“Baliklah, Mak Tengah Tunggu…” -17 Tahun Tak Henti Mencari, Adik Rayu Abang Pulang Ke Pangkuan Keluarga

Share

“Kat mana pun kau… baliklah. Aku pun tak tahu kau ada lagi tak…”

Demikian luahan seorang pengguna Facebook yang tidak pernah berputus asa mencari seorang ahli keluarganya yang hilang sejak tahun 2006.

Menerusi sebuah perkongsian yang dimuat naik Mohd Hashimy di Facebook milik, dia merayu agar abangnya yang difahamkan hilang sejak 17 tahun yang lalu untuk pulang ke kampung halaman.

Pemuda itu juga mendedahkan bahawa dia sendiri tidak mengetahui sama ada abangnya itu masih hidup atau sebaliknya, namun hanya memohon doa daripada Ilahi dan kuasa tular di media sosial agar mampu untuk menemukan abangnya semula.

“Dah nak raya.. 17 tahun dah.. aku sentiasa ingat selagi ada nyawa. Aku mengharap kuasa tular kali ini menjadi.

“Sebab tidak putus asa mencari… mohon viral dari semua rakan Facebook,” tullisnya.

Dalam pada itu, dia memaklumkan bahawa ibunya begitu rindu akan abangnya itu dan berharap supaya abangnya pulang selagi ibu mereka masih ada.

“Mak tengah tunggu.. selagi Mak masih ada..balik lah… aku tidak pernah berhenti mencari…bapa dah meninggal,” kongsinya lagi.

Menerusi perkongsian berkenaan, Hashimy turut sertakan perincian dan gambar abangnya itu.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen turut berharap agar urusan pemuda ini untuk mencari abangnya yang hilang dipermudahkan selain berkongsi alternatif lain untuk mengesan abangnya itu.

“Semoga dipermudahkan segala Urusan tuan, yakin lah Allah Maha Besar kekuasaannya. Kamu akan berjumpa jua dengan saudara kamu,” komen seorang pengguna.

“Cuba periksa di hospital… tetapi tak kan KWSP tiada rekod baharu, tak kan tiada pengeluaran,” komen pengguna lain.

“Cuba periksa nama di Celcom, Maxis, atau Digi. Mana tahu ada rekod dan nombor telefon,” tulis pengguna lain.

SUMBER: Facebook Mohd Hashimy

Published by
Fath