperti bahasa asing sedikit sebanyak adalah punca mengapa generasi muda kita semakin menjauhi bahasa kebangsaan.

“Kita terima baik budaya-budaya asing termasuklah bahasa, makanan, hiburan dan gaya hidup mereka. Jadi tidak hairanlah apabila bahasa kebangsaan kita sendiri terpinggir di bumi Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa industri seni hiburan sendiri yang menjadi ikutan majoriti rakyat Malaysia seolah-olah tidak lagi mementingkan penggunaan perbendaharaan kata yang tepat.

“Penggunaan bahasa pasar dan bahasa rojak mendominasi hampir keseluruhan industri seni hiburan. Sebab itulah pejuang bahasa Melayu seperti saya terpanggil untuk menegur sedikit demi sedikit kesilapan yang dilakukan. Nak tegur secara besar-besaran, nanti saya kena kecam pula. Jadi kita mulakanlah sedikit demi sedikit,” katanya yang tidak serik dalam perjuangannya.

 

Kecaman Tidak Jadi Benteng Perjuangan

Bersempena bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia yang bakal dilangsungkan pada bulan September ini, Cikgu Zack Kirana ingin sekali melihat kandungan di media massa dan media sosial meningkatkan kekayaan nilai bahasa ibunda.

“Sekiranya badan berkuasa kita sendiri tidak melaksanakan akta tertentu untuk mempertabatkan bahasa Melayu, lama kelamaan orang akan pijak-pijak lagi bahasa ibunda kita.

“Bagi mengelakkan perkara itu daripada terjadi memang mencabar, kecualilah saya dan pejuang-pejuang bahasa Melayu yang lain bersatu hati bagi mengharumkan semula bahasa ibunda kita.

“Saya tetap dengan pendirian saya untuk memartabatkan bahasa ibunda. Saya berpegang kepada pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Saya berpijak di bumi Malaysia, bahasa Melayu akan saya junjung. Walaupun luaran nampak biasa sahaja tetapi dalaman saya penuh dengan ‘kerawang-kerawang keMelayuan’,” simpulnya.

Tonton video penuh temubual REMAJA bersama Cikgu Zack Kirana menerusi pautan di bawah.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ