Masih belum terlambat rasanya untuk REMAJA ucapkan tahniah kepada pasangan Ayda Jebat dan Nabil Mahir yang baru saja melangsungkan majlis akad nikah, sebelah petang tadi.
Seperti biasa pada majlis ijab kabul mana-mana selebriti di Malaysia, pastinya peminat seluruh negara akan tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai rekaan busana yang disarungkan oleh pengantin tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Ayda Jebat Hadiahkan Rumah Buat Ibu Sebelum Kahwin
Ayda tampil selesa dalam persalinan kurung moden rekaan Lynda Rahim Kuala Lumpur yang berpengalaman dalam mempersiapkan pengantin selebriti seperti Sari Yanti dan Mia Ahmad.
Rekaannya sarat perincian pada bahagian bahu dan lengan, manakala pada bahagian bodice pula dibiarkan polos. Hanya bahagian belakang tampil berbeza dengan perincian pleats .
Gaya sebegini dipilih oleh Ayda yang inginkan gaya malar segar, manis dan classy pada majlis bahagianya ini.
Menariknya, Ayda yang memilih untuk menyarungkan tudung pada majlis tersebut telah menata rias tudungnya sendiri dan mendapat pujian ramai warganet.
Tudung material satin silk ini lebih nipis daripada material tudung kebiasaan. Oleh itu, tudung terlebih dahulu disemburkan dengan hairspray oleh jurusolek Dato Alha Alfa bagi memastikan ia kekal terbentuk sepanjang majlis dan selepas majlis berakhir.
“Ayda yang pakai tudung dia sendiri. Seriously, pengantin pakai tudung sendiri. Dia tu kalau boleh semua benda nak buat sendiri, independent sangat.
“Ada 3 jenis tudung berbeza yang disediakan – satin silk ini, dubai silk dan shawl satin silk. Akhirnya Ayda memilih tudung satin silk. Dan sentuhan Dato Alha Alfa memang betul-betul menaikkan seri wajah pengantin,” jelas Datin Lynda yang mengguna pakai material yang ditaja oleh Jakel.
Seperkara yang dikongsikan oleh Lynda juga adalah proses dirinya dan Ayda berkenalan dan bagaimana idea baju nikah tersebut tercetus.
“Saya selalu nampak Ayda di acara hiburan, tapi tak pernah diperkenalkan. Tiba Aidilfitri tahun ini, Ayda terlihat salah satu rekaan koleksi Luxe Raya Lynda Rahim KL berona hijau dan dia terus membelinya untuk disarungkan pada hari pengumuman pernikahan bersama Nabil.
“Dari situ, kami mula mengenali dan dia sendiri hadir ke butik berseorangan diri. Katanya, ‘Adik nak kahwin. Nanti kakak buatlah baju pengantin adik ya?’
“Satu benda mengenai Ayda, dia tahu apa yang dia inginkan dan banyak memberi idea. Rekaan asal baju nikah Ayda sebenarnya berlainan dengan baju hari in. Rekaan asal mempunyai potongan leher boat neck, menggunakan crepe silk polos, berpotongan mermaid dan mempunyai perincinan lace hanya pada lengan dan bahagian ‘ekor’ baju.
“Namun, selepas kami mendapat tahu Ayda terpaksa menukar lokasi pernikahan ke masjid disebabkan oleh situasi Perintah Kawalan Pergerakan sekarang yang mengehadkan jumlah tetamu, kami menukarnya kepada rekaan kurung moden.
“Alhamdulillah, baju, solekan dan tudungnya saling melengkapi pada hari ini. Tak sampai tiga minggu pun prosesnya,” jelas beliau.
Cantik kan! Tak sabar nak lihat baju resepsi yang akan dipakai Ayda dan Nabil pula selepas ini.
BACA LAGI: Seminggu Selepas Pertunangan Ayda Jebat, Adik Kongsi ‘Trik’ Lakukannya Secara Online – REMAJA