Tempoh hari tular di media sosial sekeping gambar pasangan pengantin. Berita itu mula menjadi perhatian masyarakat apabila dimaklumkan usia pengantin lelaki 26 tahun sementara pasangannya 55 tahun. Memandangkan perkahwinan ini dianggap luar biasa, gambar pasangan ini mula menjadi tular dengan pelbagai komen dari netizen.
REMAJA berkesempatan menemuramah pasangan pengantin tular ini yang dikenali sebagai Tina Yusof berusia 49 tahun dan bukannya 55 tahun seperti dinyatakan di media sosial. Majlis perkahwinan mereka telah diadakan 24 November lalu di rumah pengantin perempuan di Felda Bukit Kepayang, Bera.
Ternyata jarak usia 23 tahun bukan halangan kerana jodoh ditentukan Allah Taala. Jom baca bagaimana cinta antara mereka berputik.
Ditanya bagaimana dia mula mengenali suaminya dikenali sebagai Amy, 26 tahun, jelas Tina, segala-galanya bermula kira-kira dua tahun lalu di mana Amy mula menyapanya di facebook.
“Dalam fb dia menulis ingin berkenalan dengan saya tapi saya tak pernah layan pun dalam tempoh dua tahun itu. Sehinggalah dia menghantar sejambak bunga tanda ingin serius berkenalan,” kata Tina ketika dihubungi.
Tinggal di di Felda Bukit Kepayang, Bera, jelas Tina, boleh dikatakan setiap hari suaminya menghantar mesej namun dia tidak melayannya. Hal ini berlarutan sehingga dua tahun lamanya dan hatinya mula tertarik selepas melihat Amy bersungguh-sungguh ingin menjalinkan hubungan lebih serius.
“Dua tahun saya tak layan. Saya anggap biasa saja. Lagi pun sebelum ini ada juga lelaki yang mahu berkenalan kerana saya membuka kedai makan di sini. Kedai saya memang jadi tumpuan ramai,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Ibu Tunggal Felda Bukit Kepayang, Bera ini sebelum ini.
Jelas Tina, selepas dua tahun kesungguhan Amy yang tinggal di Felda Mayam (felda bersebelahan tempat tinggalnya) sekali pun tidak dilayan masih sama dan dari situ dia melihat ada sesuatu yang istimewa tentang suaminya ini.
“Dia nampak matang berbanding usianya. Saya sendiri tak sangka usianya 26 tahun kerana wajahnya nampak matang. Saya sangkakan usianya 30-an,” katanya memaklumkan sebelum ini dia lima tahun bersendirian dan mempunyai lima orang anak.
Kata Tina, anak sulungnya berusia 30 tahun dan paling kecil 13 tahun. Kesemuanya perempuan. Tiga darinya sudah berkahwin sementara dua lagi masih sekolah.
“Anak nombor empat belajar di sebuah kolej di Petaling Jaya dan bongsu sekolah menengah di sini,” katanya ramah bercerita.
ARTIKEL LAIN : 4 Sebab Kenapa Gadis 18 Tahun Ini Pilih Lelaki Muda Sebagai Suaminya, So Sweet
ARTIKEL LAIN : Cinta Gigolo, Perkahwinan Jadi Tular Kerana Lelaki Ini Sanggup Terima Wanita Tua Demi Kereta Ferrari
Anak-anak restu atau tak perkahwinan ini?
Secara jujurnya kerana faktor perbezaan usia ini kata Tina, anak-anak membantah pada awalnya. Kata mereka semuanya kerana faktor usia.
“Tapi niat kita baik dan semuanya Allah permudahkan. Alhamdulilah, akhirnya anak-anak faham tentang jodoh yang sudah ditentukan oleh Allah taala ini,’ katanya memaklumkan suaminya Amy bekerja sebagai pemandu lori dan bekerja kampung.
Malah sepanjang mereka berkenalan, tidak pernah sekali pun Amy datang makan ke kedainya.
“Kata orang dah jodoh. Amy nampak berbeza. Dia matang dalam pemikirannya. Ditambah wajahnya juga nampak tidak seperti usia 26 tahun. Awalnya saya sendiri terkejut bila tahu usianya begitu tapi Allah sudah mengatur segalanya,”katanya lagi.
Apa perasaan bila perkahwinan ini tular di media sosial?
Jelas Tina, dia sama sekali tidak menyangka perkahwinannya ini menjadi tular. Dia akui tidak biasa dengan semua ini namun bersangka baik dengan semua pandangan masyarakat terhadap dirinya dan suami.
Sementara itu abang sulung Tina yang juga menjadi wali menikahkan adiknya, Sohaili Yusof, 57 berkata, pasangan pengantin ini dinikahkan dengan sekali lafaz di Masjid Felda Bukit Kepayang.
“Ramai yang bertanya saya tentang jodoh mereka ini. Saya katakan sudah ketentuan Illahi dan Nabi Muhammad dahulu pun menikahi Siti Khadijah yang usianya juga lanjut. Saya anggap ini jodoh adik,” katanya memaklumkan hantaran bagi adiknya adalah sebanyak RM3000 (atau barangkali RM5000 kerana kata Sohaili dia tidak pasti tentang jumlah hantaran ini). Malah dirinya turut memaklumkan adiknya itu sudah mempunyai cucu seramai 4 orang di mana paling tua berusia 9 tahun.
Apa pun, jom doa yang baik-baik untuk pasangan pengantin baru ini. Moga perkahwinan mereka kekal hingga jannah.