Bertempat di sebuah majlis akad nikah tertutup pada Jumaat lalu, penerjun muda negara, Nur Dhabitah Sabri telahpun selamat bergelar isteri kepada pelawak dan pelakon, Jiggy Masin.
Jiggy, 33 atau nama sebenarnya, Mohamad Aizat Ahmad Nazri memperisterikan Dhabitah, 23 dalam sebuah majlis yang hanya dihadiri oleh kira-kira 150 orang keluarga dan kenalan rapat.
Maklum beliau dan isteri, bukan niat mereka untuk merahsiakan pernikahan tersebut. Sebaliknya, mereka menunggu masa bersesuaian untuk berkongsi perkhabaran gembira ini.
Tambahan pula, jadual latihan dan pertandingan yang bakal dilalui Dhabitah selepas sambutan Aidilfitri tahun ini amatlah ketat termasuklah kejohanan Sukan SEA 2023 bulan ini dan latihan Dhabitah di China selama sebulan, tidak lama lagi.
Ini memandangkan Dhabitah ialah salah seorang atlet harapan pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi projek Road to Gold (RTG).
Lantas, keputusan untuk melakukan majlis secara sederhana dan menangguhkan majlis resepsi serta perancangan berbulan madu adalah lebih molek.
Set Fotografi Saksi Detik Pertemuan
Kongsi Jiggy kepada Utusan Malaysia, hubungan mereka berdua tidak dihebahkan selama ini atas dasar sepakat selagi mereka berdua tiada hubungan yang sah.
Begitupun, Jiggy mula merapati penerjun negara itu sejak mereka menjalani satu sesi fotografi pada tahun 2022.
ARTIKEL BERKAITAN: Dhabitah Sabri Ingatkan Penerjun Junior Selalu Merendah Diri, Kerja Keras Walaupun Kejohanan Ditunda – REMAJA
“Dhabitah ini walaupun kecil molek tetapi tegas dalam membuat keputusan. Pemikirannya matang dan sentiasa terbuka untuk berbincang apabila berdepan satu-satu masalah.
“Walaupun muda, dia tahu setiap keputusan dan tindak-tanduk boleh membawa keburukan jika tidak difikirkan secara rasional terlebih dahulu. (Dia) juga rajin bertanya dan berborak,” katanya.
Untuk pengetahuan korang, Jiggy sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pengacara, Elly Arrifin pada tahun 2016. Namun jodoh mereka tidak panjang dan meleraikan hubungan pada awal 2020 tanpa dikurniakan cahaya mata.
BACA LAGI: 15 Perkara Paling Best Kahwin Usia Muda, Proses Untuk Jadi Lebih Matang – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.